suria

Selepas banyak stalk IG muslimah, gadis dah tak mahu tangguh hijrah... terus call bapa minta izin ubah imej - “Tudung tak labuh, pakaian orang muda masa kini”

Alia mengubah penampilannya kerana mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik.

SETIAP individu pastinya mempunyai azam mahu menjadi insan yang lebih baik untuk hari-hari mendatang, tidak kiralah dalam apa jua perkara sekali pun sama ada dari segi pencapaian akademik, kerjaya, kehidupan dan sebagainya.

Begitu juga dengan gadis ini yang berazam mahu memperbaiki dirinya menjadi seorang muslimah dalam erti kata sebenar.

Perlahan-lahan melakukan perubahan, gadis ini bermula dengan cara mengubah imej di mana dia mula mengenakan pakaian yang lebih labuh dan besar, lengkap dengan stoking dan handsock.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 37 tahun 'free hair', detik lelaki bukan mahram berpaling muka beri tamparan hebat buat wanita ini... malu, sedih, kesal, takut! - “Anak perempuan saya tutup aurat tanpa disuruh”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu baju tak cukup kain, terbentang luas aurat aku” - Bermula dengan tergerak hati je, gadis terkejut apa dialaminya selepas berhijab

Video penghijrahannya yang dikongsi di aplikasi TikTok mencuri tumpuan ramai dengan sehingga kini sudah meraih lebih 400,000 tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Alia Azwa Mohamad Nasir berkata secara jujurnya dia sudah lama menanam niat untuk melakukan perubahan imej.

"Saya asalnya berhijab tapi tudung tak labuh... pakaian pun macam orang muda masa kini. Dari tahun lepas lagi niat nak berubah tu dah ada. Ada beberapa kali saya cuba, tapi tak konsisten.

"Saya semacam rasa bimbang dan takut belum bersedia. Tak lama kemudian, saya ada stalk akaun pelayar di sosial media yang mengenakan pakaian muslimah, labuh-labuh dan menutup aurat dengan sempurna.



Alia meluahkan hasrat untuk mengubah penampilan kepada bapanya, Mohamad Nasir terlebih dahulu untuk memohon doa dan restu.

"Saya stalked akaun yang jual handsock... tengok orang pakai, niat tu makin kuat. Akhirnya saya solat tahajud dan solat taubat. Saya mohon doa kepada Allah, jika saya boleh lakukannya, maka permudahkanlah," kata gadis berusia 22 tahun ini.

Tambahnya yang senang disapa sebagai Alia, lebih menguatkan semangatnya pada ketika itu apabila menyaksikan penghijrahan selebriti terkenal, Noor Neelofa yang mula mengenakan niqab.

"Neelofa merupakan antara salah seorang yang menjadi sumber inspirasi saya. Melihat dia berubah, terdetik juga di hati yang saya juga boleh berubah.

"Keesokannya selepas melakukan solat taubat dan tahajud, saya terus beli handsock dan stoking," ujar siswi jurusan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ini.

Menurut anak sulung daripada tiga adik beradik ini, dia kemudian menghubungi bapanya untuk meluahkan hasrat tersebut di samping mahu memohon doa daripada insan kesayangannya itu.



Hampir lima bulan tampil dengan imej baharu, Alia mengakui dirinya lebih tenang dan positif.

"Saya hubungi papa beritahu niat saya. Saya beritahu 'kakak nak minta izin papa untuk imej baharu dan minta papa doakan supaya kakak kekal macam ni sehingga bila-bila'.

"Papa sangat gembira. Dia cakap Alhamdulillah dan doakan saya istiqomah, terus kuat sehingga bila-bila. Kata-katanya terus membuatkan saya betul-betul bersemangat.

"Pada mula-mula tukar imej, saya tulis nota dalam diari tentang luahan hati saya. Saya akan sentiasa baca diari tu untuk ingatkan diri sendiri dan menguatkan semangat di kala ada suara-suara yang mungkin memandang rendah dengan imej baharu saya ini," ujarnya yang berasal dari Tok Bali, Kelantan.

Hampir lima bulan tampil dengan imej baharu, Alia berkata dia masih lagi dalam proses memperbaiki diri dan mendalami ilmu agama.

Dari tahun lepas lagi niat nak berubah tu dah ada. Ada beberapa kali saya cuba, tapi tak konsisten.

NUR ALIA AZWA MOHAMAD NASIR

"Alhamdulillah saya makin gembira dengan diri saya sekarang. Tak dinafikan banyak perubahan yang dirasakan, antaranya rasa selamat dan tenang yang tak tahu nak gambarkan. Syukur, rezeki juga makin murah.

"Namun saya tak sempurna... masih banyak yang perlu dibaiki. Buat masa ini saya beli bahan-bahan bacaan selain banyak merujuk ceramah agama," ujarnya yang turut mempunyai sebuah butik pakaian di Tok Bali.

Tidak menyangka videonya raih jumlah tontonan yang tinggi, Alia berkata dia sekadar mahu menyampaikan mesej positif kepada netizen khususnya yang sama seperti dirinya.



Rata-rata netizen memuji penampilan baharu Alia yang lebih sopan selain turut mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya mulanya tak cadang pun nak share tapi sepupu kata mengapa tidak share dekat TikTok. Saya bimbang orang kata bukan-bukan namun fikir ada betulnya sebab niat nak sebarkan perkara positif, tak ada selain itu.

"Alhamdulillah terharu sangat dapat kata-kata sokongan daripada netizen hingga ada yang tak sempat nak balas. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Ini antara yang menguatkan semangat saya.

"Bagi gadis atau wanita lain yang ada niat nak berhijrah, apa yang boleh saya katakan, jangan berhenti mencuba. Beritahu ibu bapa kerana mereka pasti mendoakan kita.

"Jika ada suara-suara yang kurang enak, ketepikan. Kita perbetulkan niat... kita buat bukan untuk manusia, tapi untuk Allah suka," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain