suria

Kecoh Vellfire langgar lari didakwa milik anak VIP! Ahli keluarga mangsa cuma mahu keadilan, mujur saksi sempat tengok nombor plat

Pasangan suami isteri ini mengalami kecederaan yang serius selepas dilanggar sebuah Vellfire.

"WALAU siapa pun pemandu Vellfire itu, kami mahu kes ini dibawa ke tengah... ini melibatkan soal nyawa!"

Demikian kata ahli keluarga kepada sepasang suami isteri yang menjadi mangsa langgar lari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu.

Akibat perlanggaran tersebut, mangsa, Nur Afiqah Sukardi, 35, dan suaminya, Mohd Fauzan Baseri, 35, yang ketika itu menunggang motosikal untuk ke tempat kerja mereka di Shah Alam mengalami kecederaan serius.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Helmi berkata sehingga kini dia dan ahli keluarganya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab ataupun mengetahui sebarang maklumat mengenai pemandu yang terlibat.

"Setakat ini, kami tak tahu siapa pun pemandu kereta itu. Apabila membaca satu ciapan mendakwa pemandu Vellfire berkenaan adalah anak kepada seseorang berstatus VIP, saya pun terkejut.

Ciapan yang dikeluarkan oleh seorang pemilik akaun Twitter.

"Apa yang kami minta hanyalah pemandu itu menjadi orang yang bertanggungjawab. Tahulah pakai Vellfire, mesti dia orang kaya... tapi siapa pun dia, silalah bertanggungjawab," tegasnya lagi.

Pada Selasa, kecoh apabila satu akaun Twitter mendakwa bahawa kenderaan MPV yang terlibat dalam kemalangan melibatkan pasangan suami isteri tersebut berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur adalah milik anak kepada seseorang berstatus VIP.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri naik motor ke tempat kerja dilanggar Vellfire, pemandu cabut lari! Rakaman dashcam bakal tentukan nasib pelaku

"Hanya dua buah Vellfire putih berada di atas jalan berkenaan ketika kejadian. Diharapkan pihak PLUS boleh rujuk CCTV untuk membantu mangsa berkenaan," demikian ciapan pengendali akaun tersebut.

Sehingga kini, ciapannya meraih hampir 2,000 ulang kicau.

Berkongsi perkembangan kes melibatkan biras dan adik iparnya lebih lanjut, Muhammad Helmi berkata dia bagaimanapun telah dihubungi oleh seorang saksi kejadian pada Ahad.

Tahulah pakai Vellfire, mesti dia orang kaya... tapi siapa pun dia, silalah bertanggungjawab.

MUHAMMAD HELMI

AHLI KELUARGA

"Saksi tersebut merupakan seorang wanita. Dia beritahu ketika kejadian, dia juga melalui jalan yang sama dan keretanya depan sikit dari motosikal adik ipar serta biras saya. Anggapannya, dia yang nak dilanggar Vellfire dipandu laju itu tapi dia bernasib baik.

"Sebaliknya motosikal adik ipar serta suaminya yang dilanggar. Selepas terlihat kejadian itu, dia cuba mengejar Vellfire berkenaan namun terlepas selepas membayar tol.

"Bagaimanapun, dia sempat mengecam nombor pendaftaran Vellfire tersebut. Hasil maklumat itu, biras saya ditemani peguam terus membuat laporan polis pada Isnin dan saksi tersebut pun turut buat laporan polis.

"Saya sekeluarga nak berterima kasih kepada saksi tersebut dan juga kepada mStar. Disebabkan berita yang disiarkan sebelum itu, saksi berkenaan menghubungi kami," ujarnya lagi.

Lokasi kemalangan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta.

Muhammad Helmi berkata, buat masa ini pihak keluarganya hanya menunggu siasatan oleh pihak polis.

"Ada saksi dah tampil dan nombor pendaftaran keretanya pun dah dapat, jadi kami tunggu siasatan polis.

"Kami percaya pihak polis akan melakukan tugas mereka dengan penuh bijaksana," ujarnya lagi.

Berkongsi pula keadaan terkini pasangan suami isteri yang menjadi mangsa kemalangan itu, Muhammad Helmi berkata adik iparnya, Nur Afiqah, sudah selesai menjalani pembedahan pada lengan kiri, pagi Ahad.

"Bagaimanapun Nur Afiqah masih dirawat di Hospital Pakar KJP Tawakal Kuala Lumpur. Pembedahan Ahad lalu berjalan lancar.

"Cuma doktor memantau kecederaan pada tulang pelvisnya pula. Biras saya, Mohd Fauzan yang patah bahu kiri sudah menerima rawatan dan sedang berehat di rumah.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya warga maya yang prihatin sejak hebahan mengenai kemalangan itu disiarkan. Bantuan anda semua sangat kami hargai dan dahulukan dengan ucapan terima kasih," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain