suria

[V] Macam faham orang cerita rumah nak roboh, reaksi sedih si comel mangsa banjir ini tarik perhatian ramai

Ayyash merupakan salah seorang mangsa banjir di Kelantan.

SEJAK banjir besar melanda di negeri-negeri Pantai Timur, ramai sukarelawan sama ada persendirian mahupun daripada badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan.

Salah seorang daripada mereka ialah wanita bernama Abiasani Adlis, 28, yang menyertai Yayasan Ikhlas menyantuni penduduk di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang di Kelantan.

Apa yang menarik perhatian adalah rakaman membabitkan seorang bayi bernama Ayyash kelihatan sedih seolah-olah memahami tentang situasi banjir di kawasan kediaman keluarganya.

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Bya menceritakan semula kisah di sebalik video yang mencuri perhatian netizen setelah dimuat naik di TikTok hingga meraih lebih 320,000 jumlah tontonan.

“Saya dah sertai sukarelawan ini sejak tahun lepas lagi. Masa rakam telatah kanak-kanak dekat situ, ada sukarelawan tu bawa Ayyash datang dekat kami sebab comel sangat.

Volunteer yang dukung Ayyash tu dapat tahu daripada ibunya yang rumah mereka hampir roboh akibat banjir. Masa kami cerita tu sambil tengok Ayyash. Dia macam tahu apa kami ceritakan sebab tu reaksi nampak sedih.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 sahabat kumpul duit bantu mangsa banjir, tak sangka usaha kecil tiba-tiba jadi perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: "Sedang menanti bantuan pihak penyelamat" - Mangsa banjir akui bencana terburuk berbanding 2014

“Rumah mereka memang dibina sepenuhnya daripada kayu. Kerosakan memang teruk sampai bahagian tinggi rumah tu terbelah (terpisah) dua. Dinding pun dah mula merenggang,” jelas Bya berikutan reaksi dibuat Ayyash.

Menceritakan keadaan di kawasan terjejas banjir, Bya berkata suasananya masih suram walaupun banjir di kawasan sekitar sudah mulai surut sejak 17 hari lalu.

Mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) juga masih menunggu masa untuk pulang ke rumah masing-masing memandang air kian surut.

Bya (kiri) bersama Ayyash dan sukarelawan lain dalam misi bantuan banjir.

Bukan itu sahaja, Bya yang berasal dari Johor Bahru, Johor menceritakan beberapa momen menyentuh hati ketika menyertai misi tersebut pada 24 hingga 26 Disember baru-baru ini.

“Kebanyakan rumah di Rantau Panjang didirikan daripada kayu. Selepas ditenggelami banjir, rata-rata rumah jadi reput. Jalan nak masuk kampung pun banyak alami kerosakan.

Rumah mereka memang dibina sepenuhnya daripada kayu... kerosakan memang teruk sampai bahagian tinggi rumah tu terbelah.

ABIASANI

“Lebih menyedihkan apabila tengok ibu yang masih dalam pantang bawa bayi dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa di PPS tapi terpaksa bertahan. Ada juga golongan dah lanjut usia tengok kami buat aktiviti. Boleh nampak raut wajah mereka sayu dan gembira kami datang.

“Selain bantu mereka cuci rumah dan bertanya khabar mereka, ada juga sukarelawan daripada Dapur Ikhlas bersama merewang masak bersama untuk diagihkan kepada warga di sini,” ujarnya lagi.

Keadaan rumah Ayyash selepas ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, terdapat beberapa acara selingan dilakukan seperti sukan rakyat dengan menyediakan hadiah berupa tablet bagi mereka yang terkesan di Kelantan.

Perkongsian Bya di TikTok meraih pelbagai reaksi netizen yang tersentuh melihat video tersebut setelah disiarkan.

Dalam pada itu, Bya mengharapkan perkongsiannya ini sedikit sebanyak mampu memberi impak positif agar warganet menyedari bahawa mereka masih memerlukan bantuan.

Yayasan Ikhlas menjadi sukarelawan dalam misi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.

“Sekarang famili Ayyash masih duduk dekat rumah yang hampir roboh tu. Keadaan Ayyash pun okey saja cuma banjir kali ini lebih teruk sampai rumahnya hampir musnah.

“Masa banjir tu katanya rumah Ayyash yang terletak di Kampung Tersan nampak bumbung saja sebab paras air tinggi. Kalau ada yang ingin hulurkan bantuan memang dialu-alukan sangat.

"Kalau ada yang nak datang sini tengok keadaan terus pun boleh saja,” kata Bya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain