suria

Sayu saat punca mak sakit kaki terbongkar! Anak bergegas ke tempat kerja hantar ‘hadiah tak mahal’, sayangnya tak boleh nak peluk cium

Foto kiri kasut ibu Amira yang berlubang. Foto kanan Amira (kanan) bersama ibu.

DI sebalik sekeping pelitup muka, terukir senyuman seorang ibu yang menerima kejutan hadiah.

Menerusi satu video penuh emosi, seorang anak membuat kejutan buat ibunya yang ketika itu sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Video itu mengundang sebak saat rakaman menunjukkan tapak kasut lama milik ibunya yang dipakai selama ini kelihatan uzur dan berlubang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terpinga dapat hadiah casing telefon, senyum di akhir cerita sebab boleh sambung main game 2 bulan tertangguh - "Gaji kami masing-masing terjejas"

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis, anak kerja di warung, belajar setakat SPM hantar kejutan bunga duit selepas gigih menabung 2 tahun - "Ini yang saya mampu bagi mak"

Nor Sofia Amira Shaharul berkata, dia hanya menyedari kasut kerja ibunya berlubang sewaktu pulang ke rumah wanita itu di Kuantan, Pahang, minggu lalu.

Dia yang tinggal berdekatan memberitahu, ibunya yang berusia 52 tahun tidak bersikap meminta-minta apatah lagi mengharapkan anak-anak supaya membelikan kasut baharu.

"Mak selagi boleh pakai kasut tu dia akan terus pakai. Tapi mak pernah mengadu yang kakinya sakit, tak beritahu sebab apa dan hanya sapu ubat saja.

"Saya ingat kerana faktor usia mak, tapi bila tengok kasut mak berlubang tu barulah tahu kenapa mak mengadu kakinya selalu sakit-sakit. Saya sedih membayangkan kesakitan mak bila tengok kasut mak yang berlubang tu," katanya kepada mStar.

kasut mak berlubang 2

Ibu Amira memakai kasut baharu.

Lebih mesra disapa Amira, wanita berusia 29 itu kemudian memutuskan untuk membeli kasut baharu secara dalam talian bagi menggantikan kasut ibunya yang uzur itu.

"Kasut mak sebelum ini tapaknya rata, tak ada tumit. Kalau cuaca hujan atau berjalan di kawasan lecak, boleh bayangkan kasut mak dengan kaki-kakinya sekali basah.

Hadiah kasut je yang termampu buat masa ini untuk keselesaan mak bekerja. Doakan saya dimurahkan rezeki untuk ada rumah sendiri dan bawa mak tinggal bersama.

AMIRA

"Bila saya terima penghantaran kasut baru untuk mak, saya cepat-cepat singgah di hospital di tempat mak bekerja sebagai security guard untuk beri kasut tu.

"Kami berjumpa sekejap saja. Tak ada peluk cium pun sebab mak sedang bekerja di hospital, kawasan berisiko dengan jangkitan Covid-19," ujarnya yang berasal dari Chemor, Perak.

kasut mak berlubang 3

Kejutan dibuat di tempat kerja ibunya.

Walaupun bukan hadiah mahal, namun anak sulung daripada empat beradik itu tetap berpuas hati kerana dapat melihat kegembiraan ibunya meskipun memakai pelitup muka.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tak kira barang tu mahal atau tidak, yang paling utama adalah ikhlas. Jujurnya, saya tak ada duit yang banyak tapi saya cuba untuk memberi keselesaan untuk mak.

"Sejak bergelar ibu tunggal 19 tahun lalu, mak membesarkan kami empat beradik. Cukup semuanya tanpa mengeluh, kenapa tidak kami melakukan perkara yang sama," katanya.

kasut mak berlubang 4

Amira (tengah) bersama ibu (kiri) dan adik perempuan.

Amira yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui kehidupannya terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas suaminya diberhentikan kerja.

"Suami hilang kerja sejak beberapa bulan lalu, sebelum ini dia yang tanggung kami. Saya pula kerja di kedai makan tapi Alhamdulillah kehidupan kami cukup-cukup makan.

"Cuma sedih sebab saya belum mampu untuk bawa mak tinggal bersama. Sekarang ni saya pun tinggal menyewa sejak bertahun-tahun dan rumah hanya ada satu bilik yang kemudian diubah suai sedikit jadi bilik untuk tiga anak," katanya.

Menurut Amira, dia bagaimanapun berhasrat untuk memiliki rumah sendiri atau tinggal di kediaman yang lebih baik bagi membolehkan ibunya tinggal bersama.

"Hadiah kasut je yang termampu buat masa ini untuk keselesaan mak bekerja. Doakan saya dimurahkan rezeki untuk ada rumah sendiri dan bawa mak tinggal bersama," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain