Kucing enggan beri kerjasama di majlis tunang tuannya, tetamu pelik tengok dulang hantaran - “Haru biru Bijibu tahu nak main je”

Majlis pertunangan Yusmadiella menjadi tular di media sosial gara-gara tunangnya menghadiahkan seekor kucing sebagai salah satu hantaran mereka.

MENJADIKAN si bulus sebagai salah satu barangan hantaran dalam majlis pertunangan atau pernikahan mungkin pernah dilakukan oleh beberapa pasangan sebelum ini.

Bagaimanapun, ia tetap dilihat sebagai sesuatu yang unik bagi sesetengah orang.

Namun perkara itu bukanlah penghalang buat pasangan Yusmadiella Yuz dan tunangnya, Abdul Qaiyum kerana kedua-duanya meminati haiwan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hantu ayam’ dapat KFC sebagai hantaran, baju bertunang tak sempat tukar terus ‘ngap’ 2 ketul paha

ARTIKEL BERKAITAN: “Hak saya diperkosa” - Bengang hantaran RM25,000 nak dibahagi 2 majlis, bakal pengantin nak tangguh nikah... biar pihak lelaki kumpul lagi RM10,000

Beberapa keping gambar si bulus berwarna kelabu gelap yang sedang berada di dalam dulang hantaran menjadi tular di media sosial dan mengundang perhatian netizen.

Sejak ia dikongsikan oleh Yusmadiella di Facebook, posting itu meraih lebih 800 shares selain dihujani komen netizen.



Kucing baka kacukan Parsi dan British Short Hair yang dijadikan salah satu hantaran daripada pihak lelaki.

Berkongsi cerita dengan mStar, Yusmadiella mendedahkan kucing kacukan Parsi dan British Shorthair tersebut adalah pemberian tunangnya kerana mengetahui dirinya suka memelihara si bulus.

"Memang plan dari awal dah sebenarnya. Memang dia nak bagi hantaran kucing tapi susah juga nak dapat. Seminggu sebelum majlis baru jumpa kucing yang dia nak bagi.

"Dari kecil lagi minat dengan kucing, tak tahu nak cakap macam mana. Kadang-kadang rasa macam ada satu chemistry yang kuat dengan kucing. Ia boleh buat kita happy dan hilangkan stres, pencinta kucing yang lain mesti faham apa yang saya maksudkan," cerita wanita berusia 24 tahun dari Sarawak ini.

Menamakan kucing istimewa itu sebagai Bijibu Ashley, Yusmadiella memberitahu setakat ini dia memiliki tiga ekor kucing kesemuanya.



Gelagat kucing ini yang tidak duduk diam mencetuskan situasi 'huru hara' ketika majlis pertunangan Yusmadiella.

Tambah wanita ini lagi, sebagai balasan, dia menghadiahkan set barang memancing kepada tunangnya itu.

"Sebenarnya kami berbalas hantaran berdasarkan minat masing-masning. Bakal suami minat memancing, dia bagi saya Bijibu, saya balas bagi mesin pancing Abu Garcia. Jadi di sini kami sama-sama menghormati minat masing-masing," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai majlis pertunangan yang berlangsung pada 2 Ogos lalu, Yusmadiella berkata berlaku insiden lucu kerana Bijibu tidak memberikan kerjasama yang baik.

Mujur tak lompat keluar... kalau lompat keluar rumah, mahu menangis tengok. Tapi pujian pada jurufoto sebab bertungkus lumus berusaha untuk ambil shot yang terbaik.

YUSMADIELLA YUZ

"Ia tak behave pun sebab asyik nak keluar dari dulang je. Mungkin dia rasa pelik sebab jadi tumpuan. Tetamu pun tengok macam pelik je hantaran bagi kucing kan, jarang tengok orang buat.

"Memang haru biru sebab Bijibu tahu nak main je. Tak nak duduk diam-diam satu tempat. Banyak shot yang jurugambar ambil, siap pakej dia keluar dari dulang lagi. Boleh pula dia buat tak tahu je.



Sebagai balasan, Yusmadiella menghadiahkan tunangnya mesin pancing sebagai menghargai minat pasangannya yang gemar memancing.

"Mujur tak lompat keluar... kalau lompat keluar rumah, mahu menangis tengok. Tapi pujian pada jurufoto sebab bertungkus lumus berusaha untuk ambil shot yang terbaik," ceritanya.

Tidak keberatan berkongsi cerita detik perkenalan bersama tunangnya, Yusmadiella mendedahkan mereka sebenarnya pernah menuntut di sekolah menengah yang sama di Sarawak.

"Tapi masa sekolah kami memang tak kenal dan tak berkawan langsung, sebab kelas lain-lain. Baru berkenalan awal tahun lepas.



Si bulus yang diberi nama Bijibu Ashley ini merupakan kucing ketiga yang dipelihara Yusmadiella.

"Cuma yang bestnya bila dia sebenarnya dah menyimpan hati sejak dari sekolah dulu lagi tapi baru sekarang berani nak luah. Tak lama lepas tu kami terus buat keputusan untuk bertunang.

"InsyaAllah majlis kahwin kami tahun depan nanti nak buat photoshoot sekali dengan si Bijibu Ashley," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik