suria

Selama ini hanya tatap foto arwah mak ayah berwajah serius, selepas 21 tahun anak meraung dapat lihat mereka ‘senyum’ - “Terlalu realistik”

Adilla (tengah) bersyukur dapat melihat foto arwah ibu (kanan) dan arwah bapa (kiri) yang 'tersenyum' secara animasi.

KEHILANGAN orang tersayang bukan mudah untuk diterima, satu ujian dan dugaan yang sangat berat!

Situasi itulah yang perlu ditempuhi seorang gadis apabila takdir menentukan dia terpaksa bergelar yatim piatu sejak kecil.

Kerinduan terhadap arwah ibu bapanya bagaimanapun sedikit terubat apabila menatap foto kedua-dua mereka sedang 'tersenyum' hasil suntingan daripada aplikasi mudah alih.

ARTIKEL BERKAITAN: "Nak duduk asrama?" Rupa-rupanya penghuni rumah anak yatim pada usia 10 tahun... Kecekalan gadis ini harungi derita patut jadi iktibar

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - "Tanpa mereka aku kosong"

Selain senyuman, dua foto secara berasingan yang 'seakan' hidup itu dikongsinya di aplikasi TikTok sehingga menjadi perhatian dan mengundang sebak netizen.



Wajah arwah ibu (kiri) dan arwah bapa Adillah yang kelihatan serius.

Gadis berkenaan, Adilla Kamaruzzaman berkata, ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2000 ketika umurnya empat tahun.

Sementara itu katanya, bapanya pula dijemput Ilahi enam tahun kemudian pada 2006 akibat komplikasi selepas terjatuh di bilik air sewaktu usianya 10 tahun.

"Tak banyak gambar mak dan ayah dalam simpanan saya. Yang ada hanya empat keping, dan kesemuanya menunjukkan mak dan ayah kelihatan serius di dalam gambar.

"Saya sering membayangkan wajah mereka tersenyum setiap kali rindu. Bila dibesarkan tanpa mereka, perasaan rindu itu begitu berbeza," katanya yang kini berusia 25 tahun kepada mStar.



Kenangan... Adilla (kiri) bersama arwah ibu (tengah).

Namun kata Adilla yang lebih mesra disapa El, segala-galanya berubah apabila dia melihat satu posting di TikTok beberapa hari lalu mengenai foto yang dijadikan animasi.

"Trending dalam kalangan pengguna TikTok di barat untuk buat video animasi tu. Saya pula dah lama sangat tak tengok wajah mereka, jadi mahu mencuba.

"Saya tak ada kenangan lain dalam bentuk suara atau video. Hanya empat keping gambar tu saja, itupun bukannya foto kami bertiga," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu, timbul satu perasaan yang sukar digambarkan sebaik menggunakan aplikasi tersebut pada foto arwah ibu dan bapanya.



Adillah (hadapan) bersama arwah bapa.

Walaupun aplikasi itu berbayar, tetapi penggunaan secara percuma bagi tempoh percubaan (trial), membolehkannya untuk melihat wajah ibu bapanya tersenyum.

"Saya rasa macam tak percaya. Sebelum ini saya selalu membayangkan saja senyuman arwah mak ayah, tapi bukan secara depan-depan.

Saya tak ada kenangan lain dalam bentuk suara atau video. Hanya empat keping gambar tu saja, itupun bukannya foto kami bertiga.

ADILLA KAMARUZZAMAN

"Jadi, saya bersyukur sangat kerana impian saya untuk melihat wajah mak dan ayah tersenyum direalisasikan dalam bentuk animasi.

"Rasa macam tak boleh move on. Mula-mula rasa lega, lepas tu gembira sebab teruja. Tak lama lepas tu saya menangis dan meraung sebab apa yang saya lihat terlalu realistik," katanya yang dibesarkan di rumah anak yatim di Seremban selama lapan tahun.



Adilla di pusara ibu dan bapanya.

Mengulas lanjut, El berkata, dia pernah bermimpi tentang arwah ibu dan bapanya ketika tidur namun katanya, ia sekadar 'mimpi dalam mimpi'.

Dia yang kini mengusahakan bisnes cookies memberitahu, arwah ibunya seorang yang gemar memasak manakala bapanya garang dan tegas tetapi penyayang.

"Sukar untuk mengingati kenangan bersama mereka terutama membabitkan mak kerana saya masih kecil. Tapi saya ingat suatu pagi ayah hantar saya ke sekolah dengan motosikal.

"Tiba di pintu pagar sekolah dan turunkan saya dari motosikal, ayah berpesan supaya saya belajar rajin-rajin. Petang tu ayah terjatuh di bilik air dan dikejarkan ke hospital, seminggu kemudian ayah meninggal dunia... itu kenangan yang tak dapat saya lupakan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain