suria

Selepas 3 kali jumpa wanita tak dikenali di majlis kahwin, lelaki ini beranikan diri masuk meminang... dedah 2 kali tulis nama calon isteri dalam buku 101 impian

Foto kiri, Iqmi bertemu isteri buat pertama kali dan foto kanan Iqmi bersama isteri dan anak. Foto tengah menunjukkan 101 catatan yang ditulis dalam buku wishlist.

SIAPA sangka pertemuan tanpa dirancang di beberapa majlis kahwin menyatukan pasangan ini hingga ke jenjang pelamin.

Bak kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak ke mana.

Begitulah detik manis yang dikongsikan oleh seorang jejaka menerusi video di aplikasi TikTok mengenai kisah romantis rumah tangganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak solo! Kaki travel bertemu jodoh dengan tour guide, 'cair' keberanian jejaka Kashmir - "India bukan dalam senarai percutian saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula jadi tukang isi minyak, kerani bawa motor buruk hingga bergelar Inspektor... Isteri terima seadanya walau PJJ lebih 3 tahun - "Ada hikmah kena 'reject' 2 kali"

Pemuda berkenaan, Mohamad Iqmi Ahmad Maliki berkata, pertemuan pertama berlaku di majlis perkahwinan abangnya pada 2011, di mana isterinya merupakan kenalan kepada pengantin perempuan.

Setahun kemudian pada 2012, katanya, secara kebetulan dia dan isterinya menjadi pengapit di majlis perkahwinan seorang rakan.

"Masa tu kami sekadar kawan biasa. Selepas dua majlis kahwin tu kami tak berhubung mahupun berjumpa sebab masing-masing menyambung pengajian.

"Lima tahun kemudian pada 2017, kami bertemu semula tanpa dirancang ketika menghadiri kenduri kahwin saudara yang kini merupakan biras saya," katanya kepada mStar.

jodoh di kenduri 2

Iqmi (kiri) dan isteri (kanan) ketika menjadi pengapit di majlis kahwin rakan pada 2012.

Lebih mesra disapa Iqmi, pemuda berusia 27 tahun itu berkata, mereka bertemu semula pada 2018 sewaktu dia mengusahakan gerai makan di tepi jalan dekat Temerloh, Pahang.

"Sebenarnya masa 2018 tu saya dah ada girlfriend tapi jodoh tak panjang. Saya agak down ketika itu sehingga menjejaskan perniagaan saya, sampai pernah terfikir nak bunuh diri.

"Tapi dia (kini isteri) banyak memberi semangat kepada saya untuk bangkit, meneruskan bisnes saya dari gerai kecil tepi jalan kepada gerai yang lebih besar," ujar anak kelahiran Temerloh itu.

jodoh di kenduri 7

Foto kiri Iqmi dan isteri bertemu di majlis kahwin saudara pada 2017, foto kanan mendirikan rumah tangga pada 2019.

Menurut usahawan itu, walaupun mengenali rapat dan berkongsi minat dalam perniagaan, kedua-duanya tidak menjalinkan hubungan cinta.

"Kami berkawan rapat bermula 2018, tapi tak fikir nak kahwin pun. Tapi saya pernah bergurau dengan dia, saya kata 'kita kawan sampai kahwin'.

"Dia pun spontan menjawab 'kalau nak, masuk meminang'. Dan kurang dari lima bulan selepas itu, saya memberanikan menyuarakan hasrat kepada keluarga saya dan keluarga dia yang saya mahu meminangnya," katanya sambil menambah mereka berkahwin pada 2019.

jodoh di kenduri 3

Menurut Iqmi, isterinya banyak memberi semangat dari waktu berniaga gerai kecil di tepi jalan (kiri) sehingga mempunyai restoran yang lebih besar (kanan).

Dalam pada itu, Iqmi turut mendedahkan dia ada menyenaraikan 101 impian atau 'wishlist' dalam sebuah buku sebagai motivasinya dalam mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

"Macam-macam yang saya tulis, termasuk impian untuk memiliki kedai makan yang lebih besar yang telah pun saya capai sekarang, Alhamdulillah.

Memang tak sangka bertemu jodoh di kenduri kahwin dan akhirnya kami sendiri buat majlis kahwin pada 2019 selepas disatukan sebagai suami isteri, Alhamdulillah

IQMI

"Pada masa sama, saya turut menyebut nama dia sebagai calon isteri saya... dua kali saya tulis dalam 101 senarai impian tu," katanya, merujuk isterinya yang kini berusia 30 tahun.

Walaupun tidak bercinta, Iqmi yang kini merupakan bapa kepada seorang cahaya mata lelaki mempunyai alasan tersendiri sebab dia jatuh hati pada wanita yang berasal dari Temerloh itu.

jodoh di kenduri 6k

Iqmi menyenaraikan nama 'calon isteri' (garisan merah) dalam buku 101 impiannya.

"Ya, tak ada konsep bercinta antara kami. Tapi saya beranikan diri untuk meminang dia untuk berkahwin kerana saya pasti dan yakin dialah pasangan paling sesuai buat saya.

"Dia sempoi, matang, bertolak ansur dan memahami serta seorang yang berfikiran positif. Dia sentiasa memberi semangat kepada saya ketika susah, jatuh bisnes dan rasa down.

"Memang tak sangka bertemu jodoh di kenduri kahwin dan akhirnya kami sendiri buat majlis kahwin pada 2019 selepas disatukan sebagai suami isteri, Alhamdulillah," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain