suria

Kumpulan mat rempit kumpul duit sendiri tolong keluarga susah 'terlepas pandang' ketika PKP - “Kami tak kisah orang sangka buruk”

Pudin memberitahu YB Bedul (baju merah) yang merupakan salah seorang pelakon di dalam video arahan Syahmi Sazli turut menyertai aktiviti murni mereka.

"TIDAK mengapa masyarakat pandang kami jijik, reda Allah yang kami cari."

Begitulah kata-kata yang diungkapkan oleh Muhamad Ariffuddin Shukri, 26, ketika dihubungi mStar susulan tindakan dia dan rakan-rakannya memberi bantuan makanan kepada golongan kurang bernasib baik.

Lebih mesra disapa sebagai Pudin Cherang, dia bersama tiga kumpulan 'mat rempit' di sekitar Kota Bharu, Kelantan iaitu Team Prihatin KB, Team Isabella96 dan Team Belia Cherang Cakna telah mengeluarkan wang sendiri untuk membeli barang keperluan kepada mereka yang terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Mereka juga manusia! Ramai simpati warga asing terputus bekalan makanan - “Tanpa mereka siapa nak buat kerja-kerja berat”

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

"Jumaat lepas baru kami kumpul duit. Bermula Isnin lalu kami dah buat pengagihan makanan.

"Kami berjaya kumpul lebih dari RM5,000 tanpa bantuan pihak lain dan peruntukkan RM50 bagi setiap keluarga.

"Antara barangan keperluan yang diberikan adalah beras, gula, minyak masak, susu, sardin, tepung dan roti," ujar Pudin yang bekerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat bas ekspres.

Pudin dan rakan-rakannya berjaya mengumpul sejumlah RM5,000 untuk disumbangkan kepada keluarga asnaf.

Tambahnya lagi, sehingga kini sebanyak 100 buah keluarga telah menerima bantuan daripada mereka.

"Alhamdulillah, dalam tempoh dua hari sahaja kami berjaya agihkan kepada 100 keluarga.

"Kami faham pihak berwajib pada waktu ini sangat sibuk. Jadi kami agihkan makanan kepada keluarga yang 'terlepas pandang' di sekitar Cherang, Bayam, Tapang dan Berek 12," beritahu bapa kepada seorang anak itu.

Kami berjaya kumpul lebih dari RM5,000 tanpa bantuan pihak lain dan peruntukkan RM50 bagi setiap keluarga.

MUHAMAD ARIFFUDDIN SHUKRI

BELIA

Dalam pada itu, aktiviti murni tersebut mendapat perhatian orang awam dengan penglibatan YB Bedul atau nama sebenarnya, Nik Mohd Samsul Mat Yasin, 29, yang merupakan salah seorang pelakon dalam sebuah produksi arahan Syahmi Sazli.

"Saya kenal dia sebab sepupu saya merupakan suami kepada kakak YB Bedul.

"Walaupun dia ada masalah mental, dia tetap teruja untuk menyertai kami ketika sesi pengagihan makanan kepada orang yang kurang bernasib baik.

"Kami juga ada hulurkan kepada beberapa orang rakan sekolah YB Bedul," jelasnya lagi.

Perkongsian Pudin di Facebook mendapat perhatian netizen baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai persepsi masyarakat terhadap mat rempit seperti mereka, Pudin memberitahu mereka tidak peduli akan kata-kata negatif tersebut kerana orang awam tidak tahu perkara yang sebaliknya.

"Tak semua mat rempit tu jahat. Ada di antara kami sendiri pun dah berjaya sekarang. Kami sumbang balik kepada masyarakat dengan apa yang kami mampu.

"Ini bukan kali pertama kami membuat sumbangan, sebelum ini kami pernah bantu tiga beradik OKU di Tumpat, Kelantan pada hujung tahun lepas.

"Selain itu kami ada melakukan majlis iftar dan pemberian duit raya kepada anak yatim dan pelajar tahfiz," ujar Pudin yang memberitahu rakan-rakannya lebih selesa membuat kebaikan tanpa pengetahuan orang lain.

Pudin dan rakan-rakannya tidak kisah dipandang serong masyarakat kerana orang awam tidak tahu apa yang mereka lakukan di sebaliknya.

Posting Pudin di Facebook sehingga kini telah mendapat 643 tanda suka daripada netizen yang rata-rata memuji tindakan murni tersebut.

"Terima kasih banyak kerana ada sokmo (selalu) di saat orang lain memerlukan bantuan," tulis seorang pengguna Facebook.

"Terbaik anak muda, semoga Allah permudahkan urusan awak dan rakan-rakan," tambah netizen lain.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
mat rempit, PKP, sumbangan

Artikel Lain