suria

Peha dah macam lipan! Wanita buat ramai ngilu kongsi kisah kena 21 jahitan gara-gara mangkuk tandas pecah - “Saya tak cangkung pun”

Hazirah berkongsi cerita pernah menerima 21 jahitan gara-gara ditusuk seramik mangkuk tandas yang pecah, enam tahun lalu.

"TAK ramai tahu, tapi diri ini ada 21 jahitan di kaki kiri. 21 jahitan as a girl, dah macam lipan"

Demikian tulis pelayar wanita ini ketika berkongsi kisah ngeri yang pernah dialaminya beberapa tahun di mana peha kirinya 'terkoyak' gara-gara tertusuk seramik mangkuk tandas yang pecah.

Perkongsian di laman Twitter itu sehingga kini meraih lebih 1,100 retweet.

ARTIKEL BERKAITAN: Soalan mengenai parut tak pernah berakhir, gadis tabah dirinya sering dianggap mangsa simbah asid - “Mula-mula sedar, saya minta telefon nak selfie”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri”

Sementara itu di ruang komen pula, rata-rata netizen mengatakan mereka terasa 'ngilu' seolah-olah dapat membayangkan kecederaan yang dialami wanita berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hazirah berkata sungguhpun kejadian itu berlaku hampir enam tahun lalu, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatannya apatah lagi apabila melihat parut bekas jahitan pada peha kirinya.



Posting Hazirah di Twitter mengenai kisahnya menerima 21 jahitan gara-gara mangkuk tandas pecah menjadi tular.

Mengimbas kembali peristiwa berkenaan, Hazirah berkata ketika itu dia yang sedang menjalani latihan industri (internship), mengunjungi rumah sahabatnya dan bermalam di sana.

"Pagi tu selepas bangun tidur, saya ke tandas. Selalunya kita tak biasa tandas rumah orang. Masa buang air, saya duduk normal je... tak cangkung pun atas mangkuk tandas.

"Tapi mungkin ia tak stabil ditambah pula ada pressure, tiba-tiba bergoyang dan terus pecah. Serpihan seramik mangkuk tandas tu tertusuk pada bahagian belakang peha kiri.

"Terus saya jerit panggil adik kepada kawan saya... darah memang membuak-buak. Dia ambil tuala untuk balut kawasan yang cedera dan terus hubungi kawan saya yang keluar hantar seorang lagi adiknya ke tadika.



Hazirah turut memperincikan insiden yang menimpa dirinya menerusi bebenang di Twitter.

"Masa terkena tu tak rasa sakit... tapi bila dah dalam kereta masa nak pergi klinik kesihatan, dah mula terasa sakit amat," Cerita Hazirah mengimbas kembali tragedi yang berlaku pada 2015 itu.

Tambahnya, disebabkan kecederaannya agak serius, dia segera dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Dari petang selepas cuci luka dan jalani beberapa prosedur lain, hanya pada waktu malam baru dibedah. Luka tusukan agak dalam sampai kena 21 jahitan.

"Saya bersyukur sangat doktor beritahu tak ada saraf atau urat yang putus. Tiga hari jugalah ditahan dekat wad. Tapi proses nak sembuh, dengan hari-hari kena cuci luka, keseluruhannya saya cuti sakit selama tiga minggu.

Masa terkena tu tak rasa sakit... tapi bila dah dalam kereta masa nak pergi klinik kesihatan, dah mula terasa sakit amat.

HAZIRAH

"Saya sambung internship macam biasa cuma seriau apabila bersesak-sesak dalam tren... bimbang kaki terhimpit. Kena hati-hati tapi ada juga masanya saya beritahu saya baru lepas operate, ada yang baik hati beri tempat duduk," kata wanita berusia 27 tahun ini.

Tidak menyangka ciapannya menjadi tular, Hazirah berkata dia sekadar berkongsi pengalaman sendiri selain mahu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa perlunya mengambil insurans sebagai persediaan.



Hazirah (dua, kanan) bersyukur masih mampu berjalan seperti biasa kerana kecederaannya tidak melibatkan sebarang saraf mahupun tulang.

"Sebenarnya saya baru menceburi bidang takaful secara sambilan... jadi saya share pengalaman sendiri untuk beri kesedaran kepada orang ramai. Kemalangan ni berlaku tak kira tempat, di rumah pun boleh jadi tanpa dijangka.

"Kita semestinya mahukan rawatan terbaik jika terjadi perkara seperti ini. Dulu saya masih belajar, tak ambil insurans. Jadi pada pendapat saya, sesiapa yang berkemampuan, boleh ambil pelan takaful sebagai persediaan," ujar kakitangan syarikat swasta ini lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain