“Orang pernah cakap, sunset di Sabak Bernam lawa...” - Remaja Malaysia terharu gambar hari terakhir percutian kini dilihat 23 juta pengikut Instagram Apple

Foto sawah padi yang dihasilkan Faris pada Julai lalu dipaparkan di Instagram Apple pada Isnin.

SEKEPING foto sawah padi di Sabak Bernam, Selangor yang dirakam seorang remaja Malaysia tular selepas dipaparkan menerusi Instagram Apple pada Isnin.

Menjadi tatapan lebih 23 juta pengikut gergasi teknologi itu, ia sehingga kini turut meraih lebih 200,000 tanda suka (likes) dan turut dihujani pelbagai komen netizen.

Jurufoto berkenaan, Muhammad Faris Danial Mohd Faizal, 19, sewaktu dihubungi mStar sempat berkongsi kisah foto berkenaan sehingga namanya kini menjadi bualan ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Apple nun jauh di Amerika hargai foto rumput hijau di utara tanah air, jurugambar tak kecil hati ada yang perlekeh - “Setakat macam ni, biasa je...”

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

"Apple muat naik gambar saya dalam pukul 1 pagi. Masa tu tengah live streaming game di Facebook. Walaupun Apple dah maklumkan melalui email pada 15 September lalu, saya tetap terkejut dan terharu.

"Sebenarnya gambar saya pernah dipaparkan di Instagram Apple pada tahun 2018. Tapi pada waktu itu ia dikongsi secara kompilasi bersama gambar jurufoto-jurufoto lain," ujarnya.

Faris mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi sewaktu berusia 16 tahun.

Mesra disapa Faris, anak kelahiran Pahang yang membesar di Kuala Lumpur itu mendedahkan foto berkenaan dirakam sewaktu dia bercuti bersama keluarganya pada 17 Julai lalu.

"Masa tu saya bercuti tiga hari dua malam dengan keluarga. Gambar itu dirakam pada hari terakhir saya di sana.

"Memang sebelum ni ada orang pernah cakap, sunset di Sabak Bernam lawa.... kemudian dalam pukul 6.30 petang saya nampak macam ada potensi untuk hasilkan gambar yang menarik," ujarnya yang menggunakan iPhone XR dalam penghasilan karya itu.

Saya tak ada limit, saya cuba semua termasuklah alam sekitar, potret, urban dan macam-macam lagi.

MUHAMMAD FARIS DANIAL MOHD FAIZAL

Menurut Faris, dia mula meminati fotografi sejak berusia 16 tahun dan menjadikan ia sebagai hobi semata-mata.

Namun katanya, dia tidak menolak rezeki untuk berkecimpung dalam bidang itu secara serius suatu masa nanti.

Antara karya bidikan Faris.

"Saya buat sebagai hobi. Kebanyakan gambar pakai telefon. Tapi ada juga yang guna kamera DSLR.

"Mengenai jenis-jenis fotografi, saya tak ada limit, saya cuba semua termasuklah alam sekitar, potret, urban dan macam-macam lagi.

Kebanyakan foto dihasilkan menggunakan telefon pintar sahaja.

"Mula-mula dulu kawan yang ajar, dari situ saya belajar sendiri dan rujuk jurufoto-jurufoto lain.

"Dalam keluarga pula, hanya saya dan mak yang minat fotografi. Mak pernah masuk kelas fotografi sekitar 10 tahun lepas," ujarnya yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Rekaan Grafik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada Oktober depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain