suria

Dilema gadis minat sukan! Di sekolah kawan rimas sebab banyak tanya, kongsi bakat taekwondo di TikTok komen aurat pula - “Saya tak boleh nak buat ayu”

Ika pernah meraih pingat perak dalam acara taekwondo di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada tahun 2018.

AKTIF berkongsi video aksi taekwondo menerusi aplikasi TikTok, gadis dari Pekan, Pahang ini tidak terlepas menerima komen negatif.

Menurut Syafiqah Mohd Nasri, 19, dia bagaimanapun tidak ambil hati, malah menerima segala teguran dengan hati terbuka.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Ika menganggap segala komen itu sebagai pembakar semangat untuknya lebih maju dalam lapangan sukan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun suami tak makan pujuk, tiba-tiba jadi sporting habis! Ibu 2 anak terkejut dapat restu tunggang superbike - “Saya keluar ride, dia jaga anak”

"Saya pada mulanya main TikTok untuk suka-suka saja. Kemudian saya terfikir untuk kongsi bakat taekwondo melalui video.

"Saya nak tunjukkan bahawa perempuan juga ada bakat dalam sukan ini. Lagipun saya tak pernah jumpa mana-mana perempuan buat video taekwondo di TikTok.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya orang nampak yang perempuan tak lemah. Tak ada had untuk sertai apa-apa sukan. Komen negatif tu saya tak boleh buat apa, terima dengan hati terbuka," ujarnya.

Ika (kanan) berhasrat untuk ke Olimpik suatu hari nanti.

Menurut penuntut bidang Komunikasi Bahasa Inggeris di Kolej Profesional Mara (KPM) itu, kebanyakan komen negatif memperkatakan mengenai aurat dirinya sebagai perempuan.

Namun jelas Ika, sukan itu memerlukan dia untuk beraksi kasar dan dia sendiri tidak boleh mengubahnya sesuka hati.

"Kecil hati tu benda biasa. Saya kena sedar yang saya main sukan. Apa yang mereka cakap memang betul.

Sekurang-kurangnya beri sokongan. Tak ramai perempuan sanggup sertai sukan dan dicaci sebegini.

IKA

"Tapi sukan yang saya pilih memang macam tu. Pergerakannya begitu. Saya tak boleh nak buat ayu. Mereka kena terima.

"Cuma saya nak pesan, setiap orang ada struggle masing-masing. Ada kebaikan dan kelemahan. Pandanglah bakat saya.

"Kalau nak tegur, boleh tegur elok-elok. Janganlah terus butakan mata dan tengok kelemahan saya dengan komen negatif.

Antara video yang dikongsi oleh Ika.

"Sekurang-kurangnya beri sokongan. Tak ramai perempuan sanggup sertai sukan dan dicaci sebegini.

"Tapi saya anggap ia sebagai dugaan. Benda tu jadikan saya kuat untuk maju dalam sukan. InsyaAllah saya akan tutup aurat dengan sempurna," jelas Ika.

Bercerita mengenai dirinya, Ika yang juga anak keempat daripada lima beradik aktif menyertai taekwondo sejak berusia tujuh tahun.

Selain itu, dia juga banyak menyertai sukan olahraga, frisbee dan bola baling.

Menurut Ika, dia juga melalui pengalaman mencabar sewaktu zaman sekolah memandangkan dia terlalu sibuk memberi fokus terhadap sukan.

"Waktu sekolah saya banyak terlibat dengan latihan sukan. Malam baru belajar di asrama. Ada kawan-kawan yang bagi sokongan.

Kata Ika, dia terima segala komen yang diberikan di media sosial.

"Namun, ada juga yang macam rimas bila kita tanya. Mereka rimas nak jawab, kita pula tak faham sebab lama tak datang sekolah.

"Tapi saya tak kecil hati sebab minat kepada sukan terlalu tinggi. Cikgu pun ramai bagi sokongan, ada yang hadiahkan kasut kepada saya," ujarnya.

Namun kata Ika, dia bersyukur apabila dia lulus dalam semua subjek ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut penuntut di kolej di Kuantan, Pahang itu, dia pernah meraih pingat perak dalam acara taekwondo di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada tahun 2018.

Pada tahun sama, dia pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik sewaktu menyertai satu kejohanan di Thailand.

Selain memasang impian untuk ke Sukan Olimpik, Ika juga berbesar hati jika ditawarkan menjadi duta kepada mana-mana jenama sukan suatu hari nanti.

Untuk rekod, Ika memiliki lebih 20,000 pengikut di TikTok yang mana ia dijadikan platform untuknya berkongsi pelbagai video sukan taekwondo.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain