suria

Bapa 12 anak berubah selepas isteri meninggal! Teman si bongsu live jual baju di TikTok dah jadi rutin - “Dulu semua ayah cakap melalui mak”

Bapa Aqish selalu menemani anaknya berniaga pakaian menerusi live di TikTok.

PERKONGSIAN video menunjukkan seorang bapa yang setia menemani anak gadisnya berniaga menerusi siaran langsung (live) mendapat pujian warga maya.

Menerusi video tular itu, Bahrum Che Noh, 66, duduk di atas kerusi malas di pintu sambil melihat anaknya, Syifa Bahrum, 20, menjual pakaian di rumah mereka di Sik, Kedah.

Rakaman tersebut diambil oleh anaknya yang ke-10, Siti Balqis Bahrum, 25, ketika dia pulang ke Sik pada 19 Ogos lalu.

"Video tu saya rakam masa balik kampung. Masa tu dah lewat malam hampir pukul 12.

"Adik bongsu saya tengah buat live jual sweatshirt dekat TikTok. Saya pula terdetik hati nak rakam video sebab kasihan tengok kegigihan dan ketabahan adik menjual sambil menjawab soalan-soalan orang tanya dekat sana.

"Kebetulan memang ayah tengah tunggu dekat pintu sambil perhatikan adik. Ayah memang suka teman adik berniaga sampai dah jadi rutin setiap kali adik buat live," ujarnya yang senang disapa Aqish.

Bercerita lanjut kepada mStar, Aqish berkata bapanya bukan sahaja menjadi peneman tetapi turut membantu Syifa membungkus pakaian yang dibeli oleh pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga rindu nak berniaga di pasar, jual online serba tak kena... TikTok kena sekat, pelanggan pula main-main - “Nak simpan duit sambut baby”

ARTIKEL BERKAITAN: Realiti di TikTok! Layan pembeli sampai tak tidur, berdiri 5 jam buat reviu... wanita ini bukan suka tapi trauma bila ramai ‘lock’ baju dijualnya

Menurut Aqish lagi, bapa mereka tidak putus-putus mencurahkan kasih sayangnya agar kesemua 12 anaknya tidak berasa kesepian setelah kehilangan ibu pada 2020.

Jelas Aqish, bapanya yang merupakan seorang penoreh getah juga sentiasa memberi nasihat berkaitan perniagaan dengan harapan apa yang diusahakan adiknya akan membuahkan hasil lumayan.

Aqish merupakan anak ke 10 daripada 12 adik beradiknya.

"Setiap kali adik buat live ayah akan tunggu dari awal sampai habis. Lagipun waktu malam memang ayah hanya di rumah saja.

"Ayah memang sangat supportive sebab selalu bantu adik dalam perniagaan. Selain teman berniaga hampir setiap malam, dia akan tolong adik buka bale pakaian yang adik jual. Kadang tu dia tolong adik lipat semua baju untuk packing parcel sampai 1 hingga 2 pagi.

Bahrum ketika membantu anaknya membuka bale pakaian yang dijual.

"Ayah tolong sejak zaman adik berniaga di rumah sampai sekarang boleh buka kedai. Tapi disebabkan bisnes adik tak dapat tampung bil dan sewa kedai jadi dia terpaksa balik semula berniaga di rumah. Tapi adik tak pernah putus asa. Bila ada ayah, dia jadi lagi bersemangat buat sale.

"Ayah ni seorang pendiam jadi dia tak join adik buat live. Dulu apa-apa perkara nak disembangkan mesti dia cakap melalui mak untuk disampaikan pada kami. Tapi sejak kematian mak, dia banyak sembang dengan adik saja," kata Aqish lagi.

Susulan video yang dikongsikan oleh Aqish di TikTok, warganet memuji bapanya yang sanggup bersengkang mata demi memberi sokongan moral kepada anaknya dalam dunia perniagaan.

Dulu apa-apa perkara nak disembangkan mesti dia cakap melalui mak untuk disampaikan pada kami. Tapi sejak kematian mak, dia banyak sembang dengan adik saja.

SITI BALQIS

Aqish yang merupakan anggota polis bantuan di Sepang, Selangor teruja dengan sambutan positif itu dan turut menitipkan ucapan terima kasih atas doa serta sokongan yang tidak putus-putus daripada netizen.

Bukan itu saja, hantaran tersebut sekali gus membuka rezeki lebih luas sehingga mereka menerima tempahan daripada pelanggan-pelanggan baharu.

"Ayah pernah cakap seronok tolong adik berniaga. Seronok dengar adik baca komen-komen ketika live katanya.

Bapa Aqish banyak beri sokongan dalam perniagaan anaknya.

"Asalnya video tu saya kongsikan mengenai kasih sayang seorang ayah sanggup teman anak sampai ke pagi. Tak sangka pula ramai yang puji ayah lepas tu.

"Apa-apa pun saya doakan supaya ayah diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dan sentiasa dalam rahmat Allah. Untuk orang di luar sana yang ada anak atau orang tersayang berniaga, sokonglah mereka dan beri galakan yang baik sebab bukan senang nak tempuh cabaran dalam dunia perniagaan ini," ujar Aqish.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain