suria

Hampir setahun jual barang di eBay, macam-macam order dapat... paling win ramai di Finland nak ubat nyamuk! - “Pernah terfikir, banyak sangat ke nyamuk di sana?”

Ubat nyamuk merupakan antara barang yang mendapat permintaan paling tinggi sejak Adilah berkecimpung sebagai peniaga dalam talian menerusi platform eBay.

SIAPA sangka, keropok ‘Super Ring’ merupakan antara barang yang mendapat permintaan tinggi daripada rakyat di luar negara!

Bunyinya seperti lucu, tapi itulah hakikatnya.

Perkara itu didedahkan oleh seorang peniaga dalam talian (online) yang berjualan barangan menerusi platform eBay.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak tak habis jual perfume tidur di kaki lima, takut bapa marah... pensyarah bongkar kisah sebenar - “Saya ada tiga pilihan saja malam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Cara dia cakap buat saya hilang kata-kata” - Ramai kagum tengok peniaga cilik bagi free gift doa... rare dan tak fake!

Wanita bernama Rabiatul Adilah Ibrahim ini berkata makanan ringan tersebut secara tiba-tiba mendapat permintaan tinggi daripada pembeli di luar negara sejak minggu lalu.

“Sejak menjalankan perniagaan menerusi platform eBay hampir setahun lalu, saya dapat permintaan daripada rakyat luar negara khususnya Amerika Syarikat untuk membeli barang yang langsung tak terfikir dek akal.

“Contohnya, paling terbaharu, saya dapat permintaan tinggi untuk jajan Super Ring. Pelik juga sebenarnya.

“Permintaan itu memang banyak datang dari Amerika Syarikat sebab saya jual di eBay. Bayangkan, jajan yang berharga RM 1.60 di sini mampu dijual sehingga mencecah AS$12 dolar di sana,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Adilah.

Keropok Super Ring mendapat permintaan tinggi daripada pembeli dari luar negara. 

Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalamannya sebagai peniaga dalam talian itu, surirumah yang juga ibu kepada tiga anak ini berkata dia pernah menerima permintaan daripada warga negara Uncle Sam itu yang mahu membeli daun pandan.

“Pada mulanya ingat ada orang Malaysia yang tinggal di sana nak beli daun pandan sebab nak buat nasi lemak.

“Tapi bila lihat namanya, rupa-rupanya mat salih pula. Tapi tak hairanlah sebab daun pandan baunya wangi. Saya fikir mereka mungkin membelinya untuk dibuat pot pouri atau di sini kita panggil bunga rampai.

“Mungkin juga digunakan dalam masakan. Cuma kini saya sudah tidak menjual daun pandan sebab ia rupa-rupanya termasuk dalam kategori life plant yang dilarang untuk dijual. Selepas tahu, memang tak jual dah,” kata wanita berusia 40 tahun ini lagi. 

Pernah satu ketika, saya dapat permintaan untuk ubat nyamuk yang berbentuk kepingan itu sehingga 24 bungkusan dalam masa dua hingga tiga hari. Dan permintaan itu datang dari Finland. Dalam kepala terlintas ‘banyak sangat ke nyamuk dekat sana’.

RABIATUL ADILAH IBRAHIM

PENIAGA ONLINE EBAY

Bukan sahaja daun pandan dan Super Ring, dedah Adilah, dia juga pernah mendapat permintaan yang tinggi untuk ubat nyamuk!

“Pernah satu ketika, saya dapat permintaan untuk ubat nyamuk yang berbentuk kepingan itu sehingga 24 bungkusan dalam masa dua hingga tiga hari.

“Dan permintaan itu datang dari Finland. Dalam kepala terlintas ‘banyak sangat ke nyamuk dekat sana’. Itulah antara barang unik yang pernah saya jual,” ujarnya sambil berkata, permintaan terhadap petai dan tempe juga tidak kurang hebatnya.

Adilah sudah setahun berkecimpung sebagai peniaga dalam talian menerusi platform eBay.

Menceritakan secara ringkas bagaimana dia mula berkecimpung dalam perniagaan di platform tersebut, ujar Adilah, segala-galanya bermula selepas dia melihat rakan-rakannya mampu menjana pendapatan yang tidak kurang lumayannya.

“Bila lihat kawan-kawan yang mampu jana pendapatan sehingga empat angka, saya teringin nak cuba. Sebelum ini saya hanya suri rumah dan ada juga menjalankan perniagaan menerusi Facebook.

Adilah bersama tiga cahaya matanya.

“Selepas itu, saya belajar menerusi e-book. Alhamdulillah bila dah hampir setahun terlibat, memang kalau setakat empat angka tu kita boleh dapat.

“Kini saya juga ada jual e-book untuk sesiapa yang nak belajar meniaga di eBay dan ada juga buat bengkel. Kalau boleh, saya mahu kongsikan dengan orang ramai agar sama-sama dapat menjana pendapatan.

“Tapi apa-apapun, ia perlulah diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan konsisten,” ujarnya mengakhiri bicara.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
eBay, Super RIng, ubat nyamuk

Artikel Berkaitan

Artikel Lain