suria

Cita-cita jadi ustaz terpadam akibat asma kronik, duka lara remaja 13 tahun berganda... Derita lumpuh, buta dan bisu

Ilham sebelum ini merupakan pelajar tahfiz dan bercita-cita menjadi seorang ustaz.

REMAJA berusia 13 tahun ini pernah memasang cita-cita untuk menjadi seorang ustaz apabila dewasa kelak.

Namun impian tersebut 'terpadam' selepas dia diserang penyakit asma kronik sehingga kini terlantar kaku dan bergantung kepada susu khas untuk terus hidup.

Daripada seorang kanak-kanak yang ceria dan lincah, dunia Danish Ilham Norazla berubah 360 darjah kerana penyakit yang dideritai membuatkannya lumpuh, buta dan juga bisu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Apabila wang bukan lagi keutamaan hatinya...” - Aktivis masyarakat kongsi kisah doktor mulia, wakaf rumah berkembar 2 tingkat

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih, marah dan kecewa! Sudahlah anak kecil dirogol, satu keluarga dipulau... dihalau dari rumah pusaka, konon mengada-adakan cerita

Kisah remaja malang ini dikongsikan oleh seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu menerusi satu hantaran di Facebook.

"Ilham dilahirkan normal seperti anak yang lain namun ketika usianya empat tahun, Ilham mula mengalami masalah asma. Namun keadaannya tidaklah berlarutan. Biasanya selepas dua atau tiga hari di wad, Ilham akan kembali sihat.

"Sehinggalah pada Jun 2019, tiba-tiba anak yang sedang belajar di sebuah pusat tahfiz itu diserang asma sekali lagi. Itulah titik tolak bermulanya tragedi sedih dalam hidup Ilham.

ilham 1

Gambar Ilham yang dikejarkan ke hospital sebelum ini kerana keadaan kesihatannya merosot.

"Ilham tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital. Apabila tiba di unit kecemasan, pihak hospital mendapati Ilham sudah tidak bernafas lagi. Jantungnya telah berhenti berdegup.

"Bertungkus-lumus para doktor memberikan CPR. Alhamdulillah, hayat Ilham masih panjang, dia dapat diselamatkan," tulisnya.

Bermula saat itu sehingga kini, Ilham meneruskan hidup hanya berbekalkan susu khas yang diberi ibunya melalui tiub di perut mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagai jatuh ditimpa tangga, rumah keluarga Ilham di Selangor terjejas teruk dalam tragedi banjir pada Disember 2021.

ilham 2

Rumah keluarga Ilham yang terjejas teruk selepas dilanda banjir pada penghujung tahun lalu.

"Baru hendak berlapang dada selepas banjir pertama pada 18 Disember 2021 yang menenggelamkan rumah mereka sehingga ke bumbung, sekali lagi banjir dengan kedalaman air paras dada melanda pada 7 Mac 2022.

"Fobia dengan banjir yang melanda ibunya mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung di Perak.

Ilham dilahirkan normal seperti anak yang lain namun ketika usianya empat tahun, Ilham mula mengalami masalah asma.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

"Ibunya berhasrat untuk membina sebuah bilik khas untuk Ilham dan tinggal bersama datuk dan neneknya.

"Bagaimanapun, ayah tirinya yang bekerja sebagai guru agama tidak mampu kerana sejak krisis pandemik melanda dulu, dia hilang punca pendapatan apabila masjid tidak lagi membenarkan kelas fardu ain dijalankan," tulis Natipah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan kebajikan.

Justeru tambah Natipah, perkongsian di laman Facebook adalah bertujuan untuk meminta sumbangan ramai bagi membina sebuah bilik khas buat Ilham yang dianggarkan menelan kos RM10,000.

ilham 5

Natipah meluangkan masa menziarahi Ilham.

"Semoga dengan sumbangan ini akan membuka pintu keberkatan buat kita sempena Ramadan Al-Mubarak kali ini,"tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 121 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain