suria

Anak serba salah... tauhu berlauk laris selepas Tokti reviu di IG, ibu pula kritikal di hospital, akhirnya nekad berhenti kerja jurutera - “Saya cakap kat mak, dia tak respons”

Perasaan Faris bercampur baur apabila bisnesnya mendapat sambutan gara-gara reviu Instagram Tokti, namun pada masa sama arwah ibunya sedang kritikal di hospital.

SELEPAS 11 tahun berkhidmat sebagai jurutera, jejaka ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Malah, keputusan Muhammad Faris Mohd Zamri, 32, yang memulakan perniagaan tauhu berlauk pada tahun lalu tidaklah semudah yang disangka.

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Faris mengakui ada sebab tersendiri dalam mengubah haluan kerjayanya ketika pandemik Covid-19 sedang melanda.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah menyesal, idea ibu buat jurutera seronok selepas berhenti kerja... hari-hari bergelumang dengan si bulus - “Ilmu kena cari, apa jadi Tuhan dah tulis”

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tak sangka hilang kawan gara-gara nak kuruskan badan, terpaksa kuat semangat sebab ‘gerun’ dengar kata-kata doktor

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac 2020, banyak projek terpaksa dihentikan seketika. Saya pula jenis tak boleh duduk diam.

"Masa tu saya cakap kepada seorang kawan bahawa saya nak berniaga, tapi tak tahu nak jual apa. Dia pun bagi cadangan untuk buat tauhu. Jadi saya pun cuba saja.

faris4

Faris mula berniaga pada tahun lepas.

"Pada masa tu, saya juga rasa nak cabar diri. Saya nak buat satu benda lain sebab sebelum ini dah selesa, saya tak nak hidup dalam zon selesa terlalu lama," ujarnya.

Ketika perniagaan sedang berkembang, Faris diuji apabila ibunya, Faudziah Abdul Hamid jatuh sakit dan meninggal dunia pada 16 Julai tahun lalu.

Menurut Faris, arwah ibunya menjadi sumber kekuatan utama sehingga dia nekad berhenti kerja pada 20 Julai 2020, empat hari selepas pemergian ibunya.

Imbas Faris lagi, perasaannya juga bercampur baur apabila bisnes yang diusahakan mendapat sambutan gara-gara reviu yang dibuat oleh penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada awal bulan itu dan pada masa sama, ibunya sedang kritikal di Hospital Serdang, Selangor.

Musuh paling ketat merupakan diri sendiri. Kalau boleh lawan musuh itu, InsyaAllah kita boleh berjaya.

FARIS

"Tauhu saya betul-betul dapat sambutan selepas Datuk Siti makan. Ketika Datuk Siti kongsikan reviu di Instagram pada 4 Julai, mak saya sedang kritikal.

"Saya tak tahu perasaan macam mana pada waktu itu. Tapi saya sempat genggam tangan arwah mak, saya sempat cerita kepada arwah mak bahawa Datuk Siti dah makan tauhu yang saya buat. Saya cakap kat mak, tapi dia tak respons.

"Waktu tu order banyak sangat masuk. Pada 16 Julai, mak meninggal dunia. Empat hari kemudian, pada tarikh 20 Julai saya berhenti kerja. Mungkin Allah nak bagi sesuatu, tapi ada benda yang 'diambil' daripada saya. Saya terima semua ketentuan-Nya," uja Faris lagi.

Kini, selepas lebih setahun berlalu, Faris masih bersemangat meneruskan perniagaan dan menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran untuknya.

faris3

Faris sebelum ini bekerja sebagai jurutera.

Imbas Faris, dia juga ada menerima tentangan ketika beralih bidang kerjaya, namun percaya akan konsep rezeki dan tidak pernah menyesali keputusan itu.

"Terlalu ramai sebenarnya yang menentang keputusan ini. Bila saya berhenti kerja, ada yang cakap... dulu elok-elok kerja, sekarang berniaga.

"Macam keluarga pula, mereka tak menghalang, cuma risau bagaimana saya nak bayar komitmen dan sebagainya. Sangat susah saya nak sesuaikan diri sebab tiada pengalaman dalam bidang ini. Dalam famili, tiada seorang pun yang berniaga.

"Tapi saya cuba untuk buktikan dalam tiga ke lima bulan pertama. Dulu masa tahun 2017, tahun 2018... saya pernah bergurau cakap nak berniaga dan berhenti kerja. Tapi mak tak izinkan. Tapi pada tahun lepas, mak izinkan. Mak doakan saya berjaya, dia pesan nanti tolong adik-beradik.

faris2

Faris bersyukur bisnes yang diusahakan makin mendapat sambutan.

"Saya tak tahu macam mana mak terbuka hati. Sebab sebelum ini dia halang. Mungkin waktu tu Allah bagi petunjuk untuk izinkan sebelum dia meninggal," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Paling penting kata Faris, sesiapa sahaja yang terjun ke dunia bisnes harus percaya pada diri dan tidak mudah untuk berputus asa.

"Pertama, kena percaya diri dan tahu kemampuan diri. Semua orang layak untuk berjaya, berjasa dan jadi kaya. Musuh paling ketat merupakan diri sendiri. Kalau boleh lawan musuh itu, InsyaAllah kita boleh berjaya.

"Semua orang juga bermula dari bawah. Awal-awal dulu, buat live orang tak tengok. Tapi saya paksa dan biasakan sehingga ia jadi culture dalam diri, kena percaya bahawa rezeki Allah itu luas. Yang penting, usaha," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain