suria

Peniaga tak sangka kek ‘Elsa tak jadi’ dapat pujian, makin banyak pula order masuk - “Anak sayang nak makan, tak bagi potong”

Gambar kiri menunjukkan Rifqie (kanan) bersama ibunya, sementara foto kanan adalah kek lukisan Elsa yang tidak menjadi.

LUMRAH berniaga kek, macam-macam permintaan yang diterima daripada pelanggan yang membuat tempahan.

Menerusi satu perkongsian di aplikasi TikTok, sebiji kek yang memaparkan lukisan watak animasi Frozen iaitu Elsa yang dihasilkan oleh seorang peniaga nampaknya 'tidak menjadi'.

Video yang dimuat naik oleh seorang pemuda itu mendedahkan ibunya yang mengambil upah membuat kek sebenarnya telah menolak permintaan tersebut tetapi tetap melakukannya selepas dipujuk pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kek terbelah 3 ketika adik ipar menjerit... lebih aneh pelanggan repeat order - "Saya menggigil trauma, dugaan apakah ini?"

ARTIKEL BERKAITAN: Indah khabar dari rupa! Kek hantaran majlis tunang cetus rasa geram... bentuk lain, rasa tak sama - "Ikutkan hati nak tampar muka penjual"

Pemuda berkenaan, Muhammad Rifqie Rosly berkata, ibunya yang berusia 42 tahun berniaga kek sejak sedekad lalu dan sering membuat lukisan pada kek mengikut permintaan pelanggan.



Gambaran asal bagi lukisan kek Elsa. sumber wikipedia

Anak muda berusia 21 tahun itu memberitahu, permintaan pelanggan tersebut terpaksa ditolak kerana ibunya sedar dirinya tidak mahir untuk melukis wajah Elsa pada kek marble yang ditempah.

"Mak tak nak ambil request tu sebab mak tak pernah buat lukisan kartun manusia pada kek. Lukisan yang mak buat ni berbeza kerana ia dibuat sebelum kek dibakar.

"Selepas dibakar selama 40 minit dengan suhu sekitar 110 darjah Celsius, mak gelak saja sebab kek tu sah tak menjadi," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Rifqie, katanya, kebiasaannya ibunya hanya melukis bunga pada kek dan sejak kebelakangan ini membuka tempahan bagi lukisan dinasor dan unicorn.



Kebiasaannya ibu Rifqie membuat lukisan dinasor atau unicorn untuk tempahan kek.

Walaupun pelanggan tersebut pernah membuat tempahan kek dengan ibunya sebelum ini tetapi kata anak kelahiran Kangar, Perlis itu, ini merupakan pertama kali dia membuat permintaan untuk lukisan Elsa untuk kek hari ulang tahun anak perempuannya yang ke-5.

"Kalau hendak diikutkan, sebelum bakar kek tu mak dah boleh tahu lukisan tu tak menjadi. Tapi sebab pelanggan nak juga, mak teruskan juga sebab regular customer.

"Sebiji kek Elsa seberat 1 kilogram dijual pada harga RM30. Memandangkan kek tu tak menjadi dan pelanggan masih nak beli, ibu menjualnya lebih murah iaitu RM20," ujarnya sambil menambah bahawa pelanggan yang sama turut menempah sebiji kek lukisan monster.



Selain kek Elsa, pelanggan berkenaan turut menempah kek monster.

Rifqie berkata, pelanggan tersebut turut berasa lucu melihat kek yang ditempahnya dan apa yang lebih mengejutkan adalah maklum balas daripada pelanggan selepas itu.

"Mak minta maaf berkali-kali dengan pelanggan tu sebab mak memang tak reti nak lukis kartun manusia, kalau lukis binatang atau bunga, mak okay.

Mak minta maaf berkali-kali dengan pelanggan tu sebab mak memang tak reti nak lukis kartun manusia, kalau lukis binatang atau bunga, mak okay.

MUHAMMAD RIFQIE ROSLY

"Tapi mak terkejut sebab pelanggan tu mesej maklumkan anaknya kata kek tu cantik sampai sayang nak makan, siap tak bagi potong. Pelanggan mesej beritahu anak kata cantik kira on lah.

"Malah, pelanggan tu boleh tahu kek tu sedap walaupun tak ada rupa Elsa berdasarkan pengalaman menempah kek dengan mak sebelum ni," katanya.



Tangkapan skrin mesej pelanggan di luar jangkaan.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, ibunya begitu terharu dengan sambutan luar jangka yang diberikan oleh pelanggannya.

"Mak terharu sebab walaupun lukisan tu tak menjadi, tapi pelanggan masih okay dengan rasa kek yang mak buat.

"Lebih mengejutkan apabila pelanggan tu siap nak tambah order untuk kek yang lain. Memang rezeki kek Elsa tak menjadi kali ini, syukur Alhamdulillah.

"Walau bagaimanapun, mak dah tak nak buat lagi kek lukisan kartun manusia. Mak tak mahu lukisan tak menjadi macam kek Elsa," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain