DEMI menyemarakkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, lebih 3,000 jemaah berhimpun dalam suasana penuh syahdu di Masjid Habib, Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada Ahad lalu.Kehadiran luar jangkaan itu menyaksikan program Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat berlangsung meriah dengan pengisian rohani menerusi alunan selawat, bacaan maulid, qasidah dan tausiah. Program anjuran Pertubuhan Ummah Malaysia (PUMA) dengan kerjasama Masjid Habib dan Yayasan Restu itu menghimpunkan masyarakat setempat serta jemaah dari beberapa negeri.Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid sebagai jemputan khas yang menyampaikan tausiah dan pengisian agama kepada para jemaah.Kumpulan qasidah Angham Anisah pimpinan Ustaz Ibrahim Al-Ansari dan Gus Husaini pula menghidupkan suasana menerusi bacaan maulid serta alunan qasidah penuh kecintaan kepada Rasulullah SAW.Program bermula dengan Perarakan Maulid, disusuli bacaan Wirdul Latif, solat Maghrib berjemaah, bacaan Maulid Dhiya’ul Lami’ dan pengisian agama sebelum ditutup dengan solat Isyak serta jamuan rakyat.Presiden PUMA, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail berkata, jumlah kehadiran tersebut melebihi sasaran awal seramai 2,000 jemaah, sekali gus membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menyatukan hati umat Islam.Beliau berharap program itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha mendekatkan masyarakat khususnya generasi muda kepada Rasulullah SAW menerusi selawat, ilmu, akhlak dan ukhuwah.