suria

Hilang sekelip mata! Empat beradik bagai ‘tiada ekspresi’ Covid-19 ragut nyawa ibu, bapa, nenek dalam masa 2 minggu - “Bila tanya, mereka menangis”

Empat beradik ini menjadi anak yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada Ogos.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib empat beradik ini apabila mereka kehilangan ibu bapa dan nenek tercinta dalam tempoh yang cukup singkat akibat wabak Covid-19.

Kisah duka itu bermula apabila ibu empat kanak-kanak itu, Salawati Mursal, 41, meninggal dunia pada 13 Ogos lalu sebelum sempat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada bayang seolah-olah orang solat di sebelah kubur pesakit Covid-19... terlalu hiba, anak di Afrika Selatan tak mampu tengok lama video call pengebumian

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba buat cerita palsu kematian akibat suntik vaksin, ramai desak Mak Teh munculkan diri! - “Wahai Mak Teh air kelapa, kita perlu bincang”

Pada 18 Ogos, nenek mereka, Rasmi Su'un, 68, turut dijemput Ilahi akibat wabak Covid-19, diikuti bapa, Yusni Ibrahim, 54, yang meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor pada 30 Ogos lalu.

Kini, Mohamad Faiz, 16, Nur Sofiya, 14, Nur Syazwani, 10, dan Mohamad Fadhil, 9, menjadi anak yatim piatu dan menetap bersama datuk mereka di Kampung Melayu Seri Gombak, Batu Caves.

Ibu saudara kepada empat kanak-kanak itu, Normawati Ahmad, 45, berkata, dia cukup perit melihat tiga insan terdekat meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

"Mula-mula mak mereka meninggal dunia, kemudian ibu mentua saya diikuti bapa empat beradik itu pula. Kami pun tak jangka semua ini akan berlaku kerana mereka tak sakit serius pun.

"Mereka pada mulanya hanya kuarantin di rumah. Pada suatu pagi, emak mereka sesak nafas. Suaminya papah nak bawa ke hospital, tetapi arwah meninggal sebelum sempat ke hospital.

4 beradik 2

Arwah nenek, ibu dan bapa kepada empat adik-beradik itu.

"Masa tu mereka suami isteri dan anak ketiga positif Covid-19. Kemudian ibu mentua saya pun kena Covid-19, ditambah pula dengan dia ada penyakit kencing manis. Ibu mentua saya pernah datang hantar makanan ketika mereka sekeluarga dikuarantin di rumah. Tak lama kemudian, bapa empat kanak-kanak itu turut meninggal dunia akibat Covid-19," ujarnya.

Menurut Normawati, semuanya berlaku sekelip mata dan dia sekeluarga bagaikan sudah kering air mata menangisi pemergian insan tersayang akibat Covid-19.

"Benda ini kami tak jangka akan kami alami. Air mata tak sempat kering, setiap minggu ada kematian. Budak-budak tu lagi trauma, mereka pun bagaikan tiada ekspresi.

"Banyak senyap. Bila tanya, mereka akan menangis. Sekarang empat beradik itu duduk di rumah datuk mereka. Datuknya seorang pesara dan kini tinggal bersendirian selepas ibu mentua saya meninggal.

Saya nasihatkan kepada semua agar dapatkan vaksin. Jangan pandang ringan pada SOP.

NORMAWATI

"Saya tinggal berdekatan, saya ulang alik juga tengok mereka. Kebetulan saya dengan suami tiada cahaya mata, benda ni macam Allah dah susun. Jadi kami pakat bantu uruskan. Kebetulan saya pun agak berkelapangan.

"Hari ini (Isnin) mereka pun dah mula belajar dan jalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," ujarnya lagi.

Menurut Normawati, pengalaman berhadapan tiga kematian ahli keluarga dalam masa singkat membuatkan dia kini lebih berhati-hati.

Tambahnya, wabak Covid-19 sangat bahaya dan sesiapa sahaja di luar sana wajar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) demi menjami keselamatan diri dan ahli keluarga.

553 (57)

Empat beradik itu kini menetap dengan datuk mereka selepas pemergian kedua ibu bapa pada Ogos lalu. (Gambar Hiasan).

"Saya nasihatkan kepada semua agar dapatkan vaksin. Jangan pandang ringan pada SOP. Sepanjang masa kena cuci tangan dan sanitasi.

"Ia agak leceh, tapi benda ini berlaku pada kami. Ada orang anggap Covid-19 sekadar propa, tapi ia boleh menyebabkan kematian berlaku sekelip mata," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Maahad Tahfiz Nur Kasih yang terletak di Klang turut tampil membantu empat beradik berkenaan.

Pada masa sama, mereka turut mengalu-alukan mana-mana pihak agar menghubungi mereka untuk menyalurkan sumbangan.

Menurut Normawati, segala wang sumbangan akan dimanfaatkan untuk tujuan akademik dan kehidupan empat beradik itu bagi masa depan mereka.

Sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Normawati di talian 0136609341.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain