suria

Ibarat satu keluarga, geng rider tak kisah motor kena lumpur... sanggup lupakan kerja, tolak bonus nak jadi sukarelawan misi bantuan banjir!

Geng rider daripada pelbagai syarikat penghantaran makanan berkonvoi menyertai misi bantuan mangsa banjir.

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu menyebabkan rata-rata rakyat turut terkesan.

Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri juga terasa sakitnya.

Melihat paparan berita dan perkongsian di media sosial, ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan mahupun individu persendirian berpusu-pusu turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak peduli hujan lebat, rider sanggup redah banjir paras lutut hantar makanan

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai ‘panas hati’ sampai ada yang menangis – “Dah order tu standby lah siap-siap!”

Dalam satu video yang tular di media sosial, kelihatan puluhan rider daripada pelbagai syarikat penghantaran makanan (food delivery) berkonvoi untuk menghantar bantuan ke perkampungan yang terjejas teruk dek bencana tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Hafiz Abqari yang turut serta dalam misi tersebut berkata, lebih daripada 30 penghantar makanan turun padang untuk menghantar bantuan hasil inisiatif yang digerakkan YouTuber, Irwan Ahmad.

"Saya nampak hebahan tersebut di laman Facebook dan tergerak untuk sama-sama turun membantu mangsa banjir. Saudara Irwan yang jadi pendorong dan buat inisiatif mengumpulkan rider-rider dalam misi baru-baru ini.

"Misi yang bermula pada 24 Disember itu disertai dalam 30 hingga 40 orang rider daripada Grab, FoodPanda, Lalamove dan lain-lain lagi. Bukan saja dari Selangor, malah ada juga rider dari Kedah turun padang.

rider 2

Geng rider terpaksa mengangkut bekalan makanan dan barang bantuan memandangkan jalan ke sebuah perkampungan Orang Asli tertimbus dek tanah runtuh.

"Kami mungkin tak kenal satu sama lain sebelum ini, namun ketika misi tersebut, semuanya ibarat satu keluarga.

"Inisiatif ni memang bagus sebab saya sendiri pada mulanya tertanya-tanya, macam mana nak bantu mangsa banjir. Kalau buat seorang diri atau kawan-kawan saja, tak banyak yang boleh kita bantu. Bila ada inisiatif ini, kita boleh bantu dalam skala yang besar sikit," ujar pemuda berusia 22 tahun ini.

Berkongsi pengalaman ketika turun padang di lapangan, pemuda yang senang disapa sebagai Hafiz ini berkata, sepanjang misi bermula dari pagi hingga petang yang disertainya, mereka menghantar bantuan makanan dan keperluan penting ke beberapa perkampungan di Sungai Lui, Hulu Langat di Selangor dan juga Kuala Klawang di daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

rider 1

Misi bantuan mangsa banjir di salah sebuah perkampungan Orang Asli.

Tambah Hafiz yang juga seorang penuntut jurusan Ukur Bahan di Univeristi Teknologi Mara (UiTM), dia bertuah kerana dapat menimba pengalaman yang sangat berharga apabila melihat sendiri kesulitan yang dihadapi mangsa banjir.

"Sesetengah daripada kita mungkin bernasib baik tidak ditimpa ujian hebat seperti mereka. Bila turun sendiri ke kampung Orang Asli, sedih bila mereka kata bantuan tak dapat. Kalau ada, ada lah... kalau tak ada, tak ada lah.

Kami mungkin tak kenal satu sama lain sebelum ini, namun ketika misi tersebut, semuanya ibarat satu keluarga.

MUHAMMAD HAFIZ ABQARI

RIDER

"Saya salute dengan rider kerana sanggup ketepikan seketika kerja atau kejar bonus semata-mata nak join kerja sukarela ni. Biarpun motosikal dan pakaian terpalit lumpur, tapi apalah sangat jika nak dibandingkan dengan mangsa banjir yang kena cuci rumah dan macam-macam lagi," ujarnya yang bekerja sebagai sebagai rider secara separuh masa ketika ini.

Tidak menyangka perkongsiannya di Twitter menjadi tular, Hafiz berkata dia sekadar mahu mengwar-warkan situasi di beberapa perkampungan yang kurang menerima bantuan kerana 'terlepas perhatian' daripada orang ramai.

rider 3

Lebih daripada 30 rider menyertai misi bantuan mangsa banjir.

"Kampung-kampung yang kami pergi ketika itu kurang terima bantuan sebab ramai tak tahu. Sebab itu saya kongsi di media sosial.

"Bukan nak viral atau dapatkan perhatian mahupun pujian, namun sebab rider ni tahu betapa susahnya mereka sebab kami pun bukan orang senang. Kami tahu macam mana rasanya bila susah. Kami buat atas dasar sukarela.

rider 4

Hafiz menyifatkan penyertaannya dalam misi bantuan mangsa banjir baru-baru ini sebagai salah satu pengalaman yang paling berharga.

"Dalam pada itu, kami nak berterima kasih kepada saudara Irwan kerana wujudkan inisiatif ini. Begitu juga dengan syarikat korporat antaranya Shell yang sponsor minyak petrol ketika misi ini.

"Kepada anak-anak muda yang lain, gunakanlah keringat untuk membantu mereka yang memerlukan. Masa inilah kita nak bantu... bangga rasanya bila lihat ramai anak muda join misi sukarelawan macam ini," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain