suria

Keluarga 8 beranak lalui tempoh sukar, 2 kali ketua keluarga dibuang kerja... tak mahu lari dari masalah, suri rumah buat 2 job biaya keluarga

Norulhida berniaga biskut sejak hampir setahun lalu selepas suaminya kehilangan kerja.

PANDEMIK Covid-19 yang mula 'menyerang' negara sekitar Januari tahun lalu ternyata meninggalkan impak yang besar buat wanita ini.

Daripada bergelar seorang suri rumah sepenuh masa serta ibu kepada enam anak yang masih kecil, dia akhirnya terpaksa keluar mencari rezeki selepas suaminya diberhentikan kerja.

Merata tempat di sekitar Puncak Alam, Selangor dijelajahinya untuk mengisi apa jua jawatan kosong, sebelum akhirnya dia diterima bekerja di sebuah kedai makan.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak rasa malu, wanita hilang kerja sewaktu PKP mula niaga nasi lemak anggap berbaloi bersengkang mata - “Seronok bila pelanggan repeat, cakap sambal sedap”

Bermula dari saat itu, rutin hariannya padat di mana setiap pagi dia akan bekerja di kedai makan, manakala di sebelah petang pula dia akan sibuk membuat biskut bagi meraih pendapatan sampingan.

Berkongsi kisah dengan mStar, wanita bernama Norulhida Baharom, 38, berkata segala-galanya berubah dalam sekelip mata selepas suami yang menjadi punca utama sumber rezeki, diberhentikan kerja secara mengejut.

"Saya memang suri rumah sepenuh masa, tak ada pun buat bisnes apa-apa. Tapi apabila suami tiba-tiba diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, memang kami terduduk dan hilang punca.



Semperit, biskut arab dan biskut cornflakes yang sering menjadi pilihan pelanggan.

"Mana nak bayar sewa rumah, kereta dan belanja anak-anak lagi. Masa itu memang buntu sangat. Suami ajak pulang ke kampung, tapi masa tu nak balik pun dah tak boleh merentas. Tapi saya bincang dengan suami, apa jua yang berlaku kena cari solusi, bukan lari.

"Selepas berbincang, saya nekad nak cuba berniaga. Nak buat nasi lemak saya tak berapa mahir. Jadi saya gunakan kemahiran yang ada iaitu buat biskut. Dalam masa yang sama, saya bekerja di kedai makan," katanya yang berasal dari Kedah.

Menurut wanita ini, dia menghasilkan empat jenis biskut iaitu biskut arab, cornflakes, semperit dan tart nenas buat permulaan.

"Masa awal-awal tu, memang slow sangat jualan. Saya pun hanya buat hebahan dekat grup komuniti Puncak Alam sahaja. Bulan pertama tu, untung kasar dalam RM200 hingga RM300 saja.



Biskut tart nenas gulung sudah siap diisi di dalam balang sebelum diserahkan kepada pelanggan.

"Masa raya tahun lalu, sambutan okay sikit tapi kemudian slow. Bila Raya Haji sale boleh tahan tapi kemudian slow semula. Memang tak menentu.

"Selepas suami dapat kerja, saya berhenti kerja kedai makan dan fokus buat biskut sahaja. Memang ada masanya okay, ada masanya kurang jualan. Secara purata sebulan RM700 manakala kalau musim raya, sekitar RM1,000 ke RM1,200 saja.

"Saya tak ada ejen atau pekerja. Semua buat sendiri. Saya buat biskut dan saya juga yang buat penghantaran," katanya.

Bagaimanapun tanpa dijangka, keluarga ini sekali lagi diduga apabila suaminya kehilangan pekerjaan baru-baru ini.

Sangat berbeza keadaan dulu dan sekarang... sekarang ni belanja memang ala kadar sangat.

NORULHIDA BAHAROM

SURI RUMAH

"Memang terduduk lagi kami... sementara suami sedang mencari pekerjaan baharu, kami lapan beranak bergantung sepenuhnya dengan hasil pendapatan daripada jualan biskut.

"Sangat berbeza keadaan dulu dan sekarang... sekarang ni belanja memang ala kadar sangat. Dahulukan untuk apa yang lebih penting seperti belanja anak sekolah dan bayaran komitmen lain," katanya yang merupakan ibu kepada enam anak berusia di antara tiga bulan hingga sembilan tahun.

Ujar Norulhida, dia kini sudah mula membuka tempahan biskut untuk Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sekarang saya tambah lagi dua jenis biskut iaitu suji nestum dan snow almond. Mudah-mudahan jualan dan sambutan biskut meningkat.



Antara biskut yang dihasilkan oleh Norulhida setiap hari.

"Bila fikir balik, dah hampir setahun saya buat bisnes biskut untuk bantu kami sekeluarga bertahan. Alhamdulillah, tak banyak tapi syukur seadanya.

"Ramai yang terkesan sejak tahun lalu termasuk kami sekeluarga. Apa yang boleh saya kongsikan, jangan putus harap. Masalah ni sentiasa datang dan kita kena cari solusi. Nak balik tinggal di kampung sampai bila?

"Saya kesian dekat anak-anak... sebelum ni kami dah pernah pindah randah. Baru tiga tahun membina hidup di Puncak Alam. Selagi ada daya dan kudrat, kalau boleh, kami cuba untuk berdiri atas kaki sendiri," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain