suria

Mulanya keliru sebab ‘cantik’, foto tunang pemuda ini buat ramai frust sampai hilang 6,000 followers Instagram – “Suara saya jantan habis”

(kiri) Wajah 'jambu' Ray Drac sering disalah anggap oleh netizen. (kanan) Ray Drac berpenampilan kasual seperti kebanyakan lelaki.

SEKALI imbas melihat wajah seorang pengguna aplikasi TikTok yang mempunyai lebih 400,000 pengikut ini membuatkan ramai berasa keliru.

Walaupun jelas sekali suaranya garau apabila bercakap atau menyanyi, masih ada yang sukar mempercayai pengguna akaun ray_drac itu adalah lelaki.

"Cantiklah akak ni," antara komen netizen gara-gara pemuda itu berwajah 'jambu'.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat K-Pop bibir pink menyesal seminggu bertopeng di Korea Selatan sebab rasa rendah diri - "Saya akan kembali dengan lebih banyak gambar selfie"

ARTIKEL BERKAITAN: Bikin polis keliru, 'lelaki paling cantik' terpaksa tunjuk MyKad sebelum masuk stadium

Pemuda berkenaan, Khairul Razin Nordin menganggap semua komen yang menyangkanya sebagai wanita sekadar gurauan semata-mata di laman sosial.



Segelintir netizen memuji wajahnya 'cantik'.

Walaupun sering diajukan soalan dan komen berhubung kekeliruan tersebut, anak muda berusia 22 tahun itu tetap melayan para pengikutnya dengan nada bergurau.

"Itu antara cara saya beramah mesra dengan netizen dan pengikut saya. Walaupun nampak kasar tapi kami tengah melawak.

"Ada yang panggil saya kakak, sis dan pengkid. Saya setuju saya disangka perempuan sebab muka 'jambu', misai dan janggut saya susah nak tumbuh," katanya kepada mStar.



Ray Drac menganggap netizen yang menyangkanya sebagai perempuan sekadar gurauan semata-mata.

Lebih dikenali dengan panggilan Ray Drac di laman sosial, pemuda tersebut bersyukur apabila masih ada segelintir netizen lain yang memujinya kerana menganggap wajahnya kacak.

"Saya anggap ia sebagai kelebihan dalam kekurangan diri saya yang merupakan OKU (Orang Kelainan Upaya) pendengaran.

"Kalau orang kata suara saya jantan habis... sebabnya saya lelaki, jadi memang wajarlah lelaki suara macam tu. Rupa tu letak je tepi," ujarnya secara berseloroh.

Berasal dari Taiping, Perak, anak muda itu lebih gemar menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan 'jiwang' seperti lagu-lagu dendangan penyanyi Haqiem Rusli.



Minat bermain bola sepak dan pernah bermain dalam perlawanan persahabatan di Songkhla, Thailand.

Namun, siapa sangka pemuda yang gemar memasak dan menyanyi itu sebenarnya juga berminat dalam sukan elektronik (e-sukan) dan bola sepak.

"Saya dan pasukan pernah mewakili satu jabatan bermain bola sepak sampai ke Songkhla di Thailand untuk perlawanan persahabatan pada 2018," katanya yang juga berminat bermain badminton, ping pong dan boling.

Kalau orang kata suara saya jantan habis... sebabnya saya lelaki, jadi memang wajarlah lelaki suara macam tu. Rupa tu letak je tepi

RAY DRAC

Dalam pada itu, pengikut Ray Drac dikejutkan dengan berita pertunangannya dengan seorang gadis berusia 18 tahun, selepas dia memuat naik foto bersama tunang di akaun Instagram miliknya, pada Ahad.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, majlis pertunangan tersebut dibuat menerusi satu majlis tertutup di Manjung, Perak pada 21 Januari lalu.



Ray Drac (kiri) bertunang dengan gadis pilihan pada 21 Januari 2021.

"Ramai pengikut saya di Instagram terkejut dengan pertunangan saya sehingga jumlahnya berkurangan kira-kira 6,000 orang.

"Di TikTok, saya ada juga buat video tentang tunang saya. Jadi, ada followers TikTok yang dah jatuh hati dengan saya tak boleh terima yang saya sudah bertunang.

"Walau bagaimanapun, followers di TikTok tetap bertambah sebab pengikut-pengikut baru lebih menyokong siap kata saya dan tunang muka sama, secocok," tambahnya.

Ray Drac yang bertugas sebagai juruteknik elektrik itu menganggap situasi ini sebagai 'pasang surut' apabila menjadi personaliti media sosial atau influencer.

"InsyaAllah kalau tiada halangan saya dan tunang merancang untuk berkahwin awal tahun depan. Harap kita semua dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki dan dijodohkan dengan orang yang sesuai," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain