Ingatkan pedal ayam, rupanya anak tikus masak kicap! - Viral | mStar

Ingatkan pedal ayam, rupanya anak tikus masak kicap!

BATU PAHAT: Keterujaan seorang lelaki untuk makan malam ketika letih pulang bekerja di sini, pada Ahad bertukar menjadi pengalaman menjijikkan apabila menemui seekor anak tikus dalam hidangannya.

Lelaki berkenaan telah memuatnaik statusnya di Facebook hingga tular di media sosial.

Azmi Ali Mex telah membeli dua jenis makanan iaitu ayam masak kicap dan ayam masak merah di sebuah kedai di sini.

"Kebiasaan memang akan membeli lauk di kedai tersebut, saya membeli ayam masak kicap dua ketul begitu juga dengan ayam masak merah.

"Beria-ia pulang dari bekerja hendak makan... dan sempat menelan dua suap nasi dan mencubit ayam itu.

"Namun masih tidak perasan ada sesuatu di dalam lauk kerana ia berwarna hitam, bila letak ayam dalam pinggan, memang ternampak 'daging ayam' itu tetapi menyangkakan ia adalah pedal ayam," katanya.

Sedang menambah kuah lauk kicap, dia terkejut apabila ternampak 'pedal' menyerupai anak tikus.

"Bila kuis menggunakan sudu, memang betul anak tikus!... saya terus muntah tanpa henti, kembang tekak.

"Saya terus mengeluarkan anak tikus di atas pinggan sebelum mengambil gambar sebagai  bukti supaya tidak dituduh menipu," katanya.

Kemudian hari ini, Azmi telah memuatnaik entri terbaru dengan menyatakan telah membuat aduan kepada pihak berkaitan bagi mengambil tindakan selanjutnya.

Katanya turut meminta maaf kepada masyarakat kerana tidak memaklumkan lokasi, nama kedai itu bagi mengelakkan timbul salah faham.

Selain itu, tindakannya menularkan di dalam media sosial bukan bertujuan untuk popular atau menganiaya pemilik kedai sebaliknya dijadikan pengajaran kepada para peniaga dengan mengutamakan kebersihan.

Sehingga kini, isu ini mendapat perhatian netizen hingga meraih 4,200 maklumbalas, 4,464 perkongsian dan lebih 3,000 tanda suka.

Netizen, Huda Nurul menyatakan pendapat berkemungkinan anak tikus itu terjatuh dari bumbung lalu termasuk ke dalam lauk tanpa disedari peniaga.

Bagi Nur Aini, dia turut menasihatkan kepada pembeli agar lebih berwaspada ketika membeli makanan di luar dan perlu mengutamakan kebersihan.-Sinar Harian

tikus , pedal , masak kicap

Artikel Berikut

Artikel Lain