suria

“Janganlah kacau, nanti kau berjangkit tahulah” - Pemuda latah penat ‘lari’, tukar kerja cari ketenangan

Ariel sudah berhadapan dengan penyakit latah sejak zaman remaja lagi.

MENGUSIK atau menyakat individu yang melatah sudah menjadi kebiasaan bagi kita kerana menganggapnya sebagai satu gurauan.

Menurut seorang pembantu perubatan, Muhammad Shazril Shamsudin, 29, dia mula melatah kerana 'berjangkit' dengan ahli keluarga yang turut mengalami masalah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan saya minta atau buat-buat” - Penari suka melatah dakwa ‘berjangkit’ dengan nenek

ARTIKEL BERKAITAN: Pengapit latah gagal ikut ‘arahan’, terlompat-lompat semasa iring pengantin - “Awak kena tahan, ketap mulut betul-betul”

Mesra disapa Ariel, dia baru sedar mengenai penyakit tersebut ketika berusia 15 tahun semasa diusik kawannya yang mana pernah berlaku beberapa insiden dia membaling objek gara-gara terkejut.

"Saya sejak kecil lagi suka kacau nenek, ayah dan makcik saya yang kuat melatah. Nak dijadikan cerita, saya berjangkit melatah daripada mereka masa saya berusia 15 tahun.

"Waktu tu saya tidak tahu yang saya melatah. Kawan saya datang dari belakang, dia terus sergah saya. Saya terus lempar barang yang saya pegang dekat dia.

"Saya terus beri amaran kepada kawan saya janganlah kacau aku, nanti kau berjangkit tahulah. Tapi dia tak pedulikan apa saya cakap dan teruskan mengacau saya," jelasnya ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut, Ariel berkata melatah adakalanya boleh mengancam nyawanya sendiri dan juga orang lain.



Ariel cuba mencari jalan untuk melatih diri supaya tidak melatah.

Jelasnya lagi, ketika usianya 18 tahun terdapat satu kejadian membahayakan dan tidak boleh dilupakan sehingga ke hari ini.

"Masa umur 18 tahun, saya pernah bawa motosikal sambil makan angin dengan anak jiran saya yang berusia 12 tahun. Masa budak tu pegang pinggang saya, saya termelatah lalu saya 'terpulas' minyak sampai terbabas hingga ke tepi jalan.

Kalau saya tak bising, mesti bosan pula. Saya ni pantang bunyi bising kuat sikit terus melatah.

ARIEL

"Kami dua-dua jatuh motor dan budak tu ada luka sikit. Nenek dia marah saya sebab bawa budak tu sekali. Tapi nak buat macam mana, bukan saya sengaja sebab budak tu yang pegang pinggang saya. Saya memang mudah geli bahagian pinggang.

"Ada satu lagi kejadian tu saya tengah bawa kereta dan isteri berada di sebelah. Dia ada terbuka satu video bunyi hon. Saya terkejut sampai terus tekan minyak habis. Nasib baik kereta tak banyak atas jalan masa tu," ujarnya.

Jelas Ariel, dia cuba mencari jalan untuk melatih diri supaya tidak melatah kerana sudah penat dengan penyakit yang dihadapi ini.

Dia pernah bertukar tempat kerja di sebuah kilang paip besi pada 2012 dan berasa sangat lega kerana tiada siapa mengganggu dirinya semasa bekerja di sana kerana tidak tahu tentang dirinya.



Ibu bersama bapa Ariel yang kuat melatah juga.

Bagaimanapun, ketenangan itu tidak lama apabila dia berjumpa seorang kawan sekolah di tempat kerjanya.

“Dia tahu saya kuat melatah jadi dia suka kacau saya. Terus melatah saya datang balik. Saya sampai takut dah nak pergi site,” ujarnya lagi.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata ini, pada 2018 dia sekali lagi bertukar tempat kerja yang merupakan tempat kerjanya sekarang di sebuah hospital di ibu negara.

Jejaka ini turut akui bahawa dia penat dengan rakan-rakan yang suka mengusik dirinya tapi pada masa yang sama sudah lali dengan tindakan tersebut.

“Sekarang saya kerja dekat hospital. Saya ingat nak bina hidup baru dekat sini. Rupanya dekat wad saya jaga tu ada empat staf lain sama melatah juga. Makin parah saya berjangkit dekat sini.

“Penat tu penat tapi saya fikir, kelakar juga aku ni. Kalau saya tak bising, mesti bosan pula. Saya ni pantang bunyi bising kuat sikit terus melatah.

“Ada juga rasa malu tapi dah terbiasa dengan mereka yang kacau saya. Ini bukan kita minat atau buat-buat, memang original sudah ada dalam badan,” jelasnya lagi.



Ariel tidak berjumpa mana-mana pakar untuk merawat penyakitnya ini.

Dia berharap agar orang sekelilingnya dapat membantunya dengan berhenti membuatkan dirinya melatah dengan sengaja.

Namun, Ariel turut memberitahu bahawa dia tidak pergi berjumpa mana-mana pakar atau berubat kerana tidak mempercayai semua itu mampu mengubati penyakit latahnya ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain