suria

Cantik, penyayang pula! Gadis ini tak kekok urus 70 ekor kerbau, ikut jejak nenek jadi penternak haiwan - “Jangan pandang rendah orang buat kerja kampung”

Nadia mula membantu keluarganya menguruskan haiwan sejak kecil lagi.

BIARPUN ada segelintir individu yang memandang rendah terhadap dirinya, gadis ini tidak pernah berasa malu untuk menjadi penternak haiwan.

Menurut Nadia Yusof, 19, dia seronok menguruskan haiwan seperti kerbau, lembu dan rusa di sebuah ladang milik keluarganya di Kuala Nerus, Terengganu.

"Saya dah bermula sejak umur lima tahun lagi. Memang keturunan saya bela kerbau. Saya merupakan generasi keempat, ia dimulakan oleh nenek saya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak bawa ke kebun, dia mengamuk nak ikut” -Bapa hairan Che Tam terlalu sayangkan haiwan, tak kisah digelar Syukur 2.0

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri

"Kami memang ada ladang sendiri. Sekarang ada dalam 70 ekor kerbau, 60 ekor lembu dan 15 ekor rusa. Ia diternak untuk dijual jika ada kenduri, Hari Raya Koban dan sebagainya," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Nadia, dia mengakui tidak kekok melakukan kerja-kerja lasak termasuklah memandikan haiwan serta memotong rumput untuk haiwan-haiwan ternakannya.

Nadia tak kekok melakukan kerja-kerja berat di ladang haiwan milik keluarganya.

Malah katanya, segala penat lelah tidak dihiraukan memandangkan dia cukup meminati bidang itu sejak kecil lagi.

"Saya mandikan haiwan, bagi makan, potong rumput untuk dijadikan makanan. Seingat saya, saya sudah belajar menggunakan mesin pemotong rumput sejak darjah lima.

Jangan pandang rendah kepada penternak atau orang kerja kampung, kadang-kadang pulangannya lebih lumayan.

NADIA

"Saya memang niat nak jadi usahawan dan penternak haiwan muda. Pada masa sama, saya ada impian nak sambung belajar dalam bidang yang berkaitan apa yang saya usahakan ini," ujarnya yang turut dikenali sebagai 'gadis kerbau'.

Kini, dia juga aktif berkongsi kehidupan sehariannya sebagai penternak dengan pelbagai video menarik di laman TikTok.

Nadia menetap di Kuala Nerus, Terengganu.

Namun katanya, ada segelintir individu turut memberi komen negatif termasuklah menganggap kerjanya itu tidak menjamin masa depan.

"Komen negatif pun ada. Mereka cakap kita ternak kerbau tak ada masa depan. Tapi saya abaikan, tak ambil hati.

"Sebab saya tahu apa saya buat dan apa yang saya dapat. Jangan pandang rendah kepada orang yang buat kerja kampung, ataupun yang jadi penternak. Kadang-kadang pulangannya lebih lumayan," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Nadia menasihtkan orang ramai jangan sesekali pandang rendah terhadap mereka yang melakukan kerja-kerja kampung.

Namun, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum akan kegigihan Nadia, tak kurang juga yang menganggap video-video dikongsi seolah-olah mengimbas kenangan mereka di kampung.

"Saya akan terus berkongsi kalau ada yang menarik. Syukur, ramai yang komen positif, mereka kata rindu kampung kalau tengok video saya," ujarnya lagi.

Sehingga kini, Nadia memiliki lebih 88,000 pengikut di aplikasi TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain