suria

Hikmah ambil gambar makanan sebelum jamah, wanita terkejut siput kecil merayap celah daun salad! Daripada lapar terus rasa kenyang

Amirah terkejut mendapati seekor anak siput merayap di celah daun salad pada makanan yang dipesan.

MUNGKIN bagi sesetengah orang, sudah menjadi tabiat untuk mereka mengambil gambar makanan yang dipesan di restoran terlebih dahulu sebelum menjamahnya.

Begitu juga dengan wanita ini yang sering melakukan perkara sama hanya untuk diabadikan di media sosial.

Namun wanita ini sama sekali tidak menjangka dirinya berdepan insiden tidak diduga ketika dia menikmati makan malam di sebuah restoran pada Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan bengang waiter hanya gelak selepas hidang ‘telur dadar lipas’, anak owner bagi diskaun RM10 - “Tolong jaga kebersihan, jaga adab”

ARTIKEL BERKAITAN: Dah makan banyak, tiba-tiba nampak benda bergerak celah nasi dengan salmon... agak-agak apa yang berlaku selepas itu?

"Saya baharu lepas tukar getah pendakap gigi dan teringin sangat nak makan tomyam. Jadi saya dan tunang pergi ke sebuah restoran tomyam yang sangat dikenali sekitar Kuang, Rawang.

"Tapi saya berubah fikiran dan tak mahu order tomyam takut lambat. Saya pesan nasi goreng USA, manakala tunang pesan kerabu mi segera dan sotong celup tepung.

"Makanan yang dipesan tunang sampai dahulu, dan makanan saya tiba sekitar 20 minit kemudian. Macam biasa, saya ambil gambar nasi goreng tu dulu sebelum jamah.

"Tiba-tiba mata terperasan sesuatu bergerak di celah daun salad yang diletakkan sebagai hiasan. Rupa-rupanya seekor siput babi kecil tengah merayap dekat daun salad tu," cerita wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Amirah kepada mStar.

Terkejut melihat 'pemandangan' yang tidak diduga itu, Amirah kemudian bertindak merakam video sekadar untuk simpanan sendiri sebelum memanggil pelayan restoran.

"Kami panggil akak waiter (pelayan) yang hantar makanan saya tadi dan beritahu apa yang berlaku. Dia memohon maaf dan terus ambil daun salad yang ada siput tu depan mata kami.

nasi usa

Amirah memesan nasi goreng USA ketika menjamu selera di restoran berkenaan.

"Terkejut juga tapi saya percaya, kalau dia ambil pinggan tu pun, pihak kitchen takkan buat nasi goreng baru. Pasti mereka tukar daun salad saja.

"Saya bekas penuntut jurusan Pengurusan Seni Kulinari, jadi saya tahu serba sedikit pengalaman dalam 'line' F&B (food and beverages) dan pengendalian di dapur," ujar wanita berusia 25 tahun dari Rawang ini.

Tambah Amirah, dia hanya menjamah nasi goreng tersebut sedikit sahaja bagi mengalas perutnya yang lapar.

"Saya fikir mungkin tak ada rezeki nak makan malam tu... tak apalah, lagipun sebelum makanan saya sampai, saya jamah makanan tunang saya sikit.

"Masa jamah nasi goreng tu pun saya ragu-ragu juga. Daripada lapar terus jadi kenyang. Kami tak minta 'refund' pun. Selepas bayar, kami terus balik. Sebelum balik, akak waiter tu mohon maaf sekali lagi," ujarnya.

Restoran tu memang popular sebab makanannya sedap dan service pun okay. Tapi itulah, kena jaga dari segi kebersihan dan kualiti.

AMIRAH

Tambah Amirah, dia pernah menjamu selera di restoran berkenaan sebelum ini namun insiden 'siput' itu adalah kejadian pertama yang dialaminya.

"Serik sikitlah... mesti akan ada rasa trauma. Alhamdulillah, saya tak alami masalah selepas makan, cuma tunang saya beritahu dia cirit birit keesokan pagi. Sebab dia ada bungkus makanan lain untuk dibawa pulang juga. Mujurlah sakit perutnya tidak lama.

"Restoran tu memang popular sebab makanannya sedap dan service pun okay. Tapi itulah, kena jaga dari segi kebersihan dan kualiti," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Amirah berkata dia sekadar mahu menyampaikan mesej mengenai betapa pentingnya untuk restoran dan pihak yang mengendalikan industri makanan supaya mementingkan kebersihan dan kualiti.

komen

Antara komen lucu netizen pada perkongsian video Amirah di TikTok.

"Saya tak berniat nak viralkan perkara itu, jauh sekali nak tutup periuk nasi mereka. Malah saya pun tak nyatakan nama restoran. Niat saya hanya nak sampaikan mesej mengenai kebersihan.

"Kepada mereka yang berada dalam 'line' F&B, jagalah kebersihan. Hadam betul-betul bila kursus dan ikut SOP. Makanan tu nak masuk perut orang.

"Satu lagi, penting untuk periksa dulu makanan sebelum hantar kepada pelanggan, dan pelanggan pun sebaik-baiknya tengok dulu makanan sebelum jamah.

"Kadang-kadang bila fikir balik, ada juga hikmahnya saya tangkap gambar makanan sebelum jamah. Apapun, ambil pengajaran kisah ini untuk kesedaran bersama," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain