suria

Foto sweet selfie dengan bapa tular, calon SPM sasar dunia hiburan selepas tinggalkan kehidupan di asrama - “Mak cemburu sikit”

Kata Furqan, dia menyimpan hasrat bergelar pelakon atau pengacara suatu hari nanti.

SETIAP individu ada cara tersendiri untuk mencipta kenangan zaman persekolahan mereka.

Bagi Muhammad Danish Furqan, 18, dia beruntung kerana swafoto bersama bapa, Muhammad Imran Ismail, 45, pada hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah menengah lima tahun lalu masih lagi tersimpan rapi.

Mesra disapa Furqan, dia gembira apabila perjalanan dirinya menuntut ilmu di sekolah itu bagaikan lengkap apabila dia turut merakam foto sama bersama bapanya, pada hari terakhir persekolahan, Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai SPM, pelajar MCKK tak tidur malam... siap minta mak ayah datang pakai baju sama 5 tahun lalu, tapi apa plannya? - "Menyesal lambat hargai setiap saat di sekolah dan asrama”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Interior Design jelmakan sentuhan magis di kamar tidur, ibu 'teringin' siap buat permintaan khas - “Ingat tak sempat sebelum raya”

"Hari pertama Vs. hari terakhir sekolah," tulis Danish ringkas pada kapsyen perkongsian foto itu di Twitter, yang mana kini meraih hampir 5,000 ulang kicau (Retweet).

Sewaktu dihubungi mStar, calon Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan itu sempat memperincikan perjalannya sepanjang lima tahun bergelar pelajar.

"Kertas peperiksaan SPM saya yang terakhir pada Selasa lalu untuk subjek Biologi. Gambar tu macam kebetulan sebenarnya. Masa habis peperiksaan, ayah saya datang jemput dan dia ajak selfie ketika berjalan keluar.

Foto remaja itu bersama bapanya yang dikongsi di Twitter.

"Katanya untuk dibuat kenangan. Kami juga ada selfie sama-sama ketika hari pertama ayah hantar saya masuk ke sekolah ini lima tahun lepas.

"Saya sekadar mahu kongsi di Twitter, tak sangka boleh viral. Ayah pun tahu gambar kami tengah viral. Cuma mak cemburu sikit sebab dia tiada dalam gambar," ujarnya berseloroh.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik yang menetap di Sungai Buloh, Selangor itu, dia ternyata berat hati untuk meninggalkan alam persekolahan.

Perlawanan silat pertama saya dah dapat nombor satu. Bermula dari situ saya aktif bersilat sehingga pernah dapat pingat gangsa ketika Kejohanan Silat Seni Gayong Kebangsaan 2020.

FURQAN

Imbasnya, dia juga aktif dalam acara silat olahraga sehingga pernah mewakili negeri pada tahun 2018, 2019 dan 2020.

"Sejujurnya awal-awal dulu saya berat hati masa minggu pertama sekolah. Padahal memang target saya untuk masuk sekolah asrama. Saya rasa macam terlalu muda lagi.

"Tapi Alhamdulillah saya dapat kawal perasaan. Ada perasaan rindu pada keluarga dan menangis sikit pada awalnya, tapi lepas tu saya dah dapat biasakan diri.

Menurut Furqan, dia turut aktif dalam sukan silat.

"Awalnya tingkatan satu saya main ragbi. Saya gagal dalam pemilihan masa tingkatan dua sebab saya bukanlah seorang yang berbadan besar. Kemudian ada senior tawarkan saya sertai silat.

"Saya cuba saja pada waktu itu, perlawanan silat pertama saya dah dapat nombor satu. Bermula dari situ saya aktif bersilat sehingga pernah dapat pingat gangsa ketika Kejohanan Silat Seni Gayong Kebangsaan 2020," ujarnya.

Menurut Furqan lagi, dia juga bercadang meneruskan minatnya dalam sukan itu bagi memartabatkan lagi acara silat yang saban hari semakin dilupakan.

Furqan berkata, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang Komunikasi Massa.

Berkongsi perancangan masa depan, Furqan menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa untuk bergelar sebagai pengacara.

Selain itu, Furqan yang memasang impian menyertai program Hero Remaja turut berkongsi minatnya untuk bergelar pelakon dan menjadikan Tom Cruise serta Meerqeen sebagai rujukan.

Furqan (kanan) mahu memartabatkan seni silat yang kini semakin dilupakan.

"Saya teringin nak jadi seseorang dalam industri perfileman atau lakonan. Memang sejak tingkatan tiga saya nak jadi pengacara dan pelakon.

"Masih belum ada pengalaman, tetapi saya pernah jadi pengacara ketika majlis di sekolah," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain