suria

“Mampu atau tak bergantung juga kalau dia nak kahwin dengan lelaki tu” - Tokoh Imam gigih 'tayang' trofi, pingat sindir gadis demand hantaran 15K

Muhammad Farhan (kiri) membuat parodi mengenai video wang hantaran paling kurang RM15,000. Foto instagram farhanmzln

KECOH kontroversi klip video seorang gadis yang mulanya tidak kisah berapa jumlah wang hantaran daripada pihak lelaki, selagi mereka mampu sebelum menarik perhatian ramai apabila menukar kenyataannya.

Tindakan gadis itu yang kemudiannya mengubah pendirian apabila mahu jumlah wang hantaran itu dinilai berdasarkan tahap pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dimiliknya dan meletakkan RM15,000 sebagai jumlah paling rendah telah menarik perhatian ramai.

Tambah menarik lagi, pendirian flip flop graduan ini memberi idea hingga muncul video parodi.

"Masa diploma dulu I ada dua pencapaian anugerah jabatan. Jadi, setiap satu pencapaian ni RM1,000. Bila tambah, jadi 2,000 lah," katanya termasuk beberapa anugerah terbaik lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini dikecam gara-gara cakap tak serupa bikin, “Ikut lelaki mampu, tapi I ada degree paling kurang RM15,000”

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

Dia kemudian menunjukkan dua lagi trofi berupa anugerah terbaik dengan 'nilai' berjumlah RM4,000 sebelum memaklumkan dirinya juga dinobatkan sebagai 'Tokoh Imam'.

Perkongsian video parodi wang hantaran diulang kicau lebih 36,000 kali.

"Tak cukup dengan yang itu, saya juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Imam. Jadi, Tokoh Imam ni yang paling mahallah, dalam RM5,000 lagi tambah dekat situ.

"Anugerah Tokoh Pelajar ni paling susah nak dapat, jadi I 'demand' dalam RM7,000 lah dekat sini," katanya yang kemudian membuat pengiraan sebagai penambahan kepada wang hantaran RM15,000 berdasarkan taraf pendidikan Ijazah Sarjana Muda.

Kurang tiga jam video parodi wang hantaran RM15,000 itu dimuat naik di laman sosial Twitter miliknya @farhanmzln, pemuda tersebut berkongsi video dirinya menerima anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang Ijazah Sarjana Muda Filem di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor.

Muhammad Farhan memegang trofi Tokoh Imam yang diterimanya pada 2006. Foto ihsan Muhammad Farhan Mazlan

Pemuda berkenaan, Muhammad Farhan Mazlan berkata, video parodi wang hantaran itu berbaur sindiran, tetapi ia sarat dengan mesej sebagai kesedaran kepada masyarakat.

Anak muda berusia 25 tahun itu berkata, wang hantaran tidak seharusnya menjadi pertikaian bakal pengantin perempuan kerana perkara itu adalah perbincangan antara kedua pihak keluarga lelaki dan perempuan.

"Perempuan tidak seharusnya nak demand pasal jumlah wang hantaran sebab itu adalah perbincangan dan persetujuan kedua-dua keluarga. Kalau dia yang tetapkan, itu lebih kepada untuk kepentingan diri sendiri.

"Kalau nak diikutkan, wang hantaran tersebut lebih kepada untuk kegunaan kedua-dua pengantin, sama ada untuk menampung kos majlis perkahwinan atau perbelanjaan buat pasangan pengantin selepas berkahwin, bukannya pengantin perempuan seorang," kata pengarah sebuah produksi itu kepada mStar.

Bersama anugerah tokoh pelajar yang diterima pada 2018.

Walaupun video parodi, Muhammad Farhan mendedahkan bahawa setiap butiran pencapaian yang dinyatakan dalam klip berdurasi seminit itu adalah benar dan kesemua pingat dan trofi yang dipaparkan adalah miliknya.

Jika dia ubah pendirian kata jumlah wang hantaran ditetapkan oleh tahap pendidikan, mungkin dia boleh tambah lagi nilainya berdasarkan pencapaiannya sepanjang tempoh dia belajar sampai dapat degree.

MUHAMMAD FARHAN

Anak jati Kuala Lumpur itu turut memberitahu bahawa video susulan anugerah tokoh pelajar cemerlang tersebut sebenarnya diterimanya pada majlis anugerah Fakulti Filem, Teater dan Animasi pada akhir tahun lalu, yang dikongsikan susulan video parodi wang hantaran.

"Ramai netizen ingat saya main-main buat parodi tu, terutama kalkulator yang saya gunakan untuk membuat pengiraan menggunakan alat kawalan penyaman udara. 

"Jadi, mereka ingat semua yang saya kata dan tunjuk dalam video parodi tu sekadar gurauan. Tapi tidak, semua pingat, trofi dan anugerah tu saya dapat," tambahnya.

Antara pencapaian yang diterima oleh Muhammad Farhan semasa belajar di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis.

Untuk rekod berdasarkan video parodi wang hantaran itu, Muhammad Farhan menerima Anugerah Ketua Jabatan, Diploma Video dan Filem, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual dan anugerah kecemerlangan di jabatan yang sama di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis, kedua-duanya pada 2015.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga penerima Anugerah Pengarah Terbaik Anugerah Sinematografi Terbaik, Diploma Video dan Filem di politeknik tersebut pada 2015.

Mengenai anugerah Tokoh Imam, Muhammad Farhan berkata, pengiktirafan itu diterimanya semasa belajar di Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Kuala Lumpur pada 2006.

Video parodi tersebut bukan untuk bersikap meninggi diri tetapi mahu menyampaikan mesej mengenai wang hantaran.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa paparan pencapaiannya di dalam video parodi tersebut bukan untuk menunjuk-nunjuk atau bersikap meninggi diri dengan kejayaannya, tetapi lebih kepada mahu menyampaikan mesej mengenai wang hantaran.

"Jika dia ubah pendirian kata jumlah wang hantaran ditetapkan oleh tahap pendidikan, mungkin dia boleh tambah lagi nilainya berdasarkan pencapaiannya sepanjang tempoh dia belajar sampai dapat degree.

"Dia juga boleh tambah lagi kalau ada kepakaran untuk menjadi seorang isteri seperti memasak, mengemas rumah dan basuh baju. Mampu atau tak, terpulang kepada pihak keluarga lelaki dan untuk belah perempuan pula bergantung juga kalau dia (pengantin) memang nak kahwin dengan lelaki tu," ujarnya yang meletakkan pengarah filem antarabangsa, Tim Burton sebagai idolanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain