suria

Sanggup pijak al-Quran bersumpah telah bersetubuh, suspek dalam video tular direman 3 hari

Tangkapan skrin video menunjukkan seorang remaja perempuan bertindak memijak al-Quran bersumpah mengaku telah bersetubuh.

SEKUMPULAN remaja perempuan yang terbabit dalam video tular, yang mana salah seorangnya memijak senaskhah al-Quran kerana mahu membuktikan dirinya telah melakukan persetubuhan, direman tiga hari.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim yang mengesahkan perkara itu berlaku di Tanah Merah di negeri itu memberitahu, empat suspek remaja perempuan ditahan antara Khamis malam dan awal pagi Jumaat.

Menurutnya, kesemua suspek termasuk yang merakamkan video tersebut berumur 17 tahun.

“Penahanan dibuat berdasarkan aduan kakak kepada salah seorang suspek. Polis menahan empat remaja berkenaan antara pukul 11.30 malam hingga 2.30 pagi tadi.

“Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 21 Julai,” katanya kepada mStar pada Jumaat.

Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 255 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan agama.

Dalam pada itu, beliau turut berterima di atas keprihatinan masyarakat berhubung insiden menerusi video yang tular itu.

Media sosial sejak Khamis digemparkan dengan penularan video yang menunjukkan seorang remaja perempuan bertindak melampau apabila sanggup memijak dipercayai senaskhah al-Quran, kerana mahu membuktikan dirinya telah melakukan persetubuhan.

Menerusi video berdurasi tiga minit dan 13 saat itu menunjukkan remaja perempuan tersebut seperti mengangkat sumpah di hadapan seorang lagi rakan perempuannya. 

Semua remaja berkenaan bertutur dalam dialek Kelantan dalam kejadian itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain