suria

Kos tak sampai RM10, besar jasa ‘studio mini’ kotak untuk pelajar! Pensyarah terkejut sampai ke Indonesia minta buat video tutorial

Nik Majizaidi (gambar kecil) menggunakan kaedah studio mini pada awal PdPR.

BUKAN mudah untuk golongan pendidik memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19.

Begitulah juga dengan seorang pensyarah yang mencuba kaedah 'studio mini', menggunakan sebuah kotak, tiga biji lampu, sekeping papan putih dan beberapa pen marker pelbagai warna.

Manakala telefon pintar pula diletakkan di atas kotak untuk membuat rakaman ketika menunjukkan kaedah pengiraan bagi subjek Matematik semasa kelas dalam talian (online).

ARTIKEL BERKAITAN: Guru Sejarah berdebar setiap kali PdPR, ibarat tunggu jodoh... apa dah jadi sampai kena pasang lagu Korea?

ARTIKEL BERKAITAN: Murid minta panjangkan sesi PdPR, guru terpaksa buka ruang ‘perbahasan’ dengan rakan sekelas - "Saya ikut suara majoriti"

Pensyarah berkenaan, Nik Majizaidi Nik Muhammad berkata, idea menghasilkan studio mini PdPR itu dicetuskan oleh rakan tenaga pengajar, Sarimi Sabdin, 33, yang mendapat inspirasi daripada masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam kalangan mereka bermulanya pandemik awal tahun lalu.

Lelaki berusia 46 tahun itu memberitahu, antara isu yang berbangkit ketika awal PdPR diperkenalkan adalah pengajar kurang berkemampuan untuk memiliki gajet dan tidak berkemahiran menggunakan peranti itu.

"Saya merupakan golongan yang tidak mahir menggunakan gajet untuk PdPR. Sebelum ini sudah terbiasa dengan sesi pengajaran secara bersemuka dengan para pelajar.

"Tiba-tiba kena PdPR, memang tergagap-gagap nak ajar online. Jadi, sentuhan studio mini yang banyak membantu saya untuk mengajar selama setahun," katanya kepada mStar.

studio mini pdpr 5

Nik Majizaidi menggunakan 'studio mini' pada awal sesi PdPR tahun lalu.

Nik Majizaidi yang lebih dikenali sebagai Sir Nik dalam kalangan pelajar berkata, mengajar subjek Matematik memerlukan cara kerja bagi kefahaman yang lebih mudah.

"Mengajar guna kotak (studio mini) ini seperti kita mengajar dalam dewan kuliah atau bilik tutorial. Tiada masalah kalau blackout (bekalan elektrik terputus) kerana rakaman dibuat menerusi telefon menggunakan data internet dan lampu menggunakan bateri sebagai backup.

"Sama ada kertas atau papan putih, saya tunjuk cara kerja secara live tanpa perlu guna tablet, laptop (komputer riba) atau komputer. Hanya berbekalkan telefon pintar," ujarnya yang merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) di Pasir Puteh.

studio mini pdpr 1

Pendekatan mengajar bagi subjek Matematik.

Berpengalaman dalam bidang pendidikan selama 21 tahun sejak 2000, anak kelahiran Kota Bharu itu tetap tidak mahu ketinggalan dengan kemajuan teknologi dalam PdPR.

"Selepas setahun saya guna kotak sebagai studio mini, saya beralih kepada laptop untuk sesi PdPR sejak beberapa bulan lalu.

Selepas setahun saya guna kotak sebagai studio mini, saya beralih kepada laptop untuk sesi PdPR

NIK MAJIZAIDI

"Pensyarah-pensyarah muda yang banyak membantu dari perkongsian ilmu. Mereka lebih mahir bab IT (teknologi maklumat)," katanya yang berkhidmat di KMKt sejak 2015.

Nik Majizaidi berkata, studio mini yang menelan belanja kurang RM10 dan menggunakan bahan terbuang itu tetap tidak dilupakan kerana ia berjasa pada waktu kecemasan.

studio mini pdpr 6

'Studio mini' disambungkan pada USB komputer untuk lampu berfungsi.

"Kalau tiba-tiba WiFi terganggu sehingga menjejaskan kelas online, saya cepat-cepat beralih guna studio mini menggunakan telefon untuk meneruskan pengajaran.

"Alhamdulillah, sekarang saya dah mahir guna laptop yang lebih mudah. Tapi 'feel' seperti mengajar di dewan kuliah dapat rasa bila guna studio mini," tambahnya.

studio mini pdpr 4

Nik Majizaidi (kiri) bersama Sarimi.

Dalam pada itu, pensyarah yang aktif berjoging, hiking dan bersenam di gim itu tidak menyangka perkongsian video 'studio mini' yang baru dimuat naik di aplikasi TikTok menjadi perhatian.

"Tak sangka jadi viral sampai dapat perhatian netizen sehingga ke Indonesia. Malah ramai dari negara itu termasuk di sini minta saya untuk membuat video tutorial studio mini.

"Netizen komen idea ini adalah pemikiran di luar kotak. Tak sangka dapat penerimaan yang baik dan sememangnya studio mini banyak berjasa kepada saya terutama di awal PdPR," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain