suria

“Sampai bila nak hidup macam tu?” - Pemuda wajah iras aktor Gong Yoo dah tak merempit, kini fikir masa depan

Shah menerima pelbagai reaksi netizen berhubung persamaan wajahnya dengan aktor popular Gong Yoo. Foto: Instagram gongyoofc.

FILEM Korea Selatan, Train To Busan pernah menjadi fenomena di seluruh dunia ketika ia ditayangkan pada tahun 2016.

Gong Yoo, aktor kacak yang menerajui filem itu turut menjadi perhatian ramai sehingga dia meraih ramai peminat termasuklah dari Malaysia.

Baru-baru ini, tular wajah seorang jejaka tempatan yang dikatakan mirip aktor popular itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak jati Kuching miliki wajah mirip D.O (EXO), akui memang minat K-Pop tapi tak sampai fanatik - “Ingatkan kawan-kawan bergurau je dulu”

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai diserbu selepas pekerjanya dikesan iras aktor Thai... tuan badan terus Google, tonton drama lakonannya - “Dia lagi kacak, saya biasa saja”

Menurut individu tersebut, Muhd Shah Bakri Abu Bakar, 22, komen yang memperkatakan mengenai persamaan itu sebenarnya sudah lama diterima.

Namun jelasnya, ia kembali hangat diperkatakan selepas dia menyunting sebuah video yang memaparkan transisi wajahnya dengan aktor itu, sekitar tiga bulan lalu.

"Sebenarnya dari zaman sekolah lagi dah ada orang tegur mengenai persamaan wajah kami. Tapi saya tak pernah ambil serius pun.

"Hari tu saya cuba buat video, ramai pula yang kata wajah kami sama. Saya sendiri tak jangka akan dapat reaksi sebegitu.

"Saya yang tengok diri sendiri, saya rasa tak sama sangat pun. Tapi memang tak sangka video ini akan viral," ujarnya yang mesra disapa Shah.

sha2

Shah mula berniaga sejak tiga tahun lalu.

Di sebalik komen yang memperkatakan persamaan wajah itu, ada juga netizen yang tidak bersetuju dan meninggalkan komen negatif buatnya.

Kata Shah, dia tidak pernah berkecil hati, sebaliknya dari awal bersedia untuk berdepan komen atau kritikan seperti itu memandangkan ia lumrah dalam dunia media sosial.

Dulu saya antara orang yang diberi gelaran mat rempit. Orang label saya sebagai budak yang tiada masa depan, tiada kerjaya dan tiada hala tuju.

SHAH

"Apa yang kita buat, mesti akan ada komen bitter. Bila dah buat content, kita kena bersedia dengan komen pedas. Tapi saya tak pernah ambil hati.

"Antara komen negatif yang saya dapat, mereka kata wajah saya dan Gong Yoo tak sama. Ada yang cakap saya ni Gong Gong, bukan Gong Yoo.

"Saya tak pernah ambil serius, saya anggap sebagai gurauan saja. Bila dah masuk media sosial, kena bersedialah.

"Apa yang negatif orang bagi, saya ambil dari sisi positif. Mungkin dia akaun palsu, dia belum ada rezeki lagi nak jadi macam kita," ujarnya yang menetap di Mentakab, Pahang.

Ketika temubual bersama mStar, Shah yang juga anak bongsu daripada lima beradik sempat bercerita mengenai kisahnya yang bergelar usahawan pada usia muda.

shah1

Video Shah yang tular di TikTok.

Imbas Shah, dia pernah dilabel dengan gelaran mat rempit dan dianggap tidak mempunyai masa depan oleh segelintir individu.

Namun, dia enggan berkecil hati, sebaliknya menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

"Saya hanya bekerja sendiri. Saya jual kopi kurus. Saya dah berniaga sejak tiga tahun lepas.

"Dulu saya tak macam ni. Dulu saya antara orang yang diberi gelaran mat rempit. Orang label saya sebagai budak yang tiada masa depan, tiada kerjaya dan tiada hala tuju.

"Biasalah masa zaman sekolah, darah muda, saya mencuba aktiviti sosial. Nak cuba semua benda. Tapi saya mulai sedar, sampai bila nak hidup macam tu?

shah 4

Aktor Korea Selatan, Gong Yoo. (Foto: Instagram _gongyoo_official_)

"Saya jadikan kata-kata itu sebagai titik perubahan, saya nak buktikan saya boleh berjaya. Sejak itu saya ceburi bisnes," ujarnya lagi.

Menurut Shah, dia ada impian tersendiri dan berharap dapat bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti.

"Kalau kita tengok, bisnes ini potensinya luas. Hajat saya dalam lima tahun lagi, saya nak jadi online marketing trainer, nak jadi motivator yang kongsi ilmu bisnes.

"Saya juga teringin nak bawa mak ayah ke Makkah. Paling penting, kita kena percaya dengan proses yang perlu ditempuhi.

"Rasa nak putus asa, semua orang akan rasa. Tapi pada saya, lagi banyak kita gagal, lagi dekat kita dengan kejayaan.

"Pendirian saya, sekali dah masuk bisnes, teruskan sampai habis," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain