suria

Perangai gila-gila ‘muncul’ masa majlis kahwin, pengantin comel selamba angkat abang tentera - “Tujuh tahun bercinta tapi putus...”

Pasangan mempelai ini menjadi 'popular' di media sosial selepas gambar pengantin perempuan mendukung suaminya tular sejak dua hari lalu.

BIASANYA kita melihat aksi pengantin lelaki yang memikul atau mendukung isterinya.

Namun berbeza dengan pasangan comel ini apabila pengantin perempuan pula yang melakukan aksi sebaliknya!

Menerusi gambar yang tular di media sosial, aksi berkenaan dirakamkan ketika sesi penggambaran (photoshoot) sempena hari bahagia pasangan berkenaan, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Gadis cari pakwe musim kuarantin selamat dari serangan tentera bawang Malaysia - “Kawan dah padam sebab dia segan”

ARTIKEL BERKAITAN: Turun 36kg! Gadis ini pernah digelar badak, dugong... tak sangka nak berkawan pun ramai pilih yang slim - “Saya cuba kurangkan nasi, hasilnya agak lambat”

Mengenakan persalinan rona krim dan putih, pasangan mempelai ini kelihatan cukup sporting melakukan aksi-aksi comel sehingga mengundang komen lucu daripada netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurasyidah Mokhtar berkata dia sendiri langsung tidak menyangka perkongsiannya menjadi perhatian malah tular dengan pantas di beberapa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.



Cinta yang disemai sejak di bangku sekolah menengah berakhir di jenjang pelamin.

"Pada mulanya saya berkongsi di Instagram dan Facebook saja. Kemudian kawan-kawan minta saya tetapkan mode 'public' sebab mereka nak share. Tak sangka viral sebegini rupa pula.

"Namun saya bersyukur kerana kebanyakannya memberikan komen yang positif malah mendoakan agar perkahwinan kami berkekalan hingga ke syurga," ujar wanita berusia 29 tahun ini.

Bercerita mengenai aksi berkenaan, wanita yang lebih senang disapa sebagai Syida ini berkata, ia dilakukan secara spontan selepas rakan-rakannya memberi cadangan.



Kesemua kenalan mengenali pasangan ini sebagai pasangan yang sekepala dan gila-gila.

"Kawan-kawan memang kenal saya dan suami, Mohamad Farid Alias sejak sekian lama... jadi tak ada pun perasaan segan ketika itu. Lagi pula jurugambar sporting, maka terjadilah posing berkenaan.

"Tak susah pun nak angkat suami sebab beratnya sekitar 53 kilogram saja. Mungkin tular sebab saya berbadan besar, tapi saya sebenarnya seorang yang aktif melakukan aktiviti outdoor seperti memanjat gunung dan sertai maraton.

"Selepas ini lebih seronok kerana ada suami yang teman. Dia juga aktif kerana seorang anggota tentera," kata anak sulung daripada lima adik beradik ini.

Di sebalik senyuman ceria yang terpancar di dalam setiap foto, Syida mendedahkan terlalu banyak onak dan ranjau yang ditempuhi sebelum mereka sah disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Saya teringat, arwah ibu sayang sangat dengan dia sebab hormat orang tua, ringan tulang dan pandai ambil hati. Masa ibu terlantar sakit dan koma beberapa tahun lalu, ibu saya ada sebut namanya.

NURASYIDAH MOKHTAR

PENGANTIN PEREMPUAN

"Kami berkenalan sejak di bangku sekolah menengah. Tujuh tahun bercinta, akhirnya hubungan putus di tengah jalan pada 2015. Empat tahun kemudian iaitu penghujung 2019, suami hubungi saya semula dan ajak bernikah.

"Kesungguhannya tu buatkan hati saya terbuka menerimanya. Lagi pula, saya teringat, arwah ibu sayang sangat dengan dia sebab hormat orang tua, ringan tulang dan pandai ambil hati. Masa ibu terlantar sakit dan koma beberapa tahun lalu, ibu saya ada sebut namanya.



Pasangan ini diijabkabulkan dalam sebuah majlis yang sederhana dan meriah.

"Itu juga salah satu sebab saya terbuka menerimanya. Walaupun arwah ibu tak sempat tengok kami disatukan, tapi saya tahu arwah gembira dengan keputusan ini," ceritanya.

Tambahnya, lima hari sebelum hari bahagianya berlangsung, bapa kesayangan pula dimasukkan ke hospital dan koma kerana komplikasi buah pinggang.

"Betapa gundahnya perasaan dalam pada rancak buat persiapan, ayah pula sakit. Berulang alik saya ke hospital. Setiap kali menziarahinya, saya akan bisikkan di telinga minta dia bangun dan kuat untuk kami.



Syida gembira dan bersyukur kerana bapanya dapat bersama-sama menyaksikan hari bahagianya.

"Alhamdulillah, ayah sedar selepas sehari koma dan dibenarkan keluar hospital dua hari sebelum majlis. Saya bersyukur sangat ayah ada di sisi untuk bersama-sama pada hari bahagia anak perempuan sulungnya," cerita Syida lagi.

Dalam pada itu, Syida turut menitipkan nasihat buat mereka yang juga mempunyai tubuh sepertinya agar tidak mudah berasa rendah diri atau kurang berkeyakinan.

"Usah rasa rendah diri... setiap insan ada kecantikan dan kelebihan tersendiri. Orang kata, mereka yang berbadan besar ni kelakar dan gila-gila. Itu juga salah satu perwatakan saya yang buatkan suami suka," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain