suria

Viral 2021: Hebatnya kuasa sedekah! Peniaga kambing bakar syukur rezeki melimpah, tapi reda gerai ditenggelami air bah... plan buka gerai ke-2

Mustaqim mula berniaga kambing bakar sejak November 2020.

PADA Ramadan lalu, peniaga kambing bakar ini menjadi perhatian ramai gara-gara kisahnya yang bersedekah kepada seorang peniaga lain.

Menerusi laporan mStar pada 27 April, Mustaqim Hud, 22, sanggup memborong kesemua kuih yang dijual seorang wanita di sebuah bazar Ramadan.

Penangan kisah tular itu, dia mula meraih pelanggan baharu sehingga tidak menang tangan menguruskan perniagaan gerainya di Rantau Panjang, Klang, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasrah jual kambing bakar tak laku, lelaki cepat-cepat tutup gerai... kemudian terus pergi borong makanan peniaga senasib dengannya

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan viral di mStar, peniaga kambing bakar tak menang tangan terima tempahan... ramai ikut jejak bersedekah - “Rezeki Allah balas balik”

Dalam perkembangan terbaharu, dia yang senang disapa Mustaqim turut berkongsi khabar duka apabila gerainya ditenggelami air banjir pada 18 Disember lalu.

"Air naik sehingga paras dada pada hari Sabtu dan mulai surut pada Isnin.

"Saya tak ada pilihan, 11 hari terpaksa cuti untuk bersihkan gerai. Banyak barang mentah dan kelengkapan yang rosak. Ada juga kerusi yang dihanyutkan air banjir.

"Mula-mula tu rasa terkilan juga. Sedih dengan apa yang berlaku. Tapi bila fikir balik, ramai lagi mangsa banjir yang lebih teruk terkesan.

mustaqim2

Operasi perniagaan dihentikan seketika bagi membersihkan kesan banjir baru-baru ini.

"Ada yang kehilangan rumah. Sangat kesian apabila mengenangkan nasib mereka. Jadi, saya masih bersyukur biarpun diuji sikit baru-baru ini," ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu, Mus turut mengimbas kisah tularnya yang bersedekah kepada seorang peniaga pada Ramadan lalu.

Terima kasih semua yang baca artikel saya di mStar. Ada juga yang datang ke gerai saya selepas baca berita itu.

MUSTAQIM

Kata Mus, dia sendiri sudah melalui peristiwa yang membuktikan hebatnya kuasa sedekah sehingga rezekinya turut mencurah-curah.

"Pertamanya, kita bersedekah niat kerana Allah. Keduanya, saya bersedekah kepada peniaga lain dengan niat nak bantu mereka juga.

"Saya sendiri dah lalui kelebihan sedekah, dah rasa bagaimana hasilnya. Alhamdulillah, Allah balas balik rezeki kepada saya.

mustqaim4

Mustaqim bersama ibu bapanya.

"Saya juga terharu. Selain penduduk setempat, ada juga pelanggan yang datang jauh dari daerah-daerah lain," ujarnya.

Menurut Mustaqim, dia turut berterima kasih kepada mStar yang sudi menerbitkan artikel mengenainya, sekaligus membuka ruang untuk perniagaannya dikenali ramai.

Selain itu, Mustaqim juga berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, saudara-mara serta semua pelanggannya yang tak putus memberikan sokongan selama ini.

"Saya tak sangka akan dapat lalui situasi macam ni. Terima kasih semua yang baca artikel saya di mStar. Ada juga yang datang ke gerai saya selepas baca berita itu.

mustaqim3

Menu yang ditawarkan di gerainya.

"Selain itu, saya juga nak rakamkan penghargaan buat kawan-kawan yang sentiasa memberikan sokongan dan membantu promosi perniagaan saya.

"Saya juga berterima kasih kepada saudara mara dan keluarga. InsyaAllah tahun 2022, saya nak bawa keluarga jalan-jalan jika ada rezeki lebih.

"Kalau impian peribadi berkaitan jodoh, setakat ini belum lagi. Bayang pun tak ada lagi," ujar Mustaqim berseloroh.

Tambah Mustaqim yang sudah berniaga sejak November 2020, dia juga mahu mempelbagaikan menu pada tahun hadapan untuk membawa kelainan buat pelanggannya.

Malah, Mustaqim juga berharap impiannya untuk membuka sebuah lagi gerai akan tercapai pada tahun hadapan.

Untuk rekod, Mustaqim juga baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Shah Alam, baru-baru ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain