suria

Sendirian angkat 5 tan sawit masuk lori, pemuda ini ada alasan enggan guna mesin... harap isteri faham sesuatu daripada video dikongsi

Afiq senang bekerja sendirian biarpun terpaksa menggunakan kudrat yang ada tanpa sebarang bantuan mesin.

KEKUATAN jejaka berusia 24 tahun ini mengangkat tandan kelapa sawit ke dalam lori ternyata mencuri perhatian ramai.

Malah, video ketika dia sedang bekerja yang dikongsi di aplikasi TikTok turut tular sehingga meraih lebih 70,000 tontonan.

Menurut Mohd Afiq Norizam, dia yang menetap di Felda Maokil, Segamat, Johor sudah dua tahun bekerja sebagai tukang angkat sawit.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak mau, ayah paksa” - Anak Felda tak menyesal ikut cakap bapa, ‘menyinar’ ketika belajar... kini jadi pensyarah bidang elektrik

ARTIKEL BERKAITAN: Teruskan legasi selepas ayah sakit... lulusan SPM jual air soya mahu senangkan ibu bapa... remaja ada bakat edit video sedih tak mampu hadiah kejayaan

Bercerita lanjut kepada mStar, dia yang senang disapa Afiq mengakui ada mesej yang mahu disampaikan kepada masyarakat menerusi video yang dikongsi di TikTok miliknya.

"Kalau tengok pada kapsyen, saya hanya suruh orang ramai teka berapa kilogram (kg) berat tandan kepala sawit yang saya angkat.

"Tapi video itu saya kongsi untuk tunjuk kepada orang di luar sana, bagaimana kita mencari duit untuk menyara keluarga.

"Saya nak sampaikan mesej kepada orang yang berkeluarga, khususnya isteri, supaya jangan perlekeh suami.

afiq2

Afiq bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

"Saya rasa mesej itu sampai. Walaupun saya tak nyatakan pada kapsyen, tapi ada orang komen, meminta kaum hawa hargai suami yang susah payah cari nafkah," ujarnya.

Menurut Afiq, kerja itu tidaklah semudah yang disangka, malah dia turut berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko.

Saya cuma fikir ada tanggungan. Itu yang membuatkan saya kuat.

AFIQ

Malah katanya, dia senang bekerja sendirian biarpun terpaksa menggunakan kudrat yang ada untuk mengangkat buah kelapa sawit ke dalam lori tanpa sebarang bantuan mesin.

"Ada buah yang saya angkat, sebesar tayar lori. Dalam 70 ke 80kg. Kalau kawasan berbukit, ada risiko buah terjatuh ke dalam gaung.

"Kalau nak kata sakit, memang normal pada semua yang kerja macam saya. Biasanya kalau terlampau sakit, saya akan urut. Tapi tak elok juga selalu urut, nanti akan beri kesan kepada tulang. Nak tak nak, risiko sakit pinggang itu normal.

"Saya bawa lori sendirian, angkat tandan sawit ke dalam lori juga sendirian. Saya memang 'jalan' seorang. Biasa dalam satu kebun ada 10 ekar, majoriti buah dalam lima tan.

"Kalau lori saya, biasa akan bawa dalam tiga susun bersamaan lima tan, ada dalam 100 ke 200 tandan. Ramai juga yang tanya, kenapa tak guna mesin? Jawapannya, kalau pakai mesin, tuan kebun kena keluar banyak duit.

afiq4

Antara video yang dikongsi di TikTok.

"Kita yang 'loading' pun dah kurang kerja kalau pakai mesin. Bila pakai mesin, tak perlu lagi guna orang untuk angkat sawit," jelasnya lagi.

Afiq yang pernah bekerja di bengkel mengakui hanya keluarga yang menjadi kekuatannya dalam meneruskan pekerjaan.

Dedah Afiq lagi, dia dan isteri, Nur Sharkila Ahlan, 23, bakal menyambut cahaya mata kedua tidak lama lagi.

"Saya cuma fikir ada tanggungan. Itu yang membuatkan saya kuat. Memang fikir akan keluarga saja.

"Saya dah berkahwin pada tahun 2018. Dah ada anak umur setahun sembilan bulan. InsyaAllah akan dapat anak kedua tak lama lagi. Sekarang isteri hamil 37 minggu," ujarnya.

afiq3

Afiq kuat meneruskan pekerjaan demi keluarganya.

Sementara itu, Afiq berkata dia turut terkejut dibanjiri banyak komen di aplikasi TikTok.

Selain bertanya mengenai pekerjaan itu, ramai anak Felda turut berkongsi kisah mereka dan menyifatkan video dikongsi Afiq sebagai pengubat rindu buat mereka.

"Ada juga yang komen, ceritakan kisah lama mereka tolong ayah tolak buah di Felda. Mereka cerita kenangan. Jadi video saya jadi pengubat rindu untuk mereka.

"Sebenarnya saya tengok ramai lagi orang di luar sana yang bekerja lebih keras, angkat buah lagi besar, tapi mereka tak tunjuk kepada sesiapa. Jadi saya wakilkan mereka, untuk tunjuk realiti kepada masyarakat," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain