suria

Pandai layan peminat TikTok, jejaka sado Miri raih perhatian luar biasa... Rupanya fitness trainer ini suka tayang badan

Christian yang dulunya memiliki berat 42 kg kini aktif melatih pelanggannya di sebuah studio kecergasan.

BERBEKALKAN rupa paras dan personaliti menarik, seorang jejaka dari Sarawak tiba-tiba mengumpul lebih 22,000 pengikut di media sosial dalam tempoh kurang 10 hari.

Di sebalik video-video aksi bersahaja yang dikongsi, Christian Leong, 22, merupakan seorang jurulatih kecergasan yang mempunyai misi tersendiri dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

Bercakap kepada mStar, jejaka dari Miri itu mengakui terkejut dengan penerimaan positif orang ramai dan menganggap populariti yang diraih sebagai satu platform untuknya berkongsi lebih banyak perkara positif pada masa akan datang.

cl2

Christian ketika awal pembabitannya dalam dunia kecergasan.

"Sejujurnya agak penat kerana populariti segera di TikTok berlaku dalam masa yang sangat pantas. Saya bagaikan tak ada masa nak bernafas dan hadam mengenai apa yang berlaku.

"Ketika mula-mula buka akaun TikTok, saya hanya ada 24 orang followers, mereka kawan-kawan saya saja. Kemudian saya secara suka-suka buat video, tiba-tiba ia meletus dan jadi viral. Saya nak berterima kasih atas sokongan semua, saya bukannya sesiapa," ujarnya.

Tolak ke tepi mengenai populariti di TikTok, Christian berkata dia juga mahu berkongsi dengan orang ramai mengenai kepentingan amalan penjagaan kesihatan yang sebenarnya boleh dilakukan dengan cara menyeronokkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai risau perut buncit tapi ‘liat’ bab kira kalori makanan, jurulatih kecergasan dedah ‘musuh utama’ perlu dielak ketika raya

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar gigih buat 2 kerja part time demi miliki gim sendiri - “Saya tanya mak, dia beri kebenaran”

Menurut Christian yang sudah empat tahun bergelar jurulatih kecergasan di Core Reactor Studio, dia sentiasa menerapkan elemen keseronokan buat pelatihnya ketika mereka mengikuti aktiviti kecergasan bagi menjadikan proses itu lebih mudah dan menarik.

"Walaupun ia berkait dengan disiplin diri, ia tak bermakna kita tak boleh berseronok. Saya nak buat perjalanan kecergasan itu sesuatu yang menyeronokkan. Kalau tak seronok, kita pun malas nak teruskan.

"Apabila dilakukan dengan cara seronok, ia tak akan jadi bebanan. Tapi kena ingat, proses nak bina badan atau nak kurus tak ambil masa sebulan. Ada orang fikir mereka boleh dapat sixpack dalam sebulan. Ia tak semudah itu.

cl3

Christian merupakan jurulatih kecergasan di Core Reactor Studio.

"Tapi kalau kita dapat cari cara yang seronok, masa yang lama akan berlaku dengan cepat. Paling penting kita kena ada sasaran. Kalau tidak, kita akan bergerak ke depan tanpa hala tuju.

"Kena ingat, sasarannya juga tak boleh terlalu besar. Risau kita tak dapat capai nanti. Sebaiknya buat dengan perlahan-lahan, tak kisahlah kalau turun 500 gram seminggu pun. Lama-kelamaan, anda akan hilang 5 kilogram (kg)," ujarnya.

Tambah Chritian, dia paling gembira apabila melihat pelanggannya berjaya mencapai sasaran mereka, sekali gus memberi kepuasan kepadanya sebagai jurulatih kecergasan yang melatih kira-kira 30 individu.

Sepanjang terlibat dalam dunia kecergasan, ia mengubah saya daripada introvert kepada extrovert.

CHRISTIAN

"Saya melakukan yang terbaik untuk memberi motivasi kepada pelanggan saya. Saya bangga dengan pelanggan saya apabila mereka mencapai perubahan. Ada yang dulu tak boleh angkat berat, sekarang boleh angkat lebih 10 kali ganda daripada yang dulu.

"Saya rasa gembira bila mereka berjalan keluar studio dengan puas hati. Mereka jadi lebih yakin dan lebih sayang diri mereka. Saya rasa macam cikgu," ujarnya berseloroh.

Selain melatih pelanggannya untuk mendapatkan fizikal yang lebih sihat, Christian sendiri melalui perjalanan yang panjang untuk mendapatkan tubuh sasanya seperti hari ini.

cl5

Christian meraih populariti secara tiba-tiba di TikTok sejak minggu lalu.

Menurut Christian, dia mula bersenam sejak sekolah dan perubahan fizikal yang dilalui turut memberi impak positif terhadap keyakinan dirinya.

"Ayah saya yang jadi pendorong untuk saya bersenam. Proses ini mengambil masa lima tahun. Lima tahun penuh dengan kerja keras. Saya bersenam sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

"Sejak umur 17 tahun, metabolism saya memang tinggi, susah nak tambah berat badan. Jadi saya memang makan banyak yang mana saya rasa ia tak ideal untuk semua orang. Dulu tahun 2015 berat saya 42kg, sekarang saya 62kg. Tapi sasaran sebenar saya ialah 65 kg.

cl4

Christian mahu mengajar orang ramai bersenam dengan cara yang seronok.

"Dulu masa kurus, saya tengok model dan terasa nak ada keyakinan macam mereka. Sepanjang terlibat dalam dunia kecergasan, ia mengubah saya daripada introvert kepada extrovert. Bersenam memang memberikan keyakinan diri kepada saya.

"Saya rasa gembira apabila ada keyakinan. Apabila orang tengok fizikal kita, mereka akan rasa tertarik dan lebih menerima kita," ujarnya lagi.

Selain berkongsi tentang aktiviti kecergasan, Christian juga disukai di TikTok kerana gemar melayan pertanyaan peminatnya yang kebanyakkan berkaitan hal peribadi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain