suria

Mak ayah selalu sangat layan lagu rock kapak, anak umur 12 tahun ‘terjebak’... ramai terpegun suaranya sebiji macam Mamat Exist!

Video Shazreeq menyanyi lagu Rahsia Pohon Cemara oleh kumpulan Exist menjadi tular di Twitter gara-gara menyerupai suara Mamat, penyanyi asal kumpulan tersebut.

“SUARA dia dengan Mamat Exist sama gila!”

Demikian antara komen netizen terhadap sebuah video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki menyanyikan lagu bertajuk Rahsia Pohon Cemara dendangan kumpulan yang terkenal pada era 90-an itu.

Video yang dikongsikan oleh seorang pelayar Twitter, Reafatihah itu menjadi tular di laman sosial, yang mana sehingga kini meraih 8,400 retweet dan 11,100 like.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minat jadi guru dan penyanyi” - Tak sia-sia cikgu cuba nasib, sekali tunjuk bakat terpendam terus dapat banyak pujian

ARTIKEL BERKAITAN: Budak baik dalam kelas buat cikgu terkejut... tuu dia MK cilik tunjuk bakat terpendam! - “Atas pentas terus nampak lain”

Ia turut dibanjiri dengan komen-komen netizen yang rata-ratanya kagum dengan suara kanak-kanak tersebut yang disifatkan hampir sama dengan penyanyi kumpulan berkenaan, Mamat.

Berkongsi cerita bersama mStar, ibu kepada kanak-kanak tersebut, Azila Sahari berkata anaknya, Muhammad Shazreeq Mohd Shafeaq sememangnya gemar menyanyi terutamanya ketika meluangkan masa bersama-sama keluarga.

Shazreeq (dua, kanan) ketika dipilih mewakili sekolahnya pada pertandingan Talented Malaysia, tahun lalu. 

“Sebagaimana video yang tular itu, kami ketika itu sedang bercuti bersama keluarga sebelah suami saya di Bukit Fraser. Kiranya masa itu aktiviti santai sambil  berkaraoke di homestay.

“Dia pilih-pilih lagu daripada senarai untuk tengok lagu apa yang dia boleh ‘bawa’. Kebetulan lagu Exist ada, dia pilih untuk menyanyikan lagu tersebut. Sememangnya Shazreeq lebih cenderung meminati lagu-lagu lama berbanding lagu masa kini.

“Mungkin sebab pengaruh saya dan suami agaknya kerana kami memang menggemari lagu-lagu lama. Saya suka dengar radio Suria.Fm terutama segmen DJ Lin sebab lagu-lagunya semua sedap. Suami pula suka dengar kumpulan Scorpion dan kumpulan lama lain.

Salah satu daripada sijil yang diterima Shazreeq ketika menyertai pertandingan nyanyian. 

“Kalau dalam perjalanan ke kampung, memang lagu-lagu lama saja dimainkan di dalam kereta. Mungkin itu sebabnya dia pun 'terjebak' suka dengar lagu-lagu rock jiwang, tangkap leleh ni,” ujar suri rumah itu sambil ketawa kecil.

Tambah Azila, bakat menyanyi anak ketiganya itu mula dikesan sewaktu dia berada di Tahun Empat.

Kalau dalam perjalanan ke kampung, memang lagu-lagu lama saja dimainkan di dalam kereta. Mungkin itu sebabnya dia pun 'terjebak' suka dengar lagu-lagu rock jiwang, tangkap leleh ni.

AZILA SAHARI

IBU

“Ketika itu dia sering masuk pertandingan nasyid, pertandingan kompang. Bermula dari situ bakatnya dikesan. Pada tahun lalu ketika dia Tahun Lima, guru memilihnya sebagai wakil sekolah ke pertandingan Talented Malaysia bertempat di Putrajaya.

“Ketika itu dia membawakan lagu bertajuk ‘Bunga’ nyanyian Ara Johari, lagu yang dipilih oleh gurunya. Mungkin guru dia tahu dia boleh ‘tarik’ dan bawakan lagu tinggi. Ada beberapa kali juga dia wakili sekolah ke pertandingan bakat di peringkat kebangsaan. Alhamdulillah, dia berjaya dapat tiga pingat perak dan gangsa,” ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Sering kali menyertai pertandingan nyanyian, Azila mendedahkan anak ketiganya itu mempunyai cara tersendiri untuk menjaga suaranya.

Shazreeq (duduk, kanan) mewarisi bakat menyanyi daripada datuk dan bapa saudaranya.

“Jika kanak-kanak sebayanya suka air bergas dan air manis, Shazreeq pula lebih suka minum air suam. Mungkin secara tak langsung ia menjadi petua bagaimana nak buat suara maintain.

“Tambahan pula dekat rumah, memang tak pernah simpan air sejuk dalam peti ais pun. Mungkin juga sebab itu dia terbiasa minum air suam,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Azila berkata, bakat Shazreeq itu mungkin diwarisi daripada bapa dan abangnya.

Antara komen netizen yang mengkagumi bakat Shazreeq.

“Saya dan suami tak berbakat menyanyi pun. Mungkin darah ‘seni’ itu diwarisi daripada datuk dan pakciknya. Datuknya iaitu ayah saya sebelum ini aktif dalam band askar, manakala abang saya memang sering menyanyi juga.

“Shazreeq nampak agak berminat dalam bidang nyanyian tapi saya sebenarnya tidak berapa menggalakkan dia menceburi bidang seni. Perancangan untuk mengetengahkan bakatnya, saya tak berani cakap lagi buat masa ini.

“Tambahan pula tahun ini dia bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), jadi saya mahu dia fokus untuk UPSR dulu. Apa-apa pun, pelajaran perlu diutamakan,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Exist, rock, jiwang, pertandingan, menyanyi, bakat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain