suria

Fuh! Bukan 1, tapi 3 foto kreatif milik rakyat Malaysia umur 20 tahun jadi pilihan Apple - “Saya bukan jurugambar”

Foto kanan menunjukkan kepulan awan dan botol hasil rakaman Nuaim disiarkan di Instagram Apple.

BUKAN satu, tapi tiga foto yang dirakamkan seorang anak muda terpilih untuk disiarkan menerusi laman Instagram syarikat teknologi gergasi, Apple.

Foto yang memaparkan dua panorama awan dan satu lagi gambar menunjukkan pokok kelapa bersama prop diolah secara kreatif.

Ia sekali gus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia bertuah terbaharu yang hasil fotografinya menjadi tatapan 26.4 juta pengikut laman Instagram itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Apple nun jauh di Amerika hargai foto rumput hijau di utara tanah air, jurugambar tak kecil hati ada yang perlekeh - "Setakat macam ni, biasa je..."

Pemuda kelahiran Kuantan, Pahang itu, Muhammad Nuaim Zulkarnain berkata, dua foto itu dirakam di Pantai Air Leleh, Pekan, manakala satu lagi di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.

Baru berusia 20 tahun, katanya, foto pertama yang disiarkan Apple memaparkan kepulan awan yang unik menggunakan botol minuman sebagai prop.

"Foto tersebut saya gambarkan seperti roket. Foto kedua merupakan rakaman secara kreatif menunjukkan seolah pokok kelapa itu kecil dan pokok itu cuba dibengkokkan.

"Foto ketiga menunjukkan jari dan penggunaan ketip kuku di mana bulan yang berbentuk sabit itu kelihatan seperti bahagian kuku yang telah dipotong," katanya kepada mStar.

photo apple 1 A

Salah satu foto yang disiarkan menerusi Instagram Apple.

Lebih mesra disapa Nuaim, dia tidak menyangka tiga fotonya dipilih Apple kerana hobinya merakam gambar menggunakan telefon pintar sejak setahun lalu sekadar suka-suka.

"Perasaan tu amat teruja dan bersyukur kerana terpilih. Tak sangka sebab saya bukanlah jurugambar mahupun melakukan kerja-kerja fotografi secara profesional atau sambilan.

"Terkejut, tapi rasa bangga sebab boleh bersaing dengan orang-orang yang power dalam fotografi," katanya yang mengikuti perkembangan Nor Azmeer Iskandar Amir Hamzah yang gambarnya juga pernah terpilih disiarkan di Instagram Apple awal tahun lalu, serta jurugambar antarabangsa, Sam Kolder yang mempunyai 1.7 juta pengikut di Instagram.

photo apple 2

Dua lagi gambar yang dipilih Apple turut disiarkan.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia merakamkan gambar-gambar secara unik dan kreatif menggunakan iPhone 11 Pro, serta penggunaan prop yang bersesuaian.

"Saya suka mengambil gambar di tepi pantai, kebiasaannya pada hujung minggu. Jarak dari rumah saya ke pantai terdekat iaitu Teluk Cempedak antara 15 hingga 20 kilometer.

"Gambar-gambar yang saya rakam lebih kepada alam semula jadi dan minimalis," katanya yang menetap di Perkampungan Indera Sempurna.

photo apple 3

Nuaim gemar mengambil gambar di tepi pantai.

Nuaim berkata, dia akan keluar rumah seawal pukul 6.15 pagi selepas Subuh untuk ke pantai ditemani rakan-rakan bagi sesi fotografi.

"Kebanyakan gambar saya pada waktu matahari terbit antara pukul 7 pagi dan 9 pagi kerana pencahayaan waktu ini cukup baik sekiranya menggunakan telefon.

Jika ada rezeki memang nak jadi jurugambar. Ada yang tawarkan saya job fotografi tapi saya terpaksa tolak kerana saya ambil gambar guna telefon je

MUHAMMAD NUAIM ZULKARNAIN

"Memang mencabar sebab ada kawan-kawan yang liat nak bangun pagi. Mereka bukan saja teman untuk bergambar tapi meluangkan waktu dengan makan bersama.

"Kalau mereka tak bangun, sayalah yang akan buat 'spam' banyak kali call mereka untuk pergi ke pantai," ujarnya secara berseloroh.

photo apple 4

Nuaim mengimpikan untuk bergelar jurugambar profesional.

Bagi pelajar Diploma Amalan Makanan Halal di Politenik METro Kuantan ini, dia sememangnya mengimpikan untuk menjadi jurugambar profesional pada masa akan datang.

"Jika ada rezeki memang nak jadi jurugambar. Ada yang tawarkan saya job fotografi tapi saya terpaksa tolak kerana saya ambil gambar guna telefon je.

"Belum ada modal untuk beli kamera. Tapi pernah terfikir juga sama ada nak beli kamera, dron atau upgrade telefon kepada iPhone 13 yang baru nanti... tengok bajet macam mana nanti," katanya yang membantu rakan menjual biskut secara kecil-kecilan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!