suria

Anak sulung beli kereta pertama... bapa bangga sanggup ‘lari’ kejap dari tempat kerja, siap buat kejutan di showroom - “Lama ayah menangis...”

Bapa Bella yang membuat kejutan tidak dapat menahan sebak dengan kejayaannya memiliki kereta pertama.

HASIL penat lelah dan usaha kerasnya bekerja selama dua tahun, wanita muda ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya menghadiahkan kereta pertama untuk diri sendiri.

Lebih manis, momen penuh bermakna ketika mengambil kereta di bilik pameran (showroom) turut sama-sama diraikan oleh ibu bapa yang juga 'tulang belakangnya' selama ini.

Tanpa diduga, si bapa tidak dapat menahan air mata apabila melihat pencapaian anak sulung perempuannya itu sebagaimana video yang dikongsikan di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kunci disangka tasbih digital, berderai air mata ayah pertama kali ada kereta baharu - “Selama besarkan kami, hanya guna second hand”

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpul duit busking 3 bulan nak beli kereta pertama, jejaka Labuan ini sedih Proton Saga baru pakai sebulan dicuri - “Kalau makan penat lelah orang, tak kekal”

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Bella Kamaruddin berkata, dia sebenarnya sudah mula 'mencari' pendapatan sendiri sejak masih bergelar penuntut di universiti kerana mahu menampung kos pengajian.

"Saya tak ambil sebarang pinjaman ketika belajar. Dalam masa sama, segan juga asyik nak minta duit dengan ibu bapa. Jadi waktu masih belajar, saya buat bisnes printing kecil-kecilan sebab ada printer.

"Kemudian masa di tahun akhir peringkat diploma, saya secara sambilan buat bisnes dengan satu syarikat eletrik dan eloktronik sebab fikir nanti nak kena cari wang untuk tampung kos sambung degree.

"Bila habis diploma, saya fokus bekerja dan kini dah masuk dua tahun.... Alhamdulillah, saya dapat memiliki kereta pertama," ujarnya yang membeli kereta Honda City pada Disember lalu.

Wanita berusia 22 tahun ini berkata, bapanya, Kamaruddin Mat Rejab, 51, pada mulanya kurang bersetuju apabila dia pertama kali meluahkan hasrat untuk membeli kereta baharu.

KERETA 2

Selain bapa, ibu dan adik Bella turut hadir membuat kejutan di showroom.

"Ayah kata guna sajalah kereta yang dah ada. Tapi kereta tu kereta lama, ada yang perlu dibaiki. Tapi kemudian dia berubah fikiran. Katanya, daripada gaji habis untuk perkara lain, baik habiskan pada kereta," ceritanya.

Bercerita pula mengenai momen menyentuh hati ketika bapanya membuat kejutan muncul di 'showroom' kereta bersama sejambak bunga, Bella berkata dia sama sekali tidak menjangka perkara tersebut.

"Saya datang showroom dengan kawan tapi kemudian tiba-tiba famili datang. Tak expect pun ayah bawa bunga. Terkejut dan terharu dalam masa yang sama sebab ayah sanggup 'lari' kejap dari tempat kerjanya, singgah rumah ambil mak dan datang ke showroom.

Janganlah lupa ibu bapa apabila dah berjaya. Apa-apa pun ibu bapa adalah keutamaan. Mereka yang besarkan kita.

BELLA KAMARUDDIN

"Ayah cakap tahniah. Tapi ayah bukan jenis meluahkan perasaan dengan kata-kata tapi tindakan. Lama ayah menangis. Ibu cerita, malam tu ayah menangis lagi.

"Ibu cerita ayah teringat masa saya kecil. Waktu saya menangis takut nak ke sekolah sebab saya sekolah cina, saya akan cakap mata masuk habuk. Dia ingat momen tu. Bila saya tanya ayah menangis ke waktu saya beli kereta tu, ayah pula beritahu matanya masuk habuk.

"Ayah memang seorang yang senang touching bila tiba bab keluarga. Masa saya dapat result SPM pun dia sebak. Begitu juga bila adik-adik lain dapat result periksa. Bab-bab famili ni dia cepat touching.

KERETA 3

Bella membeli kereta pertamanya, sebuah Honda City pada penghujung tahun lalu.

"Selain itu, ayah seorang yang sangat supportive. Walaupun dia seorang pendidik, tapi dia siap ajar saya macam mana target bisnes, macam mana nak tarik customer dan lain-lain," ujar anak sulung daripada enam beradik ini.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih melebihi 131,000 jumlah tontonan, Bella yang menetap di Kajang, Selangor berkata dia terharu dengan komen-komen yang dilontarkan netizen yang turut sama tersentuh melihat perkongsiannya.

"Apa yang boleh saya kongsikan, janganlah lupa ibu bapa apabila dah berjaya. Apa-apa pun ibu bapa adalah keutamaan. Mereka yang besarkan kita.

"Bagi mereka yang dah tak ada bapa pula, banggakanlah orang terdekat seperti ibu, keluarga ataupun rakan. Ramai yang luah mereka rindu bapa masing-masing selepas tengok video tu... tapi yang dah 'pergi' tu tetap dah 'pergi', maka kita hargai insan di samping kita," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain