“Seminggu jugalah ambil masa nak habiskan semua diari arwah mak” - Viral | mStar

“Seminggu jugalah ambil masa nak habiskan semua diari arwah mak”

Saiful Azlan menganggap diari ibunya adalah catatan terbaik yang menjadi peneman di saat merindui arwah ibunya.

SHAH ALAM: Mengenang jasa ibu memang sukar diluah dengan kata-kata.

Pengorbanan seorang ibu melahir, membesar dan mendidik anak-anak tidak mampu dinilai dengan wang ringgit atau harta benda.

Apatah lagi si ibu telah pergi buat selamanya, tiada kata-kata sayang diucapkan buat si anak.

Memetik Twitter Saifulazlan, walaupun ibunya telah meninggal dunia tetapi dirinya bertuah kerana ditemani diari insan tersayang.

Semuanya berlaku setelah ibu meninggal dunia pada Disember 2016 dan tidak sangka, kata-kata pendorong dan momen untuk dikenang ditulis di dalam diari ibunya.

Katanya tidak menduga hari konvokesyan pengajiannya di sebuah universiti pada 2010 adalah satu kebanggaan buat ibunya.

Saiful Azlan tidak sangka kejayaannya menamatkan pengajian telah membuatkan arwah ibunya bangga.

"Alangkah sukanya mama hari ini, kerana adik telah berjaya menamatkan pengajian. Hari ini adalah hari yang paling bertuah, konvokesyen adik Lan, tatkala nama adik Lan dipanggil mama terlalu gembira sehingga menitis air mata gembira.

"Juga hati mama terlalu mengingati arwah bak, sekiranya bak masih ada, dah tentu bak pun segembira mama. Tahniah adik Lan, mama bangga dengan adik Lan," katanya.

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anak, Saifulazlan sering menghubungi ibunya ketika berjauhan.

"Lepas kebumi mak aku, aku baca semua diari dia sebab nak tahu apa isi diari itu. Seminggu jugaklah ambil masa nak habiskan semua diari arwah mak aku tu.

"Dia tulis semua benda yang aku beritahu dia, dari mula bekerja, tarikh beli hadiah untuknya dan tarikh aku tanggal pusat pun ada. Aku sentiasa hubunginya membuatkan hubungan itu akrab," katanya.

Jelasnya, mengakui diari itu adalah catatan memori yang terbaik bagi mengenang individu yang telah pergi buat selamanya.

Dalam pada itu, entri Saifulazlan menyentuh hati netizen hingga mendapat perkongsian 4,300 dan 3,700 tanda suka. - Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Artikel Lain