suria

Remaja berbakat kelahiran UK mampu hasilkan foto level ‘wow’ guna telefon Android harga RM600, tapi belajar bidang kulinari ikut cakap ibu

Uzair (gambar kecil) yang berbakat dalam bidang fotografi merupakan pelajar bidang Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

DI SEBALIK kehebatannya mengendalikan lensa kamera, siapa sangka remaja ini juga cukup tangkas apabila berada di dapur.

Begitulah kisah Muhammad Uzair Zulkifly, 21, seorang jurugambar berbakat besar yang kini menuntut dalam bidang Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

Menurut anak kelahiran United Kingdom (UK) yang dibesarkan di Shah Alam, Selangor itu, dia sebolehnya mahu menjadikan kedua-dua minat itu sebagai kerjaya hakikinya suatu masa nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Karya kreatif barista ini bukan calang calang... siap perkenal Terengganu di mata dunia, raih pengiktirafan Apple, National Geographic

ARTIKEL BERKAITAN: Instagram kongsi gambar KLCC dirakam anak Malaysia, berbaloi jurutera ini keluar subuh angkut dron! - “Hadiah awal hari jadi saya”

"Saya dilahirkan di UK. Masa tu ayah sambung belajar di sana. Masa umur tiga tahun saya dah kembali ke Malaysia.

"Hobi ambil gambar bermula selepas emak hadiahkan kamera pada tahun 2018. Kemudiannya saya hanya belajar sendiri menerusi YouTube.

"Ketika zaman sekolah, saya juga dah terbiasa memasak sendiri. Ayah kerja akauntan, mak pula saya pensyarah... biasanya makan tengah hari saya buat sendiri.

"Kiranya, minat dalam bidang fotografi, tapi mak bagi cadangan supaya ambil Kulinari. Mak kata, InsyaAllah boleh pergi jauh dalam bidang ini," ujarnya kepada mStar.

Antara hasil karya oleh Uzair.

Mesra disapa Uzair, dia mengakui paling suka memasak tomyam dan asam pedas serta bercita-cita menjadi seorang cef selepas menamatkan pengajiannya.

Tidak lupa akan minat terhadap dunia fotografi, hasil karya anak kedua daripada lima beradik itu juga acap kali tular dan menjadi perhatian pengguna media sosial.

Malah, ada netizen yang terkejut apabila mendapat tahu bahawa Uzair hanya menggunakan peranti Android yang dibeli dengan harga sekitar RM600 untuk menghasilkan gambar-gambar yang cukup memukau pandangan.

Cari pendapatan sendiri (khidmat fotografi), dengan sekali job tu lepaslah untuk makan seminggu.

UZAIR

"Selain kamera, saya banyak menggunakan telefon. Saya menggunakan telefon Android sahaja. Pada saya, tiada beza iPhone mahupun Android.

"Memang ada orang yang akan pandang rendah, ada juga yang fikir saya merupakan pengguna iPhone selama ini. Semua gambar saya di Instagram menggunakan telefon Android sahaja.

"Ada juga yang terkejut lepas dapat tahu saya hanya guna Android. Ramai yang mesej tanya model telefon yang saya gunakan.

Uzair gemar memasak tomyam dan asam pedas.

"Tak kisahlah iPhone harga beribu-ribu mahupun Android harga ratusan ringgit, yang penting kita boleh hasilkan gambar yang bagus.

"Jangan putus asa kalau orang kecam. Go on dan jangan tunjuk struggle, sebaliknya tunjuk hasil karya kita," ujarnya.

Menurut Uzair, dia juga sudah beberapa kali memenangi pertandingan fotografi dengan menggunakan telefon Android sahaja.

Uzair merakam gambar dengan menggunakan peranti Android.

Tambah Uzair, dia turut menawarkan khidmat fotografi dengan harga berpatutan untuk mencari wang tambahan.

"Kalau kawan-kawan ada buat parti, nak shoot produk, saya akan ambil gambar untuk mereka. Saya bagi harga 'kawan-kawan' je.

"Cari pendapatan sendiri, dengan sekali job tu lepaslah untuk makan seminggu," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain