suria

Viral 2021: Hebat! Geng anak muda buat nama Felda Lakum jadi sebutan... dulu ‘tong-tong’ duit beli makanan, kini sampaikan bantuan mangsa banjir

(Kiri) Gambar ketika belia Felda Lakum mengagihkan makanan kepada pengguna jalan raya pada tahun lalu, (kanan) barangan yang bakal disumbangkan kepada mangsa banjir.

MASIH ingatkah anda pada kisah sekumpulan anak muda dari sebuah Felda di Pahang yang menunggu di tepi jalan untuk mengagihkan makanan dan minuman kepada pengguna jalan raya yang terkandas dalam kesesakan teruk ekoran banjir di Lebuhraya Pantai Timur, Januari tahun lalu?

Kisah kemuliaan hati belia Felda Lakum yang sanggup 'tong-tong' wang sesama sendiri untuk membeli makanan dan mengagihkan kepada pengguna jalan raya yang melalui kampung mereka menjadi tular sekaligus mengundang pujian warga maya.

Gara-gara mendapat liputan meluas daripada media sosial dan media arus perdana termasuk mStar, nama Felda Lakum secara tidak langsung dikenali dan menjadi sebutan ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak banyak kereta ‘luar’ masuk kampung, grup belia tak berlengah... ‘tong-tong’ duit beli makanan - “Sampai habis stok air mineral, roti di kedai runcit Felda Lakum”

Ketika dihubungi mStar, Mohd Rohaizanizam Mat Rodzi selaku Ketua Belia Felda Lakum berkata, dia sama sekali tidak menyangka tindakan anak buahnya meninggalkan impak kepada rata-rata rakyat.

"Selepas kisah belia Felda Lakum viral, saya akui sedikit sebanyak ia meninggalkan impak terutama dalam memberi contoh kepada orang lain. Saya juga ada menerima WhatsApp dari kenalan yang puji dan menyatakan penghargaan atas inisiatif belia Felda Lakum.

lakum 1

Kisah anak muda Felda Lakum yang mengagihkan makanan kepada pengguna jalan raya yang terkandas dalam kesesakan pada awal tahun lalu mengundang pujian ramai.

"Kita tak sangka pun niat ikhlas nak membantu pengguna jalan raya yang terkandas ketika itu mendapat perhatian ramai sebab mereka kebanyakan dari negeri luar yang berjalan-jalan di Pahang.

"Secara tak langsung ia membuka mata ramai yang hargai 'tindakan kecil' kami," ujar lelaki berusia 37 tahun ini.

Tambahnya, apa yang lebih membuatkan dirinya terharu apabila melihat ramai belia dari negeri luar berpusu-pusu menghulurkan bantuan kepada Pahang ketika negeri berkenaan terkesan teruk akibat bencana banjir yang melanda minggu lalu.

lakum 2

AJK belia Felda Lakum membuat persiapan untuk misi bantuan banjir.

"Ada yang dari Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan negeri lain yang turun hulurkan bantuan dan sumbangan... bagi saya ia seakan-akan membalas budi. Dulu kita bantu orang, sekarang orang bantu kita pula," ujarnya yang sudah empat tahun memegang jawatan Ketua Belia Felda Lakum.

Mohd Rohaizanizam juga menambah, belia Felda Lakum juga tidak ketinggalan menyertai misi bantuan banjir di beberapa daerah di Pahang yang terkesan dek bencana itu.

Inilah yang saya selalu terapkan kepada anak-anak buah... kita mulai dengan usaha dan inisiatif sendiri. Apa yang berlaku depan mata, terus bertindak.

MOHD ROHAIZANIZAM MAT RODZI

KETUA BELIA FELDA LAKUM

"Alhamduillah, Felda Lakum tidak dilanda banjir namun kawasan bandar berhampiran iaitu Lanchang terjejas teruk. Jadi pada hari pertama tahun 2022, team belia Felda Lakum turun padang untuk beri bantuan kepada penduduk di Lanchang, Mentakab dan Temerloh.

"Kita dah siap-siap packing barangan untuk setiap rumah berupa kelengkapan solat, makanan, bantal, selimut dan lain-lain.

"Ini adalah hasil sumbangan daripada orang luar juga yang menyumbang kepada tabung belia kami. Alhamdulillah ramai yang bagi sumbangan. Tak sangka ia sambutan lebih-lebih lagi sejak viral," ujarnya lagi.

lakum 3

Team belia bertungkus lumus melakukan persiapan sebelum mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Rohaizanizam dalam masa yang sama menzahirkan penghargaan kepada pihak luar yang tidak lokek membantu mangsa banjir di Pahang.

"Memang dalam rangka perancangan kami juga untuk turun padang ke negeri lain yang terkesan bencana banjir untuk tiupkan lagi semangat tolong-menolong sesama rakyat.

"Inilah yang saya selalu terapkan kepada anak-anak buah... kita mulai dengan usaha dan inisiatif sendiri. Apa yang berlaku depan mata, terus bertindak," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain