suria

Bakal berkahwin Januari 2021, gadis merayu bapa pulang jadi wali... nak kenal lebih rapat - “Sepanjang 23 tahun, jumpa abah hanya tiga kali”

Mira berharap bapanya dapat pulang untuk menjadi wali perkahwinannya tidak lama lagi.

SEPANJANG kehidupannya, dia hanya pernah bertemu bapanya tiga kali sahaja.

Begitulah kisahnya mengenai Norshamira Syazwani, 23, seorang anak yang tidak pernah berputus asa menjejaki bapanya.

Dia yang bakal menamatkan zaman bujang pada Januari 2021 mengharapkan agar bapanya, Norazman Abu Yaziz, 51, pulang untuk menjadi wali pada hari bersejarah buat dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sanggup lihat bapa usia 65 tahun sendirian, anak tunggal tak fikir lama ketika jumpa bakal ibu tiri - “Saya beli cincin, majlis kahwin Disember ini”

ARTIKEL BERKAITAN: “Prinsip ayah saya pegang, berani kerana benar” - Anak arwah Aziz Desa beri pesanan lucu tapi ‘makan dalam’ untuk bekas kekasih

"Mak dan abah dah berpisah pada tahun 1998. Masa tu umur saya setahun. Sepanjang 23 tahun, saya hanya jumpa abah tiga kali.

"Saya jumpa abah dua kali masa sekolah rendah. Masa 2017, saya jumpa dia sekali lagi. Lepas tu saya tak pernah jumpa dah.

"Saya kalau boleh tak nak pakai wali hakim. Nak abah sendiri jadi wali. Selama ni saya dah hidup tanpa dia.

"Kalau boleh saya nak dia ada kali ni. Dia tetap abah saya. Tengok orang lain ada bapa, saya ingat balik jadi sedih," katanya kepada mStar.

Mira bakal mendirikan rumah tangga pada hujung Januari 2021.

Menurut pekerja kilang di Kulim, Kedah yang mesra disapa Mira itu, dia bukanlah mencari bapanya hanya kerana memerlukan wali untuk berkahwin.

Malah, dia juga mahu mengenali bapanya dengan lebih rapat, sama seperti rakan-rakan yang lain.

Kata Mira, dia yang buntu mencari bapanya selama ini terpaksa menggunakan kuasa tular di Twitter dan berharap ada mana-mana individu boleh memberi petunjuk buatnya.

Nak dengar cerita abah sendiri, kenapa tinggalkan kami?

MIRA

"Saya berterima kasih sangat pada yang membantu. Walaupun mereka tak kenal saya, mereka bagi pelbagai cadangan untuk cari abah.

"Allah je boleh balas jasa mereka. Kalau abah baca berita ni, satu je saya nak tanya. Selama dia pergi, dia tak ingat saya ke?

"Saya je anak perempuan dia. Saya harap abah datang balik. Nak dengar cerita abah sendiri, kenapa tinggalkan kami?" ujar Mira sebak.

Tweet Mira yang tular di Twitter.

Sehingga kini, posting hebahan Mira mengenai pencarian bapanya menerima lebih 4,000 ulang kicau (Retweet).

Dalam posting itu, Mira memuat naik foto 26 tahun lepas, memaparkan bapanya sedang mendukung abangnya.

Tambah Mira, dia mendapat maklumat bapanya menetap di Kajang, Selangor.

Namun, pencarian itu tidak membuahkan hasil sehingga ke hari ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain