Pemandu Hilux langgar cikgu dicari, janji nak bertanggungjawab tapi ‘ghaib’ tengok mangsa tak sedarkan diri - “Dia kata nak cari parking” - Viral | mStar

Pemandu Hilux langgar cikgu dicari, janji nak bertanggungjawab tapi ‘ghaib’ tengok mangsa tak sedarkan diri - “Dia kata nak cari parking”

Keadaan kaki kiri mangsa selepas menjalani pembedahan.

ANAK mana yang sanggup melihat bapanya menderita sakit atau ditimpa masalah!

Melihat luka dan wajah sayu seorang insan bergelar bapa menahan kesakitan atas kesalahan orang lain adalah satu tamparan hebat buat gadis berusia 23 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiba-tiba badan terasa melayang” - Pelajar kesal pemandu tak bertanggungjawab, selepas langgar terus pecut!

Mana tidaknya, sudahlah dia dilanggar, kemudian ditinggalkan pula di hospital bersendirian dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh lelaki yang melanggarnya dengan alasan 'mahu cari parking' tetapi akhirnya lesap.

Azmi dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZKT) bagi menerima rawatan. 

Inilah yang perlu dihadapi Afiqa Basyirah Azmi, apabila bapanya yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Abidin Ladang, Terengganu dilanggar oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab.

Dikenali sebagai Afiqa, dia menjelaskan kejadian berlaku semasa waktu rehat persekolahan yang mana ayahnya keluar sebentar untuk membeli barang.

"Masa itu waktu rehat budak sekolah, ayah seorang cikgu. Ayah keluar sekejap untuk beli barang, naik motor sampai saja kat satu simpang di Gong Pauh, lampu isyarat bertukar hijau. Jadi ayah pun buat u-turn, tiba-tiba datang satu kereta jenis Hilux rempuh ayah," katanya ketika dihubungi mStar.

Jelas Afiqa lagi, kejadian berlaku pada Isnin kira-kira jam 10 pagi di laluan dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu.

"Lepas sahaja ayah jatuh, ayah cepat-cepat bangun pergi ke bahu jalan walaupun pada masa tu dia dalam keadaan teruk... dia nak elakkan diri daripada dilanggar oleh kenderaan lain," kata Afiqa.

Keadaan motosikal, baju serta kasut yang dipakai oleh mangsa pada hari kejadian.

Menurutnya lagi, selain keadaan motosikal bapanya yang rosak teruk, bahagian hadapan kereta Hilux tersebut turut remuk.

Apa yang membuatkannya lebih terkilan adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh pemandu Hilux berkenaan selepas meninggalkan bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri bersendirian di hospital.

"Lepas sahaja pemandu kereta itu langgar ayah, dia cakap dia nak bertanggungjawab dan ayah masa tu setuju saja, tak cakap banyak dengan sakit yang dia tanggung lagi. Jadi pemandu tu papah ayah bawa ke keretanya dan kemudian hantar ayah ke hospital.

"Tapi sampai sahaja di hospital, pemandu itu tinggalkan ayah yang sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum doktor datang tolak ayah ke bilik kecemasan. Dia cakap, 'sekejap lagi saya datang semula sebab nak pergi cari parking'. Tetapi sudahnya sampai hari ini langsung tak nampak muka lelaki itu," kongsi Afiqa.

Tambah anak ketiga daripada enam orang adik beradik ini, bapanya mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZKT)  dan mengalami patah di bahagian kaki kiri iaitu tulang keting dan tumit serta patah di bahagian rusuk kiri selain luka-luka ringan.

Saya tak boleh kawal perasaan. Ayah genggam tangan saya kuat sambil cakap, 'abah sakit, Iqa'. Terus laju saja air mata ni mengalir. Maafkan saya abah, saya bukanlah seorang gadis yang kuat.

AFIQA BASYIRAH AZMI

ANAK

Kata gadis ini, dia dan keluarganya turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut pada malam kejadian di Balai Polis Trafik Kuala Terengganu.

"Kami ada buat laporan polis, tapi sekadar laporan makluman sahaja bukan untuk laporan langgar lari sebab ayah tak tahu nombor pendaftaran kereta Hilux tersebut. Sebabnya, pemandu itu cakap dia nak bertanggungjawab, jadi ayah pun tak ambil nombor pendaftaran kereta itu. Ayah pun tak sangka lelaki itu akan tinggal ayah macam tu saja di hospital," katanya.

Posting yang dimuatnaik oleh Afiqa serta foto bersama ibu dan ayahnya.

Susulan itu, Afiqa memuatnaik satu posting di akaun Twitter miliknya pada Selasa bagi memohon bantuan orang ramai dalam usaha mencari saksi kejadian.

Dengan kapsyen,'Tolong saya sebarkan ini! Sesiapa yang ada lalu jalan dari Kuala Berang menghala ke Bandar Kuala Terengganu, Isnin (18 November) jam 9 hingga 10 pagi yang ternampak atau saksi kejadian kereta Hilux langgar motor di traffic light Gong Pauh. Tolong hubungi saya. Saya perlukan bantuan anda.'

Selain itu, Afiqa turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia dan keluarganya hanya mahukan wang semata-mata.

"Bukan niat kami sekeluarga mahukan duit. Kami cuma mahukan keadilan, pemandu itu sendiri cakap dia nak bertanggungjawab. Tapi kenapa dia tinggalkan ayah macam itu sahaja di hospital. Cakap nak pergi cari parking tapi ini sampai berapa hari dah langsung tak nampak batang hidung.

"Kami sekeluarga kecewa dan sedih sebab dia buat macam tu. Saya cuma minta sesiapa yang ada di tempat kejadian atau terlihat apa yang berlaku, tolonglah hubungi saya. Kami hanya mahu berjumpa dengan lelaki itu sahaja, bukan nak pukul atau apa-apakan. Sebab dia cakap nak bertanggungjawab dengan keadaan motor dan barang-barang ayah dibiarkan berteraburan atas jalan macam itu saja," luahnya.

Komen daripada netizen menerusi posting yang dimuatnaiknya.

Namun sehingga kini, Afiqa berkata tiada seorang pun individu atau saksi menghubunginya bagi memaklumkan maklumat berhubung kemalangan yang menimpa ayahnya.

Kata gadis ini lagi, bapanya turut memberitahu bahawa beberapa keping wang RM50 yang ada di poket seluarnya hilang ketika kejadian dan yang tinggal hanyalah  wang tunai sebanyak RM30 yang disimpan di poket baju.

Bagaimanapun, gadis ini bersyukur kerana bapanya selamat menjalani pembedahan di bahagian kaki kirinya pada Selasa.

"Alhamdulillah lima jam pembedahan masukkan besi di bahagian kaki kiri ayah berjalan dengan lancar. Saya tak boleh kawal perasaan. Ayah genggam tangan saya kuat sambil cakap, 'abah sakit, Iqa'. Terus laju saja air mata ni mengalir. Maafkan saya abah, saya bukanlah seorang gadis yang kuat," luahnya dengan sebak.

ayah , dilanggar , kereta

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain