suria

Sweet! Lelaki ini kejutkan rakan mahu pulang ke Myanmar, akhirnya dapat juga foto di KLCC - “Balik kerja, saya minta dia bersedia”

Dua sahabat ini sempat berjalan-jalan di Kuala Lumpur pada minggu lalu.

EMPAT tahun berada di Malaysia bukanlah satu tempoh yang singkat.

Namun, jejaka Myanmar berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Myo ini tidak sempat mengukir banyak kenangan ketika mencari rezeki di sini.

Sebelum berangkat pulang ke Myanmar buat selama-lamanya pada minggu lalu, dia diraikan oleh sahabatnya, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 23, dengan percutian singkat ke ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa di stesen LRT, terus naik pelamin! Wanita ini tak sangka boleh ‘sangkut’ dengan abang mekanik dari Iraq - “Ramai tanya cara kahwin foreigner”

ARTIKEL BERKAITAN: Internet jadi cikgu sejak umur 14 tahun, gadis ini puas tengok K-Drama tanpa sarikata... siap buat barter trade dengan warga Korea!

"Sebenarnya kami sama-sama kerja di sebuah pasar raya di Pahang. Dia dah kerja empat tahun, saya pula baru kerja tiga bulan.

"Saya kerja bahagian khidmat pelanggan, jadi kami sentiasa bertemu. Dari situ kami rapat dan berkawan. Kalau tengok Myo, dia sebenarnya macam orang Melayu.

"Sebulan lepas saya dapat tahu dia nak balik Myanmar. Sepanjang empat tahun kerja sini, dia tak sempat nak jalan-jalan pun. Jadi saya nak bawa dia enjoy Malaysia," ujarnya yang mesra disapa Firdaus.

Menurut jejaka dari Bentong itu, dia membawa Myo menaiki sebuah motosikal untuk bercuti selama dua hari satu malam di Kuala Lumpur.

Paling mengujakan kata Firdaus, Myo mahu merakam gambar kenangan dengan binaan ikonik Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebelum pulang ke negara asalnya.

"Saya tak plan sebenarnya. Lepas balik kerja, saya cuma minta dia bersedia. Kami pergi menaiki sebuah motosikal untuk bercuti dua hari satu malam di Kuala Lumpur.

firdaus2

Firdaus (kanan), dia mula berkawan dengan Myo (kiri) sejak tiga bulan lalu.

"Sebelum ni dia pernah tengok KLCC, tapi tak sempat bergambar. Jadi saya bawa dia untuk bergambar di situ. Saya juga bawa dia jalan-jalan, belikan baju dan makan-makan," ujarnya lagi.

Menurut Firdaus, dia juga tidak menyangka video percutian singkat dia dan Myo yang dikongsi di TikTok akan meraih perhatian ramai.

Kalau kita ada perasaan, mereka juga ada perasaan. Cuba letak diri kita di tempat mereka.

FIRDAUS

Selain disimpan sebagai kenangan, Firdaus juga mahu video itu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia agar tidak memandang rendah kepada pekerja asing di negara ini.

"Saya kongsi video itu untuk disimpan jadi kenangan. Tak tahu bila lagi dia akan datang Malaysia. Myo ada cakap, mungkin dia tak akan datang balik dah.

"Saya juga nak spread awareness untuk kita hargai pekerja asing. Ada dalam kalangan kita yang pandang rendah pada mereka.

"Saya tak harap pun orang lain buat seperti mana yang saya buat. Cuma, sekurang-kurangnya kita boleh jadi duta kepada negara kita untuk tunjuk budaya baik di Malaysia.

"Jangan pandang rendah kepada pekerja asing. Mereka juga manusia. Kalau kita ada perasaan, mereka juga ada perasaan. Cuba letak diri kita di tempat mereka," ujar Firdaus yang turut menjalankan perniagaan tudung secara dalam talian.

firdaus3

Firdaus turut berkongsi video percutian singkat dia dan Myo ke aplikasi TikTok.

Tambah Firdaus, biarpun mereka terpisah beribu batu, dia dan Myo masih lagi berhubung melalui panggilan video.

Malah jika ada peluang dan rezeki, Firdaus juga berhasrat untuk berkunjung ke Myanmar suatu hari nanti.

Sehingga kini, video yang dikongsi Firdaus menerima hampur 60,000 tontonan di TikTok.

Ramai netizen di ruangan komen turut memberikan pujian buat Firdaus atas layanan baiknya ke atas jejaka Myanmar itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain