suria

"Kita tak pernah buat derma kilat nak pergi konsert" - Peminat K-pop bengang dicop bodoh, tayang 'result' cemerlang

Paparan skrin Tweet seorang individu yang menghina peminat K-pop menerusi laman Twitter.

BERANG digelar bodoh, seorang peminat muzik K-pop tampil memuat naik keputusan peperiksaannya di laman Twitter sehingga tular dan menarik perhatian ramai.

Menerusi tweet pada Ahad, Nur Azwani, 23, memuat naik keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas terkesan dengan satu kenyataan yang berkata 'Orang bodoh je pergi konsert K-pop."

Dia yang mengagumi kumpulan Twice berkata, semua individu memiliki minat tersendiri dan ia seharusnya tidak dipandang rendah oleh mana-mana pihak.

Wani memuat naik keputusan PMR dan SPM miliknya selepas ada individu yang menghina peminat K-pop.

"Tak semestinya orang pergi konsert itu bodoh, orang yang tak pergi konsert pun ada yang bodoh.

"Saya memang terasa sebab pernah pergi konsert, kesian pada orang tak bersalah apabila dihina dan digelar dengan panggilan sebegitu.

"Ramai pula yang menyokong kenyataan tersebut, kebanyakannya orang Melayu yang kecam. Saya rasa marah kenapa mereka pertikai, rasa sedih pun ada," ujar Wani sewaktu dihubungi mStar Online pada Khamis.

Dia yang bekerja dalam sektor bio-kimia itu berkata, wujud juga segelintir individu yang bertindak melampau sehingga melemparkan kata-kata hinaan terhadap rupa paras dan fizikal peminat muzik K-pop.

Jelasnya, dia sendiri tertanya-tanya mengapa peminat K-pop sering menjadi sasaran dan seolah-olah genre muzik itu sesuatu yang menjijikkan.

Slip PMR yang mencatatkan keputusan 8A dan keputusan SPM 7A milik Wani.

"Sedih, orang minat K-pop ni macam komuniti tersembunyi. Kalau kita minat secara terbuka, orang akan kecam.

"Malah ada yang kata peminat K-pop ni kebanyakannya hitam, gemuk, hodoh, tak ada teman lelaki, sendu dan sebagainya.

"Memang saya akui ada segelintir peminat yang obses dan bertindak melampau, tetapi tak patut kalau nak salahkan semua sedangkan golongan profesional pun minat juga," katanya lagi.

Mengulas soal pembaziran wang gara-gara membeli tiket konsert K-pop, Wani berpendapat perkara itu tidak wajar dipertikai kerana ia melibatkan harta peribadi namun mengakui meminati K-Pop adalah hobi yang mahal.

Jelasnya, ia merupakan pilihan individu dan dia sendiri sanggup bekerja keras mengumpul wang untuk demi memenuhi minat terhadap muzik berkenaan.

Paparan skrin Tweet seorang individu yang menimbulkan kemarahan peminat K-pop.

"Kita tak pernah minta duit sesiapa, tak pernah buat derma kilat. Itu duit masing-masing untuk berbelanja. Biasanya yang mahal tiket konsert sahaja.

"Orang nampak hal itu, sedangkan kita pun ada beri duit pada keluarga, bersedekah, tetapi perkara itu kita tak tunjuk pada orang.

"Sama juga dengan orang lain yang minat mekap, minat motor, kumpul koleksi topi keledar dan sebaginya, kenapa K-pop orang anggap jijik?," soalnya lagi.

Wani yang mula meminati K-pop pada 2011 pernah berkunjung ke Bangkok pada Ogos tahun lalu untuk menyaksikan konsert kumpulan Twice.

Enggan mendedahkan wajahnya, Wani pernah berswafoto dengan ibu-bapa kepada salah seorang anggota Twice sewaktu konsert pada tahun lalu.

Pada tahun ini, dia sekali lagi akan terbang ke Korea Selatan untuk menyaksikan konsert kumpulan itu sambil melancong dengan anggaran kos sekitar RM5,000.

Dalam pada itu, tweet yang dimuat naik oleh Wani pada Ahad menerima hampir 1,000 ulang kicau (Retweet).

Selain peminat K-pop lain yang menyokong Wani, tweet tersebut turut dibanjiri dengan komen netizen yang mempertikaikannya.

"Kalau pergi konsert terus dapat kerja sebagai CEO takpelah jugak nak berlagak dengan result pon," tulis @patrickajjam.

"Saya pun sanggup habis beratus sebab nak pergi tengok team favourite bola main kat stadium. Cuma jangan di layan negativity orang, boleh melarat," tulis @HarryKook pula.

Selain Twice, Wanie turut meminati kumpulan Izone, Blackpink, Red Velvet, Gfriend, Loona, Bts, Got7 dan Monsta x.

Lebih manis, Wani turut berpeluang mengambil swafoto bersama ibu-bapa Mina, salah seorang anggota Twice sewaktu berkunjung ke konsert mereka tahun lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nur Azwani, K-pop, Twice, BTS, Blackpink

Artikel Lain