suria

Majlis akad nikah kena sabotaj, anak saudara ‘tak restu’ makcik kahwin... Gelagat lucu budak lelaki lima tahun undang ketawa netizen

Video Danial yang dirakam lapan tahun lalu (gambar kecil) sewaktu dia menangis apabila ibu saudaranya bernikah.

DEK kerana terlalu rapat, seorang kanak-kanak lelaki menangis kerana tidak 'merestui' perkahwinan ibu saudara kesayangannya.

Malah kanak-kanak tersebut terpaksa didukung dan dibawa keluar dari ruang tamu di mana ibu saudaranya sedang menunggu masa untuk dinikahkan, kerana suara tangisannya semakin kuat.

Demikian momen yang dikongsikan seorang wanita di media sosial, sehingga mengundang reaksi sebak bercampur lucu dalam kalangan warganet.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik-adik lelaki suka berkepit, kakak kongsi jiran pernah salah anggap hubungan akrab... buat laporan bukan mahram tinggal serumah

ARTIKEL BERKAITAN: Padah kongsi video nak ‘ngorat’ anak buah, pemuda teruk dikecam... Akui pendosa, tak minta semua ini jadi

Berkongsi cerita dengan mStar, Syahida Salleh berkata video tersebut dirakam sekitar lapan tahun lalu ketika adik keempatnya, Syazaliana, melangsungkan pernikahan di rumah ibu bapa mereka di Sungai Besar, Selangor.

"Budak lelaki dalam video itu pula anak sulung saya, Danial Zakwan Mohd Zubir. Ketika itu dia berusia lima tahun. Danial memang rapat dengan adik saya yang dipanggilnya Acik.

"Iyalah, sejak bayi lagi dia duduk di kampung. Kebetulan ketika itu saya dan suami pasangan jarak jauh (PJJ). Saya menetap di rumah ibu bapa, jadi anak memang rapat dengan adik-adik saya, terutama Acik dia.

"Memang Acik rajin melayan sebab tinggal sekali di kampung selepas habis belajar. Selalu main dan bergaduh sama-sama, sampai bantal busuk pun berebut," kata wanita berusia 41 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Syahida berkata, Danial sudah mula 'mensabotaj' persiapan yang dilakukan sehari sebelum majlis perkahwinan ibu saudaranya itu.

sabotaj 1

Gambar sewaktu Danial masih kecil (depan) bersama ibu saudaranya yang dipanggil Acik (dua, kanan).

"Saya pula ketika itu baru habis berpantang anak ketiga. Dalam kita sibuk layan tetamu dan jaga anak kecil, Danial dan adiknya yang kedua main tutup-tutup lampu pelamin, menyibuk dalam bilik ketika Aciknya bersolek.

"Tak sangka waktu Aciknya nak akad nikah, dia boleh pula cakap 'tak nak Acik kahwin'. Kebetulan pula masa tu salah seorang adik saya dapat rekod momen tu.

"Waktu tu tetamu yang ada pun tak tahan nak tergelak... riuh satu rumah. Tapi macam sebak jugalah sebab nampak jelas dia sayangkan Aciknya," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini.

sabotaj 3

Danial (kiri) yang kini berusia 13 tahun merupakan anak sulung daripada lima adik beradik.

Tambah Syahida, sungguhpun sudah lapan tahun berlaku dan adik keempatnya juga sudah mempunyai cahaya mata sendiri, namun hubungan wanita itu dengan anak lelakinya tetap rapat.

"Danial sekarang dah 13 tahun dan belajar di sebuah sekolah berasrama. Aciknya pula dah ada dua cahaya mata. Meskipun berpisah selepas Acik bernikah, tapi bila jumpa, tetap rapat terutama dengan anak-anak Acik.

"Tapi biasalah, budak laki meningkat remaja ni mungkin dah segan sikit, tak macam waktu dia kecil-kecil dulu.

Waktu tu tetamu yang ada pun tak tahan nak tergelak... riuh satu rumah. Tapi macam sebak jugalah sebab nampak jelas dia sayangkan Aciknya.

SYAHIDA SALLEH

IBU

"Kalau berkumpul waktu kenduri atau raya, mesti makcik-makciknya akan bangkitkan pasal ini dan berseloroh 'Ini ke budak yang menangis masa Aciknya kahwin dulu?'. Setiap kali tengok video ni, mesti tersenyum," ujarnya yang juga merupakan seorang ejen penapis air.

Syahida berkata dia sama sekali tidak menyangka video berkenaan meraih melebihi sejuta tontonan di TikTok.

"Saya saja upload video lama sebab nak mengimbau memori... tak sangka meletup pula dekat TikTok.

komen

Antara komen lucu netizen pada perkongsian video yang dimuat naik Syahida.

"Seronok campur terharu apabila baca komen-komen netizen. Ada yang berjenaka, restu ibu bapa dapat tapi restu anak buah tak dapat. Ada juga yang kongsi pengalaman yang sama.

"Ada juga yang request nak tengok video Danial dan Aciknya waktu sekarang. Saya ada upload cuma tak ada gambar mereka berdua yang dirakam bersama, tetapi ramai-ramai. InsyaAllah jika ada peluang nanti, saya cuba kongsi dengan followers.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang beri komen positif. Tak ada apa yang saya pinta, cuma doakan Danial jadi anak dan pelajar yang baik," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain