suria

Disuruh rajin belajar biar pandai macam bapa, guru terkesima murid darjah 2 pilih jadi suri rumah berpendidikan

Seorang murid berkongsi keinginannya untuk menjadi suri rumah. -gambar hiasan

PEPATAH ada mengatakan, anak-anak ibarat kain putih jadi ibu bapalah yang akan mencorakkannya dan sudah tentu setiap perkara yang dilakukan akan dinilai serta menjadi ikutan mereka.

Menerusi satu perkongsian seorang pendidik di Twitter, Siti Nur Al-Fathanah Nasir menceritakan semula kisah anak muridnya berusia lapan tahun yang berhasrat untuk menjadi suri rumah berpendidikan apabila sudah dewasa.

Jawapan yang diberikan oleh kanak-kanak ini adalah susulan soalannya mengenai cita-cita setiap anak muridnya ketika sesi pembelajaran di kelas.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia muda, cita-cita besar! Perunding takaful kejar impian bergelar pengadil ragbi peringkat antarabangsa

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu buat 'content' TikTok, akui bahagia ajar budak pandai... Syed Saddiq pula tegur jangan perlekeh pelajar 'kelas belakang'

Tidak menyangka seorang anak kecil memberi jawapan mahu menjadi surirumah, malah mencontohi kebaikan ibunya setiap hari, guru berkenaan benar-benar berasa terharu.

"Saya tertarik dengan cita-cita salah seorang murid saya (Tahun 2). Sedang rakan yang lain mahu bergelar guru, polis, askar tapi dia pula mahu bergelar seorang surirumah yang berpendidikan.

"Saya tanya kenapa? Lalu dia menjawab 'Bila saya jadi suri rumah yang berpendidikan maka saya mampu jadi semua yang dicita-citakan rakan lain. Saya boleh jadi guru, saya boleh jadi doktor, boleh jadi cef, saya boleh jadi security. Terdetik dalam hati saya, 'Ya Allah macam mana anak seusia ini mampu berfikir sedemikian?'.

“Bila saya tanya lagi, dari mana datangnya mimpi dan cita-cita itu? Dia jawab dari ibu dia. Dia puji kehebatan ibu dia yang mampu urus dia dan adik beradik termasuk ayahnya dengan bermacam pekerjaan dalam satu masa," jelas Fathanah melalui bebenang di Twitter.

Gambar suri rumah berpendidikan 6

Murid-murid yang rajin belajar.

Wanita yang berasal dari Tawau, Sabah ini mengakui bahawa jawapan yang didengarinya ini telah mengundang sebak sekali gus menyebabkan dia merindui serta mengimbau memori ibunya yang munguruskan dirinya sewaktu kecil dahulu.

Bercerita lanjut, wanita ini turut terkesima apabila anak muridnya ini mahu menjadi seperti ibunya yang sangat rajin menguruskan hal rumah tangga dan urusan berkaitan ahli keluarganya.

Jelasnya lagi, anak kecil ini turut percaya bahawa hasratnya ingin menjadi suri rumah merupakan satu cita-cita yang baik kerana menurut ibunya jika seseorang itu melakukan perkara baik, maka dia akan disayangi Allah.

Gambar suri rumah berpendidikan 3

Sebuah sekolah di Pulau Sebatik, Tawau.

"Katanya ibu yang gerak awal pagi ke sekolah, gerak ayah pergi kerja, buatkan sahur, periksa keadaan suhu badan kami dah ibu semak kerja sekolah.

"Tambahnya lagi, ibu cakap kena belajar rajin-rajin nanti boleh jadi macam ayah tapi saya nak jadi macam ibu'. Saya percaya cita-cita ini cita-cita yang baik sebab ibu kata kalau buat perkara yang baik Allah sayang," imbas Fathanah.

Didikan ibu dan contoh yang ibu dia tunjukan di rumah yang membuatkan anak-anak ni terinspirasi.

FATHANAH

Menurut wanita yang merupakan graduan pengajian Usuluddin dan Multimedia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) ini, sebagai guru, dia harus membantu merealisasikan impian tidak kira apa jua cita-cita anak muridnya.

Malah guru yang mengajar Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain Raudhatul Ilmi, Pulau Sebatik, Tawau ini, memberikan tunjuk ajar, ilmu serta pendidikan yang baik juga merupakan tanggungjawab mereka sebagai pendidik agar insan-insan ini membesar dengan penuh ilmu di dada.

Gambar suri rumah berpendidikan 4

Tangkap layar perkongsian guru yang menjadi tular.

Perkongsiannya di Twitter ini telah menjadi tular sehingga meraih lebih 18,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 12,000 kali dan rata-rata netizen memuji anak murid ini.

"Bila ibunya seorang yang hebat dan ada pendidikan, corak berfikir anaknya wow gila.

"Kanak-kanak yang dah pandai buat keputusan berdasarkan pemerhatian dia ni memang budak yang hebat akal dan peribadi. Terbaik parents especially mak dia yang didik budak ni.

"MasyaAllah hebat pemikiran anak ini. Didikan ibu dan contoh yang ibu dia tunjukan di rumah yang membuatkan anak-anak ni terinspirasi. Kagum dengan ibu dia dan anak ini," komen beberapa warga maya.

Dalam pada itu, Fathanah bagaimanapun enggan mendedahkan identiti anak muridnya ini demi menjaga privasi kerana bimbang akan sindiran daripada segelintir masyarakat.

Mengambil kira usianya dan hidup di zaman digital pada masa kini, boleh jadi juga pengaruh itu datang daripada pemerhatian terhadap sekeliling seperti drama dan YouTube, malah impian kanak-kanak ini juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain