suria

Lama tunggu pembedahan, ibu kritikal jadi korban demi ‘beri laluan’ doktor selamatkan pesakit Covid-19... sudah terlambat nak dibawa ke hospital swasta

Arwah ibu Nazri meninggal dunia pada 19 Mei lalu kerana jangkitan pada paru-paru.

DENGAN peningkatan jumlah pesakit kes Covid-19 saban hari, kebanyakan hospital di seluruh negara berada dalam situasi kritikal dan beroperasi melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Situasi tersebut secara tidak langsung telah mengurangkan peluang pesakit kronik lain mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan, sehingga ada di antara golongan ini 'terkorban' demi memberi laluan kepada pesakit Covid-19 menerima rawatan.

Begitulah kisah sedih yang dialami pemuda ini apabila ibu sendiri menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa di wad biasa sempat mengadu lapar, nak mandi sebelum meninggal... anak di wad Covid-19 sedih tak mampu buat apa-apa! - “Abah nak tanggung kesakitan saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... Bacaan talkin si anak buat ibu tercinta jentik perasaan ramai, apa agaknya yang dilafazkan? - "Mama tinggalkan 12 juzuk untuk kami 12 beradik selesaikan"

Menurut Wan Mohamad Nazri Hashim, arwah ibunya, Raja Nahzar Hasnah Raja Mahmud, 68, pada mulanya demam menggigil Mac lalu, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu menghidap penyakit batu karang.

Bagaimanapun, ibunya terpaksa menunggu untuk menjalani pembedahan kerana jadual doktor yang padat memandangkan kes Covid-19 terlalu banyak.



Nazri mengimamkan solat jenazah arwah ibunya.

"Saya diberitahu untuk datang semula ke hospital pada 4 Mei 2021 bagi buang batu karang tersebut. Selepas itu kami diberitahu batu karang tersebut telah cucuk hempedu mak sehingga pecah dan bernanah.

"Terdapat jangkitan kuman di dalam darah yang telah memberi kesan kepada jantung dan paru-paru. Prosedur buang batu karang tak dapat dilakukan dengan kadar segera dan mak tak dapat menggunakan mesin ventilator untuk bantuan pernafasan ketika dia tengah kritikal.

"Saya faham, banyak kali juga doktor cuba terangkan kepada saya yang mereka cuba untuk tidak ketepikan pesakit normal.

"Tetapi disebabkan faktor dalaman mak saya yang sudah teruk dan sudah berusia, jadi mereka mengambil keputusan untuk tidak membantu mak saya dengan lebih lagi. Kerana kata doktor tersebut mak saya sudah tiada harapan," katanya kepada mStar.



Nazri bersyukur dapat menguruskan jenazah arwah ibunya sehingga selesai proses pengebumian.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pemuda berusia 28 tahun ini berkata, dia kemudian meluahkan hasrat kepada doktor untuk memindahkan ibunya ke hospital swasta, namun diberitahu bahawa pihak hospital tidak akan bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi sewaktu proses pemindahan tersebut.

"Jadi saya terpaksa akur dengan keputusan doktor kerana saya takut untuk ambil risiko. Saya hanya mampu melihat mak dan menangis.

"Dan saya hanya dapat memberikan kata-kata semangat pada mak saya untuk terus bertahan dan kuatkan semangat. Saya sangat berharap antibiotik yang diberikan oleh doktor dapat sembuhkan mak saya," ujarnya yang bekerja di sektor swasta ini.

Masih terngiang-ngiang suara mak saya tu, mengalir air mata saya bila ingatkan kembali kerana saya dah janji dengan mak saya akan bawa dia keluar selepas habis prosedur.

WAN MOHAMAD NAZRI HASHIM

ANAK

Cerita Wan Mohamad Nazri, dia paling tidak dapat melupakan detik-detik sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, yang mana wanita itu merayu-rayu mahu segera keluar dari hospital.

"Sehingga hari ini, masih terngiang-ngiang suara mak saya tu, mengalir air mata saya bila ingatkan kembali kerana saya dah janji dengan mak saya akan bawa dia keluar selepas habis prosedur.

"Tapi apakan daya, mak saya pergi dulu sebelum sempat saya bawa dia keluar dari hospital," ceritanya.



Nazri merupakan anak yang sangat rapat dengan arwah ibunya.

Selepas hampir dua minggu di hospital, arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei kerana jangkitan paru-paru.

"Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Apa pun saya bersyukur mak saya negatif Covid-19. Sekurang-kurangnya saya dapat jadi imam solat jenazah, dapat teman mak naik van, mandikan, sampailah masukkan mak sendiri dalam liang lahad dan dapat lihat wajah mak tersenyum," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya di Twitter mendapat perhatian sehingga meraih hampir 34,000 retweet, Wan Mohamad Nazri berkata perkongsian tersebut sebagai membuka mata masyarakat agar masing-masing memainkan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta betapa pentingnya mengambil suntikan vaksin Covid-19.



Nazri hanya terbuka untuk berkongsi kisah ibunya selepas 10 hari pemergian arwah.

"Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Saya reda dengan ketentuan Allah. Sebelum saya reda, saya juga sebagai anak dah berusaha sehabis baik untuk membantu mak saya.

"Seperti yang kita tahu kes Covid-19 semakin hari semakin tinggi di Malaysia. Lalu saya mula terfikir sudah tentu ramai lagi yang senasib dengan ibu saya yang bukan dijangkiti Covid-19 tetapi menjadi 'korban' angkara Covid-19.

"Di sini saya ingin memberitahu orang di luar sana untuk sama-sama untuk berhenti salahkan mana-mana pihak. Kita sendiri sama-sama main peranan, kita sama-sama patuh SOP dan ambil vaksin," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain