suria

Wanita ini gelak sakan tunangnya menangis suntik vaksin, mengadu ‘belum cucuk dah rasa sakit’... pernah juga ‘buat hal’ masa nak cabut gigi

Faris menangis di dalam kereta selepas menyuntik vaksin Covid-19 kerana fobia terhadap jarum.

"NAMPAK je ganas, tapi hati tisu," itulah kata seorang wanita terhadap tunangnya yang rupa-rupanya fobia terhadap jarum.

Rakaman yang dimuat naik oleh wanita berkenaan menunjukkan tunangnya mengalirkan air mata ketika berada dalam kereta gara-gara perasaan fobianya itu.

Video tersebut meraih hampir 600,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak gelak ke nangis... Peniaga nasi lemak terlajak membeli tiba-tiba cemas, tercari-cari kereta tapi tak jumpa, kena curi ke?

ARTIKEL BERKAITAN: Teruja lukis kek inspirasi Iman Troye, tapi hasilnya macam ‘ada batu jatuh atas kepala’... siapa sangka seorang ibu sanggup beli

Bercerita kepada mStar, Nur Azreen Izanis Muhammad Azli berkata, tunangnya Wan Ahmad Faris Wan Abdul Halim, 25, ketakutan ketika mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan.

Jelas wanita berusia 23 itu, gara-gara fobia terhadap jarum suntikan, dia seolah-olah dapat merasakan kesakitannya sebelum doktor menyuntik vaksin.

"Waktu tu tunang saya baru lepas ambil dos pertama suntikan vaksin Sinovac di PPV Usim, Nilai. Dia memang takut jarum, sebelum doktor cucuk lagi dah rasa sakit katanya.

"Saya hantar dia ke sana dan kemudian tunggu dalam kereta. Bila dah selesai semuanya, dia pun masuk dalam kereta terdiam sambil pandang saya.

"Tapi masa tu saya dah nampak wajah dia seperti mahu menangis. Jadi saya tanyalah macam mana keadaan dia sewaktu nak cucuk, Faris cuma cakap rasa sakit sahaja dan mula menangis.

IMG_6851

Sebelum ini Faris pernah menangis kerana Azreen membuat kejutan pada hari lahirnya.

"Waktu tu saya memang dah mula rekodlah dan tergelak sebab tak sangka dia boleh menangis hanya kerana jarum," katanya yang bekerja di sebuah di sebuah syarikat kenderaan sebagai staf perkhidmatan pelanggan yang terletak di Seremban 2.

Dia yang mesra disapa Azreen berkata, tunangnya itu adalah anak bongsu dalam keluarga dan seorang yang manja serta suka menghiburkan orang lain.

Tambahnya lagi, walaupun pemuda itu nampak seperti seorang yang 'macho', tetapi dia memiliki hati yang begitu lembut dan mudah tersentuh.

"Tunang saya ni manja dan suka hiburkan orang. Tapi saya tak sangka pula yang dia ni jenis hati tisu, sebab dari luar memang nampak ganas.

"Sebab dari cara dia handle kerja sebagai pegawai kontraktor TNB tu, nampak macam seorang yang tegas. Lagipun waktu belajar dulu dia seorang pemain ragbi dan hoki, jadi dari situlah nampak dia lasak.

"Sebenarnya dia fobia jarum sebab dulu pernah masuk hospital dan kena ambil darah banyak kali. Lepas tu waktu nak cabut gigi dulu pun macam tu juga, sampai doktor terpaksa panggil saya masuk untuk teman dia di dalam.

Sebab bukan senang nak dapat pasangan yang jenis lembut hati macam ni.

NUR AZREEN MUHAMMAD AZLI

"Selain takut jarum, Faris juga takut dengan hamster dan sugar glider. Sebab saya ada bela kedua-duanya dan dia tak berani nak pegang melainkan kalau pakai sarung tangan kerana takut kena gigit," ujarnya yang berasal dari Rawang, Selangor dan kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut anak sulung daripada empat beradik ini, dia dan Faris sudah hampir dua tahun berkenalan dan baru sahaja bertunang pada awal Ogos lalu.

Azreen berpesan kepada mereka di luar sana yang mempunyai pasangan berhati lembut seperti tunangnya itu untuk menjaga hubungan mereka sebaik mungkin kerana berpandangan susah untuk berjumpa dengan individu seperti ini.

"Kami dah setahun lapan bulan berkenalan dan baru sahaja bertunang awal bulan lapan lalu. InshaAllah akan berkahwin 15 September tahun ini.

IMG_6848

Faris dan Azreen bertunang pada 4 Ogos lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada 15 September ini.

"Saya memang tak sangka video ni boleh jadi tular dan kawan-kawan serta keluarga pun terkejut melihat Faris menangis hanya kerana jarum. Memang semua orang ketawa melihat video tersebut.

"Pesanan saya untuk sesiapa sahaja yang dapat pasangan jenis hati tisu macam tunang saya ni, jagalah mereka elok-elok.

"Sebab bukan senang nak dapat pasangan yang jenis lembut hati macam ni, mereka penyayang dan penyabar orangnya," katanya.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain