suria

Mengaku gementar tapi cara usahawan ini ucap salam perkenalan buat si pujaan hati memang ‘win’, macam dah lama kenal! - “Selamba tanya exam bila, padahal tak ada kena mengena pun”

Throwback 'Cinta Muka Buku' bersama isteri menarik perhatian netizen.

SETIAP manusia diciptakan berpasangan, termasuklah jodoh kita yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebelum lahir ke dunia lagi.

Jodoh itu memang rahsia Yang Maha Esa tetapi kita juga perlu berusaha mencari siapakah dia yang ditakdirkan untuk hidup bersama kita.

Kini, banyak laman sosial dan aplikasi jodoh yang boleh dijadikan salah satu alternatif bagi individu yang belum ada pasangan untuk mencari jodoh, sama seperti yang dilakukan seorang pemuda ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sampai bila nak tenung gambar profil? Cara lelaki ini hulur salam perkenalan kepada gadis tak dikenali gentleman habis, tetap berjaya walau lambat 'disambut'

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan tabiat si gadis suka meroyan di Twitter, jurutera ini try dengan hanya satu perkataan... kini belum pun setahun mereka lebih mesra di rumah

"You looked unfamiliar to me, auchh," demikian ayat pemuda tersebut yang diberikan untuk isterinya ketika mahu berkenalan dulu, yang dikongsi di Twitter baru-baru ini.



Perkongsian Fazrul di laman Twitter.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Fazrul Azreen Nazli, 33, berkata perkongsiannya itu sekadar mengimbas kenangan lalu apabila dia terbaca perbualannya bersama isterinya sembilan tahun lalu menerusi Facebook Messenger.

"Sebenarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya banyak masa terluang dan mungkin juga sebab bosan. Saya sendiri tak tahu macam mana boleh tiba-tiba terdetik nak buka Facebook Messenger.

"Boleh pula jumpa perbualan saya dengan isteri sebab kami tak banyak pun bebual dekat messenger. Tak scroll atas sangat pun sebab lepas kami dah agak rapat kami berubah ke Yahoo Messenger sebab masa zaman tu memang top lah.

"Saya pun sengaja buat 'from this to this' yang ramai orang buat tapi tak sangka pula dapat banyak like dan retweet," ujarnya.

Perkongsian tersebut menjadi tular sejak tweet tersebut dimuat naik pada petang Ahad lalu dan sehingga kini meraih 11,000 like dan 4,000 retweet.



Isteri Fazrul bertugas sebagai doktor.

Lebih mesra disapa Fazrul, dia tidak menyangka perkongsian itu mendapat perhatian ramai sama seperti tweetnya yang pernah tular ketika dia berkongsi mengenai tulisan isterinya yang sukar untuk difahami.

Fazrul memberitahu isterinya iaitu Dr Hamizah Hamzah yang bertugas di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban juga baru tahu mengenai tweet yang tular ini.

"Isteri saya pula tak ada Twitter dan dia baru tahu, itu pun rakan-rakannya yang tanya," katanya.

Memang lama dia tak approve. Sedih betul masa tu sebab niat memang nak kenal. Itu pertama kali saya beranikan diri walaupun gemuruh.

MUHAMMAD FAZRUL AZREEN NAZLI

Bercerita lanjut mengenai hubungan bersama isterinya sebelum dan selepas kahwin, katanya, dia mula menyedari kehadiran isterinya itu daripada rakan sekolahnya yang juga kawan sekelas isterinya ketika mereka sama-sama belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dia yang merupakan usahawan kosmetik berkata sejak kawan sekolahnya itu memuat naik gambar bersama rakan-rakan sekelasnya, dia tertarik dengan isterinya dan mula menghantar 'friend request' di laman Facebook.



Fazrul (tengah) bersama isteri, Dr Hamizah (kanan) dan anak lelaki, Fateh Affan.

"Memang lama dia tak approve. Sedih betul masa tu sebab niat memang nak kenal. Itu pertama kali saya beranikan diri walaupun gemuruh.

"Kemudian kawan saya ada muat naik status stres nak exam, masa itulah saya ambil peluang salam perkenalan dengan tanya si dia 'exam UiTM bila ya'.

"Lepas tu saya mula mengayat, cakap muka dia familiar. Dengan selamba dia cakap you looked unfamiliar to me," ujarnya berseloroh.

Fazrul meluahkan rasa syukur kerana strateginya menjadi dan kini mereka sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Fateh Affan yang berusia lima tahun.

Dalam pada itu, Fazrul berkata dia tiada sebarang tip 'mengayat' wanita kerana dia juga hanya mencuba nasib ketika itu.

"Kalau nak cuba cara saya boleh la try tapi belum tentu menjadi," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain