Dipaksa rela main biola ubah hidup 3 beradik, harumkan nama negara - “Semua atas pesawat sangat sporting dengar kami main biola” - Viral | mStar

Dipaksa rela main biola ubah hidup 3 beradik, harumkan nama negara - “Semua atas pesawat sangat sporting dengar kami main biola”

Pasukan orkestra negara menyertai festival di Jakarta pada Ahad lalu.

SIAPA sangka bermula dengan 'paksaan' ayahnya supaya belajar bermain biola pada usia lima tahun telah menghasilkan sesuatu bermakna kepada tiga beradik ini.

Menurut Balqis Zairul Nizam, ibu bapanya, Zairul Nizam Abd Rahman dan Norsila Ahmad mahu semua anak mereka tahu bermain alat muzik itu.

Kata gadis yang kini berusia 23 tahun itu, langkah yang diambil oleh ayahnya membuahkan hasil apabila dia berjaya bergelar graduan seni muzik.

ARTIKEL BERKAITAN: Orkestra Jazz RTM Wakil Negara ke 'JakJazz'

ARTIKEL BERKAITAN: 11 Artis Popular Di Konsert Panggung Anniversari

Malahan, lebih bermakna apabila ada sesuatu yang telah mereka ciptakan bagi membantu orang lain bermain muzik.

"Seawal usia lima tahun, kami adik beradik memang disuruh secara paksa rela oleh ayah untuk bermain biola. Ayah memang meminati muzik dan impiannya untuk menjadi ahli muzik tidak tercapai, jadi dia serahkan kepada kami untuk meneruskan hasratnya.

Balqis bersama ibunya, Norsila merangkap pengurus pasukan serta abang dan adiknya (kanan).

"Saya, abang dan adik memang mempunyai minat yang sama, malah saya baru menamatkan pengajian dalam bidang muzik di UiTM.

"Bakat yang kami ada ini tidak terhad untuk diri sendiri dan pada 2012, kami menubuhkan sebuah kelab khas untuk orang yang berminat bermain biola yang dinamakan Persatuan Orkestra Darul Ta’zim," kongsinya kepada mStar.

Menurut Balqis, sejak persatuan ditubuhkan sehingga kini terdapat lebih kurang 35 pemain biola yang aktif.

"Persatuan ini terbuka kepada semua yang berminat, tidak kira usia. Kami mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 manakala seterusnya hanya RM20 sebulan.

"Mengenai latihan, kami semua akan berkumpul setiap Jumaat di studio milik kami di JB. Mereka bawa alat muzik sendiri manakala untuk 'stand' kami kumpul wang membelinya.

Setakat ini kami menampung perbelanjaan persatuan hasil  mengumpul duit ahli. Ada juga orang perseorangan yang tampil memberi sumbangan.

Balqis Zairul Nizam

Pengasas Bersama Persatuan Orkestra Darul Ta'zim

"Setakat ini kami menampung perbelanjaan persatuan hasil  mengumpul duit ahli. Ada juga orang perseorangan yang tampil memberi sumbangan.

"Saya percaya ramai yang berbakat bermain biola, cuma ada sesetengah mereka tidak tahu platform untuk mengetengahkan bakat masing-masing," jelasnya.

Jelas Balqis, abang dan adiknya, Hakim Naimullah serta Naqib Naimullah juga graduan jurusan muzik sepertinya.

"Kami adik beradik bekerjasama berkongsi ilmu dengan yang lain. Malah ada juga ahli persatuan yang lain masih belajar di universiti dalam bidang sama.

"Apa yang membanggakan saya, ilmu yang mereka pelajari itu akan dikongsi dalam persatuan ini.

"Saya nampak peluang untuk memartabatkan muzik biola ini ke peringkat lebih tinggi terbuka luas.

"Tahun lalu saya menjalani latihan amali di Jakarta sebagai sukarelawan dalam sebuah Orchestra and Ensemble Festival dan tahun ini pula kami ke sana sebagai peserta mewakil Malaysia dalam festival sama  dianggotai 21 orang.

"Alhamdullilah kami dapat pingat gangsa. Ia sesuatu yang membanggakan kerana pertama kali menyertai pertunjukkan di luar negara," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Balqis turut berkongsi rakaman video pasukannya bermain biola dalam sebuah pesawat sebelum terbang ke Jakarta, Jumaat lalu.

Naqib (adik Balqis) berkongsi rakaman di laman Twitter dan mendapat lebih 7,000 ulang kicau.


"Kabin krew AirAsia ada tanya kami dari mana. Mereka 'offer' kami buat persembahan sebelum berlepas.

"Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, kami semua setuju dan teruja apabila pembantu pesawat itu membuat pengumuman tersebut.

"Semua orang dalam pesawat sangat 'sporting'. Ia satu penghargaan besar buat kami semua," katanya.

Biola , 3 beradik , Johor

Artikel Lain